Sedar tak sedar tahun 2021 hampir melabuhkan tirainya. Kadang-kadang kita merasakan sekejapnya masa itu berlalu dan meninggalkan kita. Sudah tentu masa yang berlalu sudah tidak boleh diulang lagi, dan kita tidak boleh kembali kepada hari-hari yang telah pergi meninggalkan kita. Walaupun kita melakukan perkara yang sama pada setiap hari, tetapi hari tersebut akan tetap berganti tarikhnya, masa pun tetap akan berlalu pergi meninggalkan kita. Kadangkala ada hari kita terlalu sibuk menghabiskan masa dengan pelbagai kerja dan aktiviti, tetapi ada juga hari yang kita tidak disibukkan dengan sebarang aktiviti dan kita mempunyai masa yang lapang. Kita merasakan masa lapang itu sangat berharga dan sebab itu kita seharusnya menghabiskan masa tersebut dengan sesuatu yang berfaedah dan tidak mensia-siakannya dengan aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri kita.
Oleh sebab itu, Baginda SAW mengingatkan kita supaya tidak mensiakan nikmat masa lapang itu, seperti mana disebutkan dalam sebuah hadis:
قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
Nabi SAW bersabda: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini jelas memberi peringatan bahawa manusia sering gagal dalam memanfaatkan dua nikmat ini, iaitu sihat dan masa lapang. Seharusnya ketika waktu sihat kita lebih bersemangat untuk melakukan ibadah dan mencari keredhaan Allah SWT, tetapi apa yang berlaku sebaliknya, perbuatan untuk menangguhkan memperbanyakkan ibadah dan menunggu hari tua kelak kadangkala menjadi pilihan sebahagian pihak. Bukankah lebih baik sekiranya, di usia muda, sihat dan bertenaga kita lebih bermotivasi untuk memperbanyakkan ibadah? Begitu juga dengan waktu lapang, yang kadangkala kita biarkan ianya berlalu dengan perkara yang sia-sia, dan kita terlupa bahawa ada perkara yang lebih bermanfaat dan berfaedah yang boleh kita lakukan. Kesemua ini berbalik kepada tujuan penciptaan kita, sekiranya kita faham matlamat penciptaan kita di muka bumi ini, kita pasti merasakan dua nikmat yang diberikan kepada kita ini tidak seharusnya berlalu tanpa memperoleh pahala dan redha daripada Allah SWT. Apa ya matlamat penciptaan kita? Firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Surah adz-Dzaariyaat: 56)
Pentingnya Masa!
Betapa pentingnya masa, sehinggakan dalam al-Qur’an Allah bersumpah dengannya. Seperti mana firman Allah SWT dalam Surah al-‘Asr, maksudnya:
Demi Masa! [1] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian [2] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. [3]
Allah bersumpah dengan masa melalui ayat di atas (Demi masa!), untuk mengingatkan manusia bahawa mereka yang lalai dan leka dengan kehidupan dunia ini adalah golongan yang berada dalam kerugian, tetapi sebaliknya orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta sentiasa mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dengan sabar adalah mereka yang terselamat daripada termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Dua pilihan, dan yang manakah kita pilih untuk berada di jalan tersebut? Adakah di jalan orang-orang yang rugi atau orang yang beruntung? Masa yang diberikan kepada kita sangat terhad, sangat rugilah mereka melaluinya dengan sia-sia. Kerana Allah telah menetapkan satu masa untuk kita dalam kehidupan dunia ini, ianya ibarat satu tempoh yang kita harus berjuang sehabis baik, mendapatkan keredhaan-Nya sebelum kita sampai kepada ajal yang telah ditetapkan-Nya. Dan perkara itu tidak boleh diubah, sama ada memperlambatkannya atau mempercepatkannya. Malahan kita tidak tahu bilakah masa itu, yang kita tahu dan pasti adalah masa itu akan tiba, dan janji Allah itu pasti. Dalam al-Qur’an, Allah SWT berfirman:
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…”
(Surah A-li ‘Imraan: 185)
Bersegeralah Dalam Membuat Kebaikan
Firman Allah SWT:
وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa
(Surah A-li ‘Imraan: 133)
Melalui ayat ini difahami bahawa dalam sesuatu amal kebaikan dan ibadah untuk mencapai dan mendapat keredaan-Nya, janganlah bertangguh malah bersegeralah…! Bersegeralah dalam usaha kita untuk menjadi insan yang bertaqwa. Malahan Allah menjanjikan buat hamba-hamba-Nya syurga yang seluas langit dan bumi. Dan masuk ke dalam Syurga itu adalah sebaik-baik pengakhiran. Oleh itu, sekiranya kita berpeluang untuk melakukan kebaikan maka jangan berlengah, kita tidak tahu apa yang akan jadi pada hari esok, atau minggu depan atau mungkin tahun depan. Seperti mana peringatan yang diberikan Baginda SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A., Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; Masa hidup sebelum mati; Masa sihat sebelum sakit; Masa lapang sebelum sibuk; Masa muda sebelum tua; Masa kaya sebelum miskin.
(Hadis Riwayat al-Hakim).
Jangan Lalai dan Leka
Seperti yang dijelaskan bahawa kehidupan di dunia ini adalah terhad dan tujuan kita hidup di dunia ini juga sudah jelas adalah untuk menyembah dan beribadah kepada Allah SWT. Tetapi dengan kelalaian dan kelekaan juga keseronokan hidup di dunia manusia kadang kala tertipu dengan hasutan syaitan dan dorongan nafsu. Manusia bersikap seperti mereka akan hidup lebih lama dan tiada pengakhiran buat mereka di dunia ini, dan terus berada dalam kemaksiatan dan melakukan dosa. Kesemua ini kerana, manusia tertipu dengan keseronokan dan keindahan dunia seperti mana dijelaskan dalam firman Allah SWT, maksudnya:
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak…
(Surah al-Hadid: 20)
Hari ini juga kita lihat dengan peningkatan teknologi memudahkan lagi kehidupan manusia. Teknologi yang dicipta juga membantu menjimatkan masa. Namun begitu, apa yang terjadi adalah sebaliknya, teknologi hari ini malahan menjadikan manusia lebih sibuk dengan urusan duniawi. Seharusnya teknologi yang dicipta itu memberi manusia kelapangan masa dan waktu untuk lebih banyak beribadah kepada Allah SWT atau melakukan aktiviti yang bermanfaat. Tetapi yang terjadi, teknologi kini menjadikan manusia kesuntukan masa malahan mengabaikan tanggungjawab kepada Sang Pencipta. Oleh itu, didiklah diri untuk menjadikan teknologi sebagai alat bukan matlamat. Alat untuk memudahkan urusan kita dan melapangkan waktu kita, agar kita lebih banyak masa untuk beribadah dan mencapai redha Allah SWT. Cubalah untuk disiplinkan diri kita dengan mengkhususkan waktu-waktu tertentu untuk melakukan ibadah-ibadah kepada Allah SWT, seperti usaha untuk bangun malam dan bermunajat kepada Allah. Tetapi usaha untuk bangun malam ini harus bermula dengan perancangan aktiviti kita di siang hari dengan baik. Oleh itu, janganlah kita leka dan lalai dengan keindahan dan urusan dunia ini sehingga kita lupa untuk mengejar dan mencapai redha Allah SWT.
Pepatah Arab ada menyebutkan, masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu. Perkara ini mengajar kita untuk menggunakan masa kita dengan baik dan menghabiskannya dengan perkara yang berfaedah. Tahun 2021 pun sudah hampir meninggalkan kita, marilah kita bermuhasabah apakah yang telah kita lakukan dalam 365 hari yang lalu, adakah ianya bermanfaat untuk diri kita, dan pembangunan ummah? Adakah kita menjadi insan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya? Oleh itu, marilah kita bersama-sama perbaharui niat kita, dan memasang azam untuk menjadi insan yang lebih baik dalam usaha mendapatkan ketaqwaan dan mencapai redha Ilahi. Semoga masa yang kita akan lalui pada 365 hari yang akan datang menyediakan kita untuk menjadi hamba Allah SWT yang beriman dan beramal soleh. Wallahu a’lam.
Ira Syatira
Norain Azlan