Bagaimanakah gambaran yang anda boleh berikan, sebagai ciri-ciri sahabat yang setia? Adakah mereka yang mempercayai anda? Atau mereka yang memahami anda? Atau mereka yang tidak pernah meninggalkan anda di saat susah dan senang? Atau mungkin kesemua ciri-ciri ini adalah gambaran kepada sahabat yang setia? Dan adakah anda memiliki sahabat yang setia? Bersahabat adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Bersahabat juga menjadikan dua hubungan ini bukan sahaja menerima malahan saling memberi. Perbezaan di antara manusia menjadikan persahabatan itu indah dan unik, dan dalam al-Qur’an dijelaskan bahawa, Allah SWT menjadikan manusia daripada lelaki dan perempuan juga pelbagai bangsa dan suku untuk saling berkenalan di antara satu sama lain di muka bumi ini. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…

(Surah al-Hujuraat: 13)

Baginda Nabi Muhammad SAW juga mempunyai para sahabat yang sentiasa bersama beliau sepanjang perjuangan dakwah Baginda. Jadi pada penulisan kali ini, akan dikongsikan kisah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang setia bersama Baginda. Kesetiaan beliau pada Baginda SAW sehinggakan beliau menjadi sahabat yang paling dicintai Nabi Muhammad SAW. Siapakah beliau? 

Beliau dilahirkan pada 573 M di Mekah. Beliau bersahabat dengan Nabi Muhammad SAW sejak remaja dan sebelum Baginda SAW dilantik menjadi nabi dan rasul. Beliau juga dua tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW. Beliau telah memeluk agama Islam ketika beliau berumur 38 tahun dan beliau adalah di antara golongan awal yang memeluk Islam (Sabiqun al-Awwalun). Golongan ini adalah golongan awal yang mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah dan mereka ini adalah golongan yang dijamin untuk masuk ke syurga. Tambahan pula, beliau juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mengajak para sahabat yang lain untuk memeluk agama Islam seperti Uthman bin Affan R.A., Abdurrahman bin A’uf R.A., Zubair bin Awwam R.A., dan Sa’ad bin Abi Waqaf R.A. Beliau juga mempunyai 4 orang isteri dan daripadanya beliau mempunyai 6 orang anak1. Salah satu daripadanya adalah Aisyah R.A., isteri kesayangan Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, hubungan beliau dengan Nabi Muhammad SAW, bukan sahaja sahabat, malahan beliau juga adalah bapa mertua kepada Baginda.

Membenarkan Sesuatu Kebenaran

Beliau juga dikenali dengan gelaran as-Siddiq (Jujur dan berkata benar di dalam perkataan dan perbuatan). Ini kerana beliau sentiasa membenarkan segala perkataan, perbuatan dan ajaran Nabi Muhammad SAW. Perkara ini adalah berdasarkan satu peristiwa yang berlaku di Mekah. Ketika Nabi Muhammad SAW memberitahu bahawa Baginda telah melalui perjalanan Israk dan Mikraj dalam satu malam, orang kafir Quraisy yang mendengarkan peristiwa ini telah mentertawakan Nabi Muhammad serta tidak mempercayai Baginda. Lalu orang kafir Quraisy telah pergi bertemu dengan beliau dan memberitahukan perkara tersebut kepada beliau. Beliau ketika itu masih belum mendengar peristiwa tersebut daripada Baginda, lalu beliau bertanya kepada orang-orang kafir Quraisy, “Adakah dia (Nabi Muhammad SAW) yang menyatakan seperti itu?” Orang-orang kafir itu menjawab “Ya” sambil ketawa terbahak-bahak. Mereka menyangkakan bahawa beliau akan menafikan perkara yang disampaikan itu, tetapi malahan beliau menjawab “Jika dia (Nabi Muhammad SAW) berkata demikian maka itu benar.” Dan daripada peristiwa inilah Nabi Muhammad SAW telah memberi gelaran as-Siddiq kepada beliau2. Ketika Baginda SAW dihina dan diejek, dan mereka tidak mempercayai Baginda SAW, beliau sama sekali tidak goyah dengan kepercayaannya terhadap Baginda malahan membenarkan segala perbuatan dan perkataan Baginda. Sifat beliau yang sentiasa membenarkan perbuatan, perkataan dan ajaran Nabi Muhammad SAW membuktikan ketaqwaan beliau. Seperti mana firman Allah SWT, maksudnya:

Dan (nyatalah bahawa) yang membawa kebenaran (tauhid dan hukum ugama) serta ia (dan pengikut-pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum itu), mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah az-Zumar: 33)

Kesalingan dalam Persahabatan

Kesalingan dalam persahabatan di sini bermakna, saling membantu dan memberikan sokongan di antara satu sama lain. Perkara ini ditunjukkan melalui persahabatan di antara Baginda Muhammad SAW dan juga beliau. Seperti mana, dalam peristiwa hijrah, ketika Baginda Nabi Muhammad SAW dikejar oleh orang kafir Quraisy yang berniat ingin membunuh Baginda. Nabi Muhammad SAW telah melarikan diri bersama beliau dan telah bersembunyi di Gua Thur. Ketika beliau mendengar derapan tapak kaki yang mendekati gua tersebut, beliau merasa takut dan khuatir jika orang-orang kafir itu menemui mereka. Lalu Nabi Muhammad SAW telah menenangkan beliau dan Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ثَانِىَ ٱثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِى ٱلْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا ۖ 

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.

(Surah at-Taubah: 40)

Di saat beliau merasa khuatir dan risau akan keselamatan mereka, Nabi Muhammad SAW telah menenangkan beliau dan menenteramkan beliau. Kesalingan ini juga dapat dilihat melalui sokongan penuh tanpa keraguan yang diberikan beliau kepada Nabi Muhammad. Beliau dengan patuh menerima keputusan Baginda SAW dalam perjanjian Hudaibiyah. Walaupun sebahagian para sahabat tidak bersetuju dengan perjanjian yang dianggap berat sebelah itu, beliau sama sekali tidak mempersoalkan perkara tersebut. Kepercayaan yang beliau berikan terhadap Baginda dilihat tanpa syarat. Bahkan beliau sentiasa turut serta dalam semua peperangan bersama Baginda SAW. Ini membuktikan kebersamaan beliau bersama Baginda SAW. Beliau juga menguatkan keyakinan dan menghilangkan kegusaran beliau melalui perbincangan bersama Rasulullah SAW. Oleh itu, di dalam persahabatan beliau bersama Baginda SAW, dilihat kesalingan untuk memberi kekuatan, kepercayaan dan berbincang di antara satu sama lain, mengukuhkan lagi hubungan persahabatan tersebut.

Pengorbanan Demi Agama Islam

Sebelum memeluk Islam, beliau adalah seorang pedagang yang sangat kaya-raya, tetapi setelah memeluk Islam beliau telah menggunakan harta beliau untuk kepentingan dakwah dan kesejahteraan umat Islam. Perkara ini termasuklah beliau telah membebaskan sebahagian hamba-hamba yang telah diseksa oleh orang kafir kerana memeluk agama Islam. Sehinggakan ketika beliau hendak wafat, beliau tidak mempunyai sebarang harta. Tambahan pula, sumbangan beliau demi agama Islam juga bukan sahaja melalui harta, malahan usaha yang beliau tunjukkan ketika memimpin umat Islam. Beliau telah memimpin umat Islam selama lebih kurang 2 tahun sebelum beliau wafat. Beliau adalah khalifah pertama dalam kalangan Khulafa al-Rasyidin. Ketika Baginda SAW telah sakit, Baginda memerintahkan beliau untuk menggantikannya sebagai imam solat. Dan berdasarkan peristiwa tersebut, walaupun Baginda SAW tidak mewasiatkan untuk siapa yang akan menggantikan Baginda, tetapi berdasarkan peristiwa tersebut Umar R.A. dan Abu Ubaidah R.A. telah mencalonkan beliau dan dipersetujui sahabat lain untuk menjadi pemimpin umat Islam kerana mereka merasakan beliau lebih layak3. Setelah dilantik menjadi pemimpin, antara jasa beliau adalah usaha untuk mengumpulkan al-Qur’an menjadi satu, yang telah bermula pada zaman pemerintahan beliau. Selain itu, beliau juga telah berjaya memerangi orang murtad dan golongan yang enggan membayar zakat ketika itu. Banyak jasa dan pengorbanan yang beliau tunjukkan terhadap agama Islam ini.

Siapakah beliau? Beliau adalah Abu Bakar as-Siddiq R.A., atau nama sebenar beliau adalah Abdullah Bin Abu Quhafah. Sebelum beliau memeluk Islam, nama beliau adalah Abdul Kaabah, tetapi setelah memeluk Islam, beliau telah menukar namanya kepada Abdullah4. Beliau wafat pada umur 63 tahun bersamaan dengan 13H/634M. Abu Bakar R.A. telah menjadi sahabat Nabi Muhammad SAW yang setia dalam menempuh pelbagai ujian dan cubaan. Beliau juga sangat dicintai oleh Baginda SAW berdasarkan sebuah hadith, maksudnya:

Sesungguhnya Allah telah menjadikanku sebagai kekasih-Nya, sebagaimana Dia menjadikan Ibrahim sebagai kekasih-Nya. Dan kalau saja aku mengambil dari umatku sebagai kekasih, akan aku jadikan Abu Bakar sebagai kekasih.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak lagi pengajaran (ibrah) yang boleh diambil daripada kisah Abu Bakar R.A. ini. Beliau telah menyerahkan seluruh jiwa dan harta beliau untuk agama Islam. Beliau mempercayai kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tanpa keraguan. Beliau menyerahkan seluruh harta dan kekayaan beliau demi dakwah Islam. Penyerahan beliau yang bersifat ‘total’ (menyeluruh) ini seharusnya menjadi inspirasi buat umat Islam agar lebih bermotivasi dalam perjuangan demi agama ini. Semoga kisah ini menjadi pembakar semangat buat kita dalam mengejar cinta Nabi Muhammad SAW, bukankah indah sekiranya kita bukan sahaja mencintai Baginda SAW, malahan dicintai Baginda, seperti mana Abu Bakar R.A. Wallahu a’lam.

 


1Abu Ja’far Muhammad bin Jarir al-Thabari dalam kitabnya Tarikh al-Umam wa al-Muluk: Tarikh al- Thabary

2Al-Imam Izzudin bin Ali bin Muhammad bin al-Atsir dalam kitabnya Asadu al-Ghabah fi Ma’rifati al- Shahabah.

3Muhammad bin Sa’ad bin Muni’ al-Bashri dalam kitabnya al-Thabaqat al-Kubra

4Dinukilkan oleh Ali al-Tanthawi dalam penulisan beliau tentang Abu Bakar al-Siddiq