Pelbagai cara dan kaedah boleh digunakan untuk memberi sumbangan kepada orang lain. Sekiranya kita lihat kembali ketika kawasan sekitar pantai barat Malaysia yang dilanda banjir, ramai di kalangan masyarakat Malaysia yang turun menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan daripada pelbagai sudut. 

Bagi mereka yang mempunyai bot, mereka datang ke kawasan banjir dan menyelamatkan mereka yang tersekat di kawasan tersebut. Mereka yang mempunyai restoran, turut memberi bantuan dengan menyediakan makanan kepada mangsa-mangsa banjir. Mereka yang mempunyai kelapangan masa dan tenaga, turut serta dalam membantu membersihkan kawasan-kawasan banjir. 

Ada juga di kalangan kita yang membantu dari sudut kewangan dan sumbangan barang-barangan. Di samping itu, ada juga di kalangan masyarakat Malaysia yang menggunakan medium sosial media masing-masing untuk menarik perhatian anggota penyelamat dan menyebarkan maklumat bantuan dan sebagainya. Ini membuktikan pelbagai cara dan kaedah boleh digunakan untuk memberikan bantuan dan sumbangan. Semangat saling memberi dan membantu antara satu sama lain dalam kalangan rakyat Malaysia, seharusnya dipuji dan syabas juga tahniah diucapkan. 

Hakikatnya, marilah kita lihat kembali hikmah di sebalik khidmat yang diberikan. Khidmat yang diberikan itu sudah pasti tidak sia-sia di dalam pandangan Allah SWT. Malahan ada di kalangan rakyat Malaysia yang mendapat sagu hati dan hadiah di atas sumbangan yang telah mereka berikan. Sudah pasti, memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan bukan dengan niat untuk mendapatkan balasan, tetapi tiada siapa boleh menidakkan sesuatu rezeki yang mereka perolehi hasil daripada sumbangan tersebut.  

Selain itu, amalan khidmat masyarakat ini juga menjadi sebahagian daripada ibadah kepada umat Islam sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT. Oleh itu, sekiranya kita lihat hikmah daripada khidmat yang diberikan terlalu banyak, bahkan hikmah ini juga bukan sahaja diperolehi oleh individu itu sendiri, malahan individu tersebut telah memberikan kebaikan kepada agama Islam melalui penonjolan akhlak yang baik kepada masyarakat. Perkara ini sudah tentu tidak sia-sia di sisi Allah SWT. Allah menjanjikan kebaikan kepada hamba-hamba-Nya yang memberikan bantuan kepada orang lain melalui firman-Nya di dalam Al-Qur’an:

وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ

…Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

(Surah al-Baqarah: 215)

Beribadah Melalui Khidmat

Memberikan khidmat kepada masyarakat atau sesuatu kebaikan yang dilakukan terhadap manusia lain adalah sebahagian daripada ibadah. Ini kerana membantu antara satu sama lain adalah salah satu cara untuk mendekatkan diri dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Oleh itu, memberi khidmat kepada masyarakat adalah selari dengan tujuan hidup dan penciptaan manusia itu sendiri iaitu untuk beribadah. Seperti mana yang dijelaskan di dalam firman Allah SWT, maksudnya:  

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku

(Surah adz-Dzaariyat: 56)

Oleh itu, semua perkara atau amalan yang dilakukan yang disandarkan kerana Allah SWT adalah ibadah dan pengabdian manusia kepada Tuhan-Nya. Khidmat yang dijalankan semata-mata ikhlas untuk mencapai keredhaan Allah SWT adalah salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh sebab itu, antara hikmah memberikan khidmat ini adalah salah satu cara untuk mencapai redha Allah melalui membantu orang lain.

What You Give You Will Get Back

Inilah hikmah lain yang diperolehi daripada khidmat masyarakat yang diberikan oleh kita pada orang lain. Sebarang jenis khidmat sekali pun yang disalurkan, bukan sahaja memberi kebaikan kepada mereka yang menerimanya tetapi sebenarnya kebaikan itu akan kembali kepada individu yang telah menyumbangkannya. Kebaikan ini akan datang dalam pelbagai bentuk dan keadaan di dalam kehidupan ini. Sudah tentu perkara ini tidak terhad terhadap kehidupan di dunia semata-mata, malahan termasuk mendapat kebaikan di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

(Surah Al-Nahl: 97)

Khidmat yang diberikan kepada orang lain, adalah salah satu cara untuk mencapai kebaikan dunia dan akhirat. Bahkan amalan ini akan mendapat ganjaran daripada-Nya, serta Allah menjanjikan kebaikan yang lebih baik daripada apa yang telah dikerjakannya. Bahkan jika dilihat dari sudut positif, amalan khidmat ini akan memberi kebaikan kepada pelakunya dari sudut menjadikan seseorang itu lebih produktif terhadap diri mereka. Ini kerana untuk memberikan khidmat kepada orang lain, seseorang itu perlu membuat persediaan dari sudut ilmu, serta merancang jadual dan masa mereka dengan baik. Bahkan memberi khidmat kepada orang lain akan memotivasikan seseorang dengan melihat kegembiraan yang terpancar daripada orang yang telah menerima bantuan mereka. Di samping itu, khidmat yang diberikan kepada orang lain, akan menjadikan kita hamba yang bersyukur terhadap kehidupan yang dimiliki apabila kita melihat kesusahan orang lain. Seperti mana yang dijelaskan di dalam hadith berikut, maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan fizikal, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.”

(Hadith riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Menyempurnakan Tanggungjawab Islah dan Dakwah

Kerja-kerja yang dilakukan melalui khidmat masyarakat memerlukan kita untuk menawarkan kepakaran yang dimiliki bagi menyempurnakan keperluan orang lain. Sumbangan yang diberikan bukan sahaja memberikan kebaikan kepada orang Islam semata-mata, bahkan boleh jadi ianya turut memberikan manfaat kepada orang bukan Islam. Oleh itu, antara hikmah lain yang dapat dilihat melalui khidmat ini adalah salah satu usaha islah (mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul) kepada umat Islam, dan usaha dakwah kepada orang bukan Islam. Melalui penonjolan akhlak yang baik serta contoh teladan yang baik ini adalah menyempurnakan tanggungjawab islah dan dakwah itu sendiri. Allah mengingatkan kita di dalam Al-Qur’an, bahawa sebaik-baik umat adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…

(Surah A-li ‘Imraan: 110)

Manusia merupakan makhluk sosial yang hidup dalam persekitaran bermasyarakat. Setiap kebaikan dan keburukan yang berlaku di dalam masyarakat ada pengaruh daripada dan kepada manusia. Islam memandang bahawa menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim berusaha memperbaiki dan membangunkan masyarakat agar mencapai kehidupan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Oleh itu, hikmah daripada khidmat ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada individu itu sendiri bahkan Allah akan memberi ganjaran kepada hamba-Nya yang menyebarkan manfaat kepada manusia lain. Maka bersegeralah dalam usaha-usaha yang dilakukan untuk memberi manfaat kepada manusia. Seperti mana disebutkan di dalam sebuah hadith:

‏ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَفْعَلْ

Barangsiapa di antara kamu yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya maka hendaklah ia bersegera memberikan manfaat kepadanya.

(Hadith Riwayat Muslim)

Oleh itu, pandanglah hikmah daripada khidmat yang diberikan sebagai sesuatu perkara yang positif yang telah datang dalam hidup kita. Ini kerana khidmat yang diberikan adalah sebahagian daripada ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan mencapai redha-Nya. Khidmat juga mengajar kita untuk memandang bahawa khidmat itu bukan sahaja kita memberikan kebaikan kepada orang lain, sebenarnya kita sendirilah yang menerima kebaikan daripada khidmat tersebut. 

Sekiranya berpeluang untuk memberikan khidmat kepada orang lain, lakukanlah dengan ikhlas, dan berikanlah yang terbaik agar perkara ini menjadi peluang kita untuk menyebarkan dakwah kepada orang bukan Islam, dan islah buat umat Islam. Sekiranya kita ingin berjaya di dunia dan akhirat, maka seberkanlah kebaikan, berikanlah khidmat dan teruskanlah amal kebajikan sepanjang kehidupan kita di dunia ini. Firman Allah SWT, maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

(Surah Al-Hajj: 77)

Wallahu ‘alam