Petang yang damai, dua sahabat lama bertemu di warung kegemaran dan bersembang perihal kehidupan.
“Kau ingat lagi Abdul Karim kawan kita dulu?” Lan memulakan perbicaraan.
“Yang nakal tu? Apa khabar dia sekarang?” Yusuf bertanya kembali.
“Eh, sekarang ni dia banyak berubah dah. Soleh.”
“Baguslah.”
“Aku pun niat nak mula hadir kelas-kelas agama.”
“Betul ke? Kenapa aku perasan tiba-tiba ramai kawan-kawan kita jadi baik?”
“Kau tak suka?”
“Takdelah. Baguslah semua berubah. Tapi, kan agama ni tiada paksaan. Asalkan kau Islam, nanti masuk syurga juga. Jangan risau.”
“Maksud kau, tak perlu susah-susah jadi baik sebab nanti pasti masuk syurga?”
“Ya. Rugilah tak ‘enjoy’ di dunia. Sedangkan Tuhan kita kan Maha Pengampun? Kalau masuk neraka sebab dosa pun, nanti masuk syurga akhirnya. ”
“Kalau pasti diri berstatus orang beriman di sisi Allah, bolehlah rasa dijamin syurga. Bagaimana kalau di dunia perasan beriman, tapi di akhirat Allah tak terima pun iman tu?”
“Maksud kau? Kita boleh dinilai tak beriman di akhirat walaupun di dunia surat beranak tertulis beragama Islam?”
“Ya. Sebab iman bukan terbukti dengan surat beranak. Iman terbukti dengan hati dan amal tindakan. Kalau tak terbukti beriman, khuatir diri sebenarnya munafik. Bukan setakat tak dapat syurga, bahkan diletakkan di neraka pada dasar paling dalam untuk selama-lamanya.”
Yusuf tersentak mendengar peringatan temannya.
Golongan sesat yang nampak seperti beriman tetapi realitinya enggan taat.
Dalam surah Al-Fatihah, Allah mengajar kita agar berdoa tidak memilih jalan hidup seperti orang yang sesat. Pada surah berikutnya iaitu Al-Baqarah, Allah menjelaskan lagi ciri-ciri orang yang sesat.
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَمَا هُم بِمُؤۡمِنِينَ٨ يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَمَا يَخۡدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ٩
«Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman(8) Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya(9)» [Al-Baqarah: 8-9]
Pada zaman Rasulullah s.a.w., orang-orang munafik mula muncul kerana mereka ada kepentingan duniawi di sebalik topeng iman. Mereka nampak seperti orang beriman tetapi hati enggan taat kepada perintah Allah s.w.t. Lalu, dapatlah diperhatikan golongan manusia yang meskipun beriman, tetapi masih melakukan dosa, tidak taat kepada Allah s.w.t. Iman kepada Allah s.w.t amat lemah bahkan Allah s.w.t. sendiri menafikan iman mereka pada surah Al-Baqarah ayat 8. Punca memilih jalan sesat ini adalah hati yang berpenyakit.
فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضٗاۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡذِبُونَ١٠
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran) [Al-Baqarah: 10]
Merekalah golongan yang telahpun mendapat petunjuk tetapi kemudiannya memilih kesesatan. Mereka membeli kesesatan dengan menggadaikan petunjuk.
أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَٰرَتُهُمۡ وَمَا كَانُواْ مُهۡتَدِينَ١٦
«Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah(16)» [Al-Baqara: 16]
Pada ayat-ayat berikutnya, Allah s.w.t. menerangkan perumpamaan dua tingkatan munafik iaitu munafik akidah dan munafik amal perbuatan.
Munafik akidah
Munafik akidah adalah mereka yang mengaku beriman tetapi hatinya enggan taat kepada Allah s.w.t bahkan tidak mengimaniNya. Petunjuk telah sampai kepadanya. Dia telahpun memilih menjadi muslim tetapi dalam hati tersembunyi rasa enggan beriman. Allah s.w.t mengumpamakan golongan ini seperti seorang yang cuba menyalakan api untuk menyinari kegelapan. Setelah api memberikan cahaya terang, tiba-tiba Allah s.w.t mencabut cahaya tersebut, meninggalkannya dalam keadaan gelap kembali.
مَثَلُهُمۡ كَمَثَلِ ٱلَّذِي ٱسۡتَوۡقَدَ نَارٗا فَلَمَّآ أَضَآءَتۡ مَا حَوۡلَهُۥ ذَهَبَ ٱللَّهُ بِنُورِهِمۡ وَتَرَكَهُمۡ فِي ظُلُمَٰتٖ لَّا يُبۡصِرُونَ١٧
Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun) [Al-Baqarah: 17]
Orang munafik berusaha menyalakan api yang didapatkan melalui rasulullah s.a.w dan orang-orang beriman. Dia memerlukan cahaya ini kerana berada dalam kegelapan. Setelah apinya bercahaya, Allah s.w.t mengambil cahaya mereka dan meninggalkan mereka dalam lapis-lapis kegelapan. Inilah akibatnya jika mengabaikan petunjuk setelah beriman.
Jika diteliti, Allah s.w.t tidak mengambil api yang cuba dinyalakan. Api itu masih ada tetapi cahayanya yang dihilangkan. Meskipun memiliki api, tetapi tidak berfungsi menerangi kegelapan demi kegelapan. Begitulah keadaan orang munafik yang nampak seperti memiliki agama tetapi gelar “muslim” tidak memberikannya cahaya menyuluhi kehidupan. Hatinya enggan beriman.
Tindakan golongan ini yang enggan beriman sesudah mendapat petunjuk membuatkan pancaindera garap hidayah tidak berfungsi. Pengingkaran demi pengingkaran yang dilakukan mengakibatkan hati bertambah-tambah sakit sehingga gagal garap petunjuk.
صُمُّۢ بُكۡمٌ عُمۡيٞ فَهُمۡ لَا يَرۡجِعُونَ١٨
«Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran)(18)» [Al-Baqarah: 18]
Boleh bayangkan keadaan manusia yang pekak, bisu dan buta? Walaupun cahaya ada di hadapan, tetap tidak mampu capai akibat kapasiti raih petunjuk tiada. Tidak dapat mendengar kerana pekak, tidak dapat melihat kerana buta. Bahkan, untuk meminta tolong sekalipun tidak mampu kerana bisu. Tidak mampu lagi kembali pada jalan kebenaran. Begitulah perumpamaan golongan munafik yang nampak seperti beriman pada luarannya tetapi hati tersembunyi keingkaran dan keengganan beriman.
Munafik amal perbuatan
Ada satu lagi golongan munafik yang meskipun hatinya menerima Allah s.w.t sebagai Robb, tetapi ada rasa enggan untuk taat lalu bergelumang dengan dosa. Bagi orang-orang beriman, wahyu daripada Allah s.w.t dirasakan ibarat air hujan yang turun bawa rahmat. Tetapi, bagi orang munafik, Al-Quran itu ibarat hujan lebat yang menakutkan sarat guruh, petir dan kilat.
أَوۡ كَصَيِّبٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فِيهِ ظُلُمَٰتٞ وَرَعۡدٞ وَبَرۡقٞ يَجۡعَلُونَ أَصَٰبِعَهُمۡ فِيٓ ءَاذَانِهِم مِّنَ ٱلصَّوَٰعِقِ حَذَرَ ٱلۡمَوۡتِۚ وَٱللَّهُ مُحِيطُۢ بِٱلۡكَٰفِرِينَ١٩
Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu. [Al-Baqarah: 19]
Hati golongan munafik bencikan petunjuk daripada Allah. Tatkala hadir peringatan-peringatan daripada mereka yang sampaikan firman Allah s.w.t, orang-orang munafik berasa takut mendengarkannya kerana enggan bertanggungjawab melaksanakannya. Ayat-ayat Allah s.w.t dirasakan seperti bunyi petir yang boleh mengakibatkan mati. Betapa dahsyatnya rasa enggan mendengar peringatan daripada Allah s.w.t sehinggakan berusaha memasukkan semua jari ke dalam telinga.
Ayat-ayat Allah dianggap kematian bukan petunjuk yang menghidupkan.
Mengapa jadi sampai begitu sekali? Hati yang sakit tidak dirawat membuatkan kecintaan kepada dunia memenuhi segenap hati. Hati tidak lagi mampu garap petunjuk kebenaran yang sebenarnya membawa kebahagiaan.
Bagi golongan yang berpenyakit hatinya, ayat-ayat Allah s.w.t dipilih-pilih. Mana-mana ayat Quran yang selari kehendak nafsunya, itulah yang dituruti. Tetapi, jika bertentangan dengan kehendak nafsunya, kembali mengingkari dalam kegelapan.
يَكَادُ ٱلۡبَرۡقُ يَخۡطَفُ أَبۡصَٰرَهُمۡۖ كُلَّمَآ أَضَآءَ لَهُم مَّشَوۡاْ فِيهِ وَإِذَآ أَظۡلَمَ عَلَيۡهِمۡ قَامُواْۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمۡعِهِمۡ وَأَبۡصَٰرِهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ٢٠
Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [Al-Baqarah: 20]
Wahyu adalah cahaya yang menerangi kehidupan orang beriman. Namun, bagi orang-orang yang berpenyakit hatinya, mereka merasakan wahyu hujan lebat yang datang dengan kilat sabung-menyabung. Dalam kegelapan hujan lebat, kilat yang memberikan sedikit cahaya membuatkan seseorang mampu melihat jalan dan mampu bergerak. Lalu bergeraklah dirinya hanya saat kilat hadir. Ketika tiada kilat, tiada cahaya, dia berhenti dan tidak mampu meneruskan.
Kilat ini ibarat sebahagian perintah-perintah Allah s.w.t yang mahu ditaati orang-orang munafik. Mereka memilih-milih ayat-ayat Allah s.w.t untuk ditaati, tidak menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Allah s.w.t memberikan ancaman kepada golongan sebegini dengan ancaman dihilangkan pancaindera garap petunjuk iaitu pendengaran dan penglihatan. Berfungsikah nikmat pendengaran dan penglihatan jika si hamba bersikap mensia-siakan petunjuk bahkan benci kebenaran daripada Allah s.w.t?
Koreksi diri
Perumpamaan-perumpamaan dalam Al-Quran berfungsi memberikan petunjuk kepada manusia agar analisa diri.
وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَٰلُ نَضۡرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ٢١
Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. [Al-Hashr: 21]
Tujuan dibentangkan perumpamaan ini bukanlah untuk kita menuding jari dan menganalisa manusia lain lalu menggelar mereka munafik. Bukan itu tujuan Al-Quran. Ayat-ayat Quran adalah untuk setiap kita menganalisa diri sendiri agar berhati-hati tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang sesat.
Justeru, setelah belajar ayat ke-17 hingga 20 daripada surah Al-Baqarah ini, cuba tanya pada diri :
“Sudahkah saya berserah diri kepada Allah s.w.t secara menyeluruh? Atau apakah saya masih memilih-milih ayat-ayatNya iaitu hanya mahu taat pada perintah yang selari kehendak diri, mengabaikan ayat-ayat yang lain?”
Moga-moga setiap kita dipelihara daripada sikap munafik yang nampak seperti beriman tetapi jiwa enggan mentaati Allah s.w.t.
Rujukan
Aisha Altaf (2022). Tafsir Al-Al-Baqarah. Ta’leem Al-Quran in English, organised by Al-Huda Institute, Canada.