“Senangnya kau bangun Tahajud setiap hari.” Ahmad tegur teman sebiliknya.

“Syukur Allah mudahkan.” Malik jawab senyum-senyum.

“Tapi, mestilah kau usaha, kan?”

“Sikit.”

“Cuba kau bagi tips pada aku.”

“Kau kena rajin memberi.”

“Beri apa?”

“Apa-apa kebaikan. Harta yang membantu atau ilmu yang bermanfaat atau tenaga yang memudahkan urusan orang lain.”

“Apa kaitan dengan senang bangun Tahajud ?”

“Ada kaitan.”

“Hmm. Tapi, Allah kan Maha Penyayang. Aku masih boleh harap syurga tertinggi walaupun aku malas dan banyak dosa, kan?”

“Ada dalil?”

“Aku rasa macam tu.”

“Agama ni, mana boleh ikut rasa, main sangka-sangka. Kena amal dengan ilmu.”

 

Malam tak sama seperti siang, lelaki juga berbeza dengan perempuan.

وَٱلَّيۡلِ إِذَا يَغۡشَىٰ (١) وَٱلنَّہَارِ إِذَا تَجَلَّىٰ (٢) وَمَا خَلَقَ ٱلذَّكَرَ وَٱلۡأُنثَىٰٓ (٣)

«Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya)(1) Dan siang apabila ia lahir terang-benderang;(2) Demi Yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan, (3)» [Surah Al-Lail : 1-3]

Surah Al-Lail bermula dengan sumpah Allah s.w.t terhadap ciptaanNya iaitu malam, siang, lelaki dan perempuan. Permulaan surah yang mempaparkan perbezaan ciptaanNya dengan fungsi berbeza beri persediaan kepada pembaca memahami konsep yang mahu dibawakan pada ayat berikutnya. Sebagaimana berbezanya siang dan malam yang jadi saksi pelbagai amal manusia. Kelak di akhirat, balasan juga berbeza tergantung jenis usaha yang dilakukan manusia ketika hidup di dunia. 

Apakah perbezaan balasan yang ada di akhirat kelak?

Tiga amal yang membuatkan jalan amal soleh dipermudahkan.

إِنَّ سَعۡيَكُمۡ لَشَتَّىٰ (٤) فَأَمَّا مَنۡ أَعۡطَىٰ وَٱتَّقَىٰ (٥) وَصَدَّقَ بِٱلۡحُسۡنَىٰ (٦) فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلۡيُسۡرَىٰ (٧)

«Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya(4) Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya),(5) Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik(6) Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga)(7)» [Surah Al-Lail : 4-7]

Pernahkah dalam detik-detik kehidupan kita, rasa sulit untuk melakukan kebaikan? 

Rasa berat untuk membantu. 

Rasa sulit untuk dirikan solat awal waktu. 

Rasa malas untuk menimba ilmu wahyu. 

Allah s.w.t mendidik melalui surah Al-Lail bahawa ada satu golongan manusia yang Allah s.w.t akan bantu memudahkan mereka melaksanakan amal-amal kebaikan. Ada sesuatu pada peribadi mereka yang jadi syarat untuk Allah s.w.t memudahkan jalan pada kebaikan. 

Golongan manusia yang dimaksudkan adalah mereka yang melakukan tiga perkara iaitu memberikan apa yang ada padanya, bertaqwa dan membenarkan janjiNya yang akan membalas amal kebaikan. Para ulama’ memaknakan kalimah بِٱلۡحُسۡنَىٰ  sebagai al-khalaf iaitu balasan daripada Allah atas apa yang manusia berikan pada jalanNya. 

وَمَآ أَنفَقۡتُم مِّن شَىۡءٍ۬ فَهُوَ يُخۡلِفُهُۖ ۥ وَهُوَ خَيۡرُ ٱلرَّٲزِقِينَ (٣٩) 

« “dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki"(39)» [Saba: 39]

Lalu, hati yang membenarkan al-husna adalah hati yang peduli taat perintahNya kerana yakin akan balasan di akhirat kelak. Jika tiga hal asas ini dilakukan, Allah s.w.t menyatakan pada ayat ke-7 bahawa Dia akan memudahkan mereka melaksanakan amal kebaikan yang melorongkan ke syurga. Kalimah Al-Yusra dalam ayat ke-7 Al-Lail didefinisikan sebagai jalan-jalan yang diredhai Allah. 

Justeru, dengan memberi, moga-moga…

Lebih rasa ringan untuk membantu

Lebih mudah dirikan solat awal waktu.

Lebih rajin untuk menimba ilmu wahyu.

Apa yang menarik, ada perkaitan antara ketiga-tiga amal ini. Golongan pemurah yang sanggup memberi apa yang ada padanya seperti tenaga, ilmu dan harta adalah peribadi yang punyai rasa taqwa. Taqwa yang subur dalam jiwa mampu menolak diri untuk sanggup memberi biarpun ketika senang atau susah seperti yang Allah s.w.t nyatakan dalam surah Ali-‘Imran ayat 134.  

۞ وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ (١٣٣) ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٣٤)

«Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;(133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;(134)» [Ali-'Imran: 133-134]

Selain itu, motivasi manusia untuk memberi tanpa harap balasan manusia bertitik-tolak daripada rasa perlukan Allah s.w.t dan harapkan ganjaran syurga yang dijanjikanNya. Sikap membenarkan dan mempercayai ganjaran daripada Allah s.w.t ( وَصَدَّقَ بِٱلۡحُسۡنَى ) dapat beri kekuatan kepada jiwa untuk sanggup beramal dan berterusan dalam melakukannya. 

Empat potongan ayat ini beri mesej besar kepada orang-orang beriman. 

Bahkan, ayat-ayat ini memberikan khabar gembira buat hamba yang sentiasa mahu perbaiki kualiti amal. Justeru, saat jiwa rasa sukar melakukan kebaikan, rasa berat untuk beramal, cepat-cepat muhasabah diri. Usahakan untuk memberi dalam apa-apa cara sekalipun . Ini kerana dengan memberi, rupa-rupanya Allah s.w.t mahu memudahkan kita menempuh jalan-jalan diredhaiNya yang akan menyampaikan ke syurga.

Tiga tindakan yang membuatkan jalan keingkaran dipermudahkan.

وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱسۡتَغۡنَىٰ (٨) وَكَذَّبَ بِٱلۡحُسۡنَىٰ (٩) فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلۡعُسۡرَىٰ (١٠) وَمَا يُغۡنِى عَنۡهُ مَالُهُ ۥۤ إِذَا تَرَدَّىٰٓ (١١)

«Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup (8) Serta dia mendustakan perkara yang baik(9) Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan;(10) Dan apakah pertolongan yang dapat diberi kepadanya oleh hartanya apabila dia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)?(11)» [Al-Lail: 8-11]

Setelah menerangkan sikap positif manusia yang akan melorongkan ke syurga, kali ini, Allah s.w.t menerangkan pula golongan manusia yang melakukan amal buruk. Tiga sikap buruk yang diterangkan pada potongan ayat ini adalah sikap bakhil, rasa tidak memerlukan Allah s.w.t serta mendustakan kebaikan iaitu tidak yakin akan janjiNya membalas kebaikan.

Sekali lagi, tiga sikap ini saling berkaitan. Pertama, rasa tidak memerlukan Allah s.w.t membuatkan seseorang enggan menjadi hambaNya dan ini terzahir pada tindak-tanduknya yang bakhil, enggan memberi. Kedua, sikap bakhil ini terkait iman yang lemah kepada Allah s.w.t sehingga tidak meyakini janji-janjiNya yang mahu berikan ganjaran di akhirat. Tanpa motivasi ganjaran akhirat, mana mungkin manusia fakir sanggup berkorban lalu memberi. Realiti sikap bakhil sebenarnya berakar daripada lemahnya iman kepadaNya, tidak meyakini syurga. 

Akibatnya, Allah s.w.t akan memudahkan jalan kesukaran buat golongan manusia yang bakhil, rasa tidak memerlukanNya dan mendustakan janji-janjiNya. Mereka akan mudah melakukan kemaksiatan dan segala bentuk ketidaktaatan kepada Allah s.w.t. Tatkala manusia mengabaikan Allah s.w.t, rasa tidak perlu hidup bertuhan lalu tidak peduli untuk taat, Allah s.w.t juga akan melupakan mereka. Kesannya, mereka tidak dilindungi daripada berbuat keingkaran bahkan kemaksiatan dijadikan mudah untuk mereka lakukan. 

Melalui ayat ini, ternyata sikap bakhil bukanlah sebatas penyakit hati yang cintakan dunia lalu takut kehilangannya. Tetapi, sikap bakhil juga terkait masalah iman kepada Allah s.w.t , rasa tidak perlukan Allah s.w.t dan tidak yakin akan balasan di akhirat. Akibatnya parah iaitu terjerumus dalam keingkaran berkali-kali kerana lorong keburukan dijadikan mudah baginya. 

Maknai erti hidup pada memberi

Saya pernah menyaksikan realiti yang berlaku atas sikap memberi seorang insan. Sebelumnya, dia sering mengadu akan kesempitan waktu dan amat sulit hadir ke kelas-kelas pengajian agama. Kebanyakan waktu diuji anak yang sakit dan suami yang tidak mengizinkan. Tuntutan kerja juga membuatkan dia sering dinafikan kebenaran mendapat cuti untuk hadir ke kelas tadabbur Quran. 

Pada satu tempoh, dia berazam infaq sejumlah harta untuk  kelangsungan pelaksanaan kelas-kelas Al-Quran di satu daerah. Kemudian, terlalu banyak ruang-ruang kebaikan menjadi mudah untuknya, tiada halangan seperti sebelumnya. Anak-anak dan suaminya dengan mudah berlapang dada menyokong dia hadir ke kelas-kelas wahyu. Bahkan majikan juga berubah sikap dan sentiasa memudahkannya mengurus hal-hal pembangunan rohani. 

Ketika memahami surah Al-Lail sambil merenung peristiwa yang pernah berlaku pada sahabat tersebut, hati terasa sebak mengeyakan. “Benarlah kalam Allah s.w.t. Pasti Dia akan memudahkan jalan-jalan yang diredhaiNya buat mereka yang mahu memberi.” 

Hakikatnya, segala aset yang ada di dunia ini hanya akan punyai nilai tatkala kita berikan. Apa-apa yang disedekahkan, itulah yang dinilai amal yang akan kekal dibawa pada kehidupan selepas kematian. Sebaliknya, harta yang disimpan dan tidak digunakan, hanya akan ditukar kepemilikan tatkala diri telah meninggal dunia dan tidak dihitung sebagai amal milik kita. 

Justeru, belajarlah untuk kenali Allah s.w.t., tingkatkan iman kepadaNya.

Seterusnya, belajar wahyu agar yakini akan janji-janji pembalasanNya di akhirat.

Setelah iman kepada Allah s.w.t dan bangunkan keyakinan pada akhirat, jalanilah hidup penuh makna dengan memberi. Berilah apa yang ada dalam genggaman agar Allah s.w.t memudahkan kita menelusuri jalan-jalan yang diredhaiNya. 



 

Rujukan 

Nasaruddin Idris Jauhar (2022). Tadabur Al-Lail, Halakah anjuran Sahabat Pena Nusantara. https://youtu.be/dM3WnHcr3gY

Sayyid Qutb . Surah Al-Layl. Tafsir Fi Zilalil Quran