Bismillah.

Tahun 2021 sudah melabuh tirai. Tahun 2022 telah menjelma. Semakin bertambah tahun, semakin berkurang usia. Semakin hampir hari bertemu Pencipta. Maka, perlunya diri ini melakukan muhasabah atas perkara yang telah berlalu pada tahun-tahun sebelumnya.

Muhasabah atas segala setiap pilihan-pilihan yang dilakukan di level fizikal, intelektual, emosi, dan spiritual. Samada pilihan tersebut dibuat atas dasar iman kepada Allah atau tidak. Mengapa? Setiap pilihan akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Allah berfirman di dalam Surah Al Kahfi: Ayat 29

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡ‌ۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡ‌ۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّـٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِہِمۡ سُرَادِقُهَا‌ۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٍ۬ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِى ٱلۡوُجُوهَ‌ۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا (٢٩)

29.  Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

Maka, hisablah diri ini di dunia sebelum dihisab di akhirat. Hari akhirat adalah satu kepastian. Pertemuan dengan Allah itu benar. Maka, muhasabah diri di dunia ini penting supaya kita tidak tergolong di dalam golongan yang rugi. Hakikatnya, manusia ini sentiasa berada di dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Seterusnya berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Sebagaimana difirmankan oleh Allah di dalam Surah Al ‘Asr.

Proses muhasabah diri ini perlu dilakukan secara rutin supaya kita dapat memperbaiki kelemahan. Insan yang berjaya adalah individu yang sering berusaha untuk memperbaiki diri dari hari ke hari. 

Antara langkah-langkah untuk melakukan muhasabah diri adalah:

  1. Mengakui kelemahan diri yang ada.
  2. Menerima kekurangan diri.
  3. Berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.
  4. Istighfar atas setiap kesalahan.
  5. Menulis jurnal refleksi.

Kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Kehidupan dunia sudah pasti ada penghujungnya. Bagi menikmati kesenangan yang berpanjangan di negara abadi, maka di dunia ini kita perlu berusaha untuk melakukan amal soleh.

Amal soleh dapat ditingkatkan kualiti dengan melakukan proses muhasabah. Contohnya, di dalam amal individu seperti solat lima waktu sehari dapat ditingkatkan kualiti solat dengan memahami apa yang dibaca di dalam solat. Maka, untuk itu proses pembelajaran Al-Qur'an yang berterusan adalah signifikan.

Hisablah diri, sebelum dihisab di akhirat. Kesempatan serta anugerah umur yang Allah anugerahkan perlu digunakan sebaik-baiknya sebelum tibanya hari akhirat. Masa yang dianugerahkan oleh Allah akan disoal oleh Allah di akhirat ke arah apa ia digunakan.

Maka, satu perenungan perlu dibuat sejauh mana nikmat masa yang Allah anugerahkan ini digunakan untuk melakukan amal soleh. Setiap saat bagi orang mukmin adalah berharga. Peluang untuk melakukan kebaikan dan memberatkan timbangan amal di akhirat.

Seterusnya sebanyak mana kesyukuran dipanjatkan atas segala nikmat yang dianugerahkan oleh Allah. Sepertimana di dalam Surah Ar-Rahman, Allah mengulangi, nikmat Allah mana yang kamu dustakan.

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (١٣)

13.  Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin).

Maka, perlu kita menghisab sejauh mana kita merespon terhadap sesuatu nikmat. Samada kita menjadi hamba bersyukur atau kufur. Maka, hisablah diri kita samada lafaz kesyukuran yang sering diucapkan atau sebaliknya.

Kemudian, hisablah diri kita sejauh mana kita bersabar atas ujian yang dianugerahkan Allah. Ujian kekurangan harta, ujian di dalam perhubungan, ujian bencana dan sebagainya. 

Maka, wahai diri sejauh mana mampu bersabar atas setiap ujian. Maka, hisablah dirimu sebelum kamu dihisab.  Maka, ayuh kita memohon keampunan atas setiap kelemahan, dosa, maksiat, kekurangan serta tidak menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Maka, wahai diri mintalah pertolongan dengan sabar dan solat di dalam setiap perkara.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 45

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ وَإِنَّہَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِينَ (٤٥)

45.  Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

Hisablah diri, sebelum diri di hisab di akhirat. Setiap perbuatan sebesar zarah akan dinilai. Begitu juga dengan kejahatan sebesar zarah. Allah berfirman di dalam Surah Al-Zalzalah : Ayat 7 & 8

فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرً۬ا يَرَهُ ۥ (٧) وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ شَرًّ۬ا يَرَهُ ۥ (٨)

7.  Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

8.  Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Maka, peringatan untuk diri ini supaya segera kembali kepada Allah. Kembali dengan mempelajari Al-Quran.

Berusaha menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk di dalam kehidupan.

Meninggalkan kemaksiatan dan dosa.

Memanfaatkan masa yang ada dengan amal soleh.

Memperbanyakkan istighfar dan bertaubat.

Fokus untuk memperbaiki diri dari hari ke hari.

Tidak larut dengan kegelisahan serta kegundahan.

Berharap hanya pada Allah sebagai tempat bersandar dan bergantung.

Meningkatkan kesyukuran dari hari ke hari dengan nikmat yang tidak terhingga.

Belajar menjadi orang yang sabar atas setiap ujian.

Belajar untuk redha dan menerima ketentuan dari Allah.

Maka, selamat menempuh Tahun 2022 dengan bersandarkan kekuatan dari Allah.

Meyakini bahawa di dalam kesulitan ada rahmat Allah.

Memaknai bahawa peluang kehidupan di dunia ini perlu dimanfaatkan untuk kesenangan dan keselamatan di akhirat.