“Malasnya nak solat.” Liana mengomel. 

“Kau rasa berat nak solat?” Farah beri respon ringkas. 

“Itulah.” Liana tersengih.

“Jadi?”

“Kena solat juga, Farah. Aku takut masuk neraka.”

“Allah memang kata solat tu berat sebenarnya. Kecuali satu golongan ni. Kau tahu tak?”

“Tak. Siapa?”

“Cuba kau tengok surah Al-Baqarah ayat 45.”

 

Solat itu berat melainkan bagi mereka yang khusyu’

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَٰشِعِينَ

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyu’ .

 [Al-Baqarah: 45]

 

Menurut Ar-Raghib Al-Asfahani, الخُشُوْعُ  (khusyu’) adalah sama dengan الضَرَاعَةُ yang bermakna tunduk, merendah atau menyerah. Sedikit perbezaannya, kalimah الخُشُوْعُ sering digunakan untuk menggambarkan bentuk penyerahan yang dilakukan oleh anggota badan sedangkan kalimah الضَرَاعَةُ banyak digunakan untuk menggambarkan ketundukan hati. Meskipun begitu, anggota badan yang terzahir sebagai tunduk, merendah dan menyerah pastinya bertitik-tolak daripada hati yang tunduk menyerah kepada Allah.  

Melalui ayat ke-45 surah Al-Baqarah ini, Allah s.w.t mengajar kita bahawa hanya golongan yang tunduk, merendah atau menyerah diri kepada Allah s.w.t sahaja yang tidak merasakan solat itu berat. Selain daripada golongan khusyu’, manusia-manusia lain merasakan solat itu berat. 

Bagaimanakah untuk membuatkan solat tidak lagi rasa berat?  

Mari koreksi diri. Sudahkah saya khusyuk lalu bahagia melazimi solat lima kali sehari? Atau apakah saya masih tergolong mereka yang mudah melengah-lengahkan solat kerana rasa berat untuk mendirikannya? 

Pada ayat berikutnya, Allah s.w.t menjelaskan satu karakteristik golongan yang khusyu’ dalam solatnya. 

ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَٰقُواْ رَبِّهِمۡ وَأَنَّهُمۡ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ

(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya. [Al-Baqarah: 46]

Khusyu’ rupa-rupanya bukanlah sesuatu yang dipaksa-paksa agar nampak secara zahir sedang tunduk dan menyerah diri. Rasa khusyu’ kepada Allah s.w.t adalah atas dasar ilmu yang benar serta tumbuh keyakinan untuk bertemu denganNya. Jiwa manusia yang yakin pertemuan dengan Allah s.w.t, penuh percaya akan kembali kepadanya, jiwa-jiwa sebeginilah yang akan rasa tunduk dan menyerah diri kepada Allah s.w.t.

Persoalannya, bagaimanakah untuk kita membangunkan rasa yakin akan pertemuan denganNya? Sedangkan, Allah s.w.t tidak mampu kita lihat dengan pancaindera mata. Bagaimana untuk mengimani yang ghaib seperti yang diterangkan dalam Al-Baqarah ayat 3?

Jika ditelusuri konsep “yakin bertemu Allah s.w.t” dalam Al-Qur’an, ada dua panduan yang boleh kita garap. Pertama, keyakinan pertemuan dengan Allah s.w.t akan semakin bertambah dengan kefahaman wahyu. Kedua, rasa yakin untuk bertemu Allah s.w.t boleh diasah dengan memikirkan tanda-tanda kebesaranNya di alam semesta. 

Al-Kitab sumber iman yang membuatkan yakin bertemu dengan Robb

Dalam surah Asy-Syura ayat 52, Allah s.w.t berfirman bahawa bahkan nabi tidak tahu apakah iman itu melainkan setelah diturunkan “ruh” (Al-Quran). Ini adalah dalil betapa besarnya peranan wahyu dalam menumbuhkan keimanan. Bahkan, pada Hari Kebangkitan, manusia akan ditanya perihal sudahkah sampai wahyu kepada manusia yang menerangkan tentang hari pertemuan dengan Allah. 

يَٰمَعۡشَرَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ أَلَمۡ يَأۡتِكُمۡ رُسُلٞ مِّنكُمۡ يَقُصُّونَ عَلَيۡكُمۡ ءَايَٰتِي وَيُنذِرُونَكُمۡ لِقَآءَ يَوۡمِكُمۡ هَٰذَاۚ قَالُواْ شَهِدۡنَا عَلَىٰٓ أَنفُسِنَاۖ وَغَرَّتۡهُمُ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا وَشَهِدُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ أَنَّهُمۡ كَانُواْ كَٰفِرِينَ 

Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari ini? Mereka menjawab: "Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu)". Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu). 

[Al-An'am: 130]

Segala perkara keimanan sebenarnya bersifat ghaib. Melalui ilmu wahyu, Allah s.w.t menjelaskan tentang diriNya, malaikat dan hal-hal yang berlaku pada hari akhirat. Misalnya, melalui Al-Qur’an, manusia akan tahu bahawa suatu hari kelak, Allah s.w.t akan memanggil sesetengah golongan dengan ucapan salam ketika hari pertemuan denganNya. 

تَحِيَّتُهُمۡ يَوۡمَ يَلۡقَوۡنَهُۥ سَلَٰمٞۚ وَأَعَدَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا كَرِيمٗا 

Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan "Salam" (selamat sejahtera); dan Dia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia

[Al-Ahzab: 44]

Semakin banyak ayat-ayat Qur’an yang difahami, semakin mendalam pengetahuannya mengenai hari pertemuan dengan Allah s.w.t. Ilmu kebenaran inilah yang menumbuhkan iman dan menyuburkan keyakinan terhadap pertemuan dengan Allah s.w.t. Tanpa pedoman wahyu, manusia sememangnya tidak mampu mencapai ilmu ghaib lantas sulit menggambarkan fenomena akhirat. Sedangkan gunung boleh khusyu’ terpecah-belah saat diberikan al-Qur’an, sudahkah manusia khusyu’ setelah diberikan al-Qur’an?

لَوۡ أَنزَلۡنَا هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ عَلَىٰ جَبَلٖ لَّرَأَيۡتَهُۥ خَٰشِعٗا مُّتَصَدِّعٗا مِّنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَٰلُ نَضۡرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyu’ serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. 

[Al-Hashr: 21]           

Memupuk yakin pertemuan denganNya dengan memikirkan kejadian alam (tafakkur).

Dalam hidup ini, sebenarnya banyak hal yang tidak terlihat mata tetapi hati yakin akan kewujudannya. Misalnya, jika kita bergerak ke satu kampung dan terlihat tanah basah, yakinlah kita bahawa sebelumnya hujan telah turun meskipun diri tidak menyaksikannya. Satu najis cicak juga membuatkan kita yakin bahawa sebelumnya, seekor cicak pernah lalu kawasan tersebut meskipun kita tidak menyaksikannya. 

Mengenai Allah s.w.t yang hamba-hambaNya tidak mampu melihat dengan mata, tanda-tanda yang ada, membuktikan kewujudanNya. Mari teliti ayat berikut. 

ٱللَّهُ ٱلَّذِي رَفَعَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ بِغَيۡرِ عَمَدٖ تَرَوۡنَهَاۖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ وَسَخَّرَ ٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَۖ كُلّٞ يَجۡرِي لِأَجَلٖ مُّسَمّٗىۚ يُدَبِّرُ ٱلۡأَمۡرَ يُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لَعَلَّكُم بِلِقَآءِ رَبِّكُمۡ تُوقِنُونَ 

Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Dia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu

[Ar-Ra'd: 2]

Kalimah لَعَلَّكُم dalam ayat ini bermaksud “supaya” atau “moga-moga”. Ini adalah harapan Allah s.w.t kepada kita iaitu  punyai peribadi yang yakin kepada pertemuan dengan Robb. Pernyataan sebelum لَعَلَّكُم beri pedoman kepada kita mengenai kaedah atau langkah-langkah yang perlu diambil agar misi yakin bertemu dengan Robb, tercapai. Ringkasnya, ayat ini beri panduan bagaimana suburkan keyakinan iaitu dengan fikirkan tentang langit tidak bertiang serta fungsi matahari dan bulan yang beredar.

Mari renung sejenak fenomena langit yang kukuh tanpa tiang. Sedar atau tidak, bumi berada dalam alam semesta yang tidak selamat dengan meteor yang berisiko menghentam bumi. Namun, dengan adanya langit berfungsi sebagai bumbung, semua hidupan selamat. Meteor mahupun sinaran ultraviolet matahari yang membahayakan tidak menembus bumi hingga mencederakan manusia. Dengan hanya memikirkan tentang langit sudah membuatkan si hamba sedar kewujudan Allah s.w.t yang sentiasa memeliharanya. Suatu hari kelak, hamba yang lemah ini akan bertemu dengan Robb yang telah memeliharanya sepanjang hidup. 

Matahari dan bulan pula silih berganti memberikan cahaya yang diperlukan manusia pada siang dan malam. Ketika solat di siang hari, mukmin yang sedar akan merasai kewujudan Allah s.w.t melalui bukti terangnya siang, terasa nikmat cahaya melimpah-ruah. Ketika solat di malam hari pula, ketenangan di sebalik kegelapan malam menjentik rasa syukur si hamba kepada Dia yang mengizinkan bumi beredar membuatkan pergantian siang dan malam berlaku. Manusia yang lalai merasakan keagungan Allah s.w.t berisiko ingkar pertemuan dengan Tuhannya kerana anggap langit dan bumi akan kekal selama-lamanya. Seakan-akan langit dan bumi tunduk untuk manfaat manusia selama-lamanya lalu hilang rasa peduli memikirkan Dia yang menciptakan.

أَوَ لَمۡ يَتَفَكَّرُواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۗ مَّا خَلَقَ ٱللَّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَآ إِلَّا بِٱلۡحَقِّ وَأَجَلٖ مُّسَمّٗىۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ بِلِقَآيِٕ رَبِّهِمۡ لَكَٰفِرُونَ

Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya

[Ar-Rum: 8]

Kesombongan manusia yang enggan memikirkan Pencipta di sebalik tanda-tanda kebesaranNya di alam semesta membuatkan hilang rasa kehambaan. Bahkan, golongan sebegini kemungkinan tidak terlintas untuk bertemu denganNya akibat gersangnya rasa kesyukuran.

Khusyu’ rupa-rupanya bukan hanya pada kepala yang menunduk. 

Ringkasnya, memahami al-Qur’an dan usaha memikirkan (tafakkur) tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t di alam semesta boleh menumbuhkan keyakinan akan pertemuan denganNya. Keyakinan ini membuatkan seorang hamba khusyu’ iaitu rasa tunduk dan serah diri kepada Allah s.w.t. 

Sebelum ini, mungkin ada sesetengah yang memahami kaedah untuk khusyu’ adalah dengan menguruskan persekitaran seperti solat di tempat sunyi dan bersih serta lakukan aktiviti pernafasan yang baik. Sebaliknya, Allah s.w.t mengajar melalui kalamNya bahawa proses tadabbur Al-Qur’an dan tafakkur alam semesta harus dilakukan agar terbangun keyakinan akan pertemuan denganNya. Keyakinan inilah menjadi rahsia pada rasa ketundukan (khusyu’) seorang hamba. 

Justeru, mari azam usaha tadabbur al-Qur’an dan fikirkan tentang tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t  di alam semesta. Moga-moga akhirnya setiap kita jadi hamba yang khusyu’ kerana yakin akan bertemu denganNya serta akan kembali kepadaNya. 

 

Rujukan 

Ar-Raghib Al-Asfahani (2017).Kamus Al-Quran Jilid 1 . Depok-Jawa Barat : Pustaka Khazanah Fawaid.

Muhammad Nazir Bin Mohammed Khalid (2019). Q-STEM-A : Menerokai rahsia STEM (Science, Technology, Engineering & Math) dalam Al-Quran. Kuala Lumpur : Shanana Production Sdn. Bhd.