Semenjak kerajaan Malaysia sudah memberi kebenaran untuk merentas negeri dan juga ke luar negara, ramai di kalangan kita mengambil kesempatan ini untuk memulakan aktiviti ‘travelling’. Perkara ini juga disambut oleh rakyat Malaysia sebagai sesuatu yang positif dengan terus merancang aktiviti percutian masing-masing. Tambahan pula, ramai di kalangan kita yang sukakan aktiviti melancong ini. Walaupun ianya memerlukan kita untuk mengeluarkan tenaga dan belanja lebih daripada kebiasaannya, tetapi ianya suatu kepuasan apabila perhijrahan sebentar ini memberi peluang kepada kita untuk melihat kecantikan alam, menikmati udara segar atau bertemu dengan ahli keluarga yang sangat dirindui di kampung halaman. Aktiviti ini juga bahkan memberi satu motivasi baru buat kita setelah penat bekerja atau belajar. Motivasi yang kita perolehi ini hakikatnya menyumbang kepada kesihatan akal. Akal yang sihat akan mempengaruhi fizikal kita untuk berada dalam keadaan sihat. Maka, sekiranya anda berpeluang untuk ‘travelling’, jangan lepaskan peluang itu, dan nikmatilah keindahan dan kegembiraannya. Fitrah manusia sukakan perkara yang indah, cantik dan menyenangkan hati mereka. Di dalam al-Quran juga, Allah menjelaskan bahawa bumi yang luas ini hakikatnya dijadikan untuk manusia menikmatinya. Firman Allah SWT:

 

هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ ذَلُولًا فَٱمْشُوا۟ فِى مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا۟ مِن رِّزْقِهِۦ ۖ وَإِلَيْهِ ٱلنُّشُورُ

 

Maksudnya: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).”

(Surah al-Mulk: 15)

 

Ayat di atas memberi galakkan kepada kita untuk berjalan di muka bumi dan makanlah rezeki yang telah dikurniakan kepada kita. Keduanya adalah nikmat yang Allah telah sediakan kepada hamba-hamba-Nya di muka bumi. Maka hargailah nikmat ini, niatkanlah setiap langkah perjalanan kita ini hanyalah untuk mendapat redha daripada Allah SWT. Oleh itu, jauhilah sebarang kemungkaran dan kemaksiatan sepanjang permusafiran kita. Istiqamahlah dalam menjaga ibadah wajib dan sunat, agar kita memperolehi pahala dan redha daripada-Nya melalui permusafiran yang kita lakukan. Firman Allah SWT dalam al-Quran:

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ خَيْرُ ٱلْبَرِيَّةِ

Maksudnya: “Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.”

(Surah al-Bayyinah: 7)

 

Oleh itu, jadilah hamba yang beriman dan sentiasa melakukan amal soleh, tidak kira apa jua situasi dan keadaan, supaya kita menjadi sebaik-baik hamba Allah SWT. Dan tahukah anda, di sebalik permusafiran yang jauh, panjang dan melelahkan itu, tersirat hikmah dan kebaikan yang akan kita perolehi sebagai orang Islam. Kebaikan ini harus kita raih, agar perjalanan kita ini akan mendapat redha daripada-Nya. Itukan yang kita harapkan?



 

Masya-Allah Indahnya!

 

Berjalanlah di muka bumi dan lihatlah keindahan yang Allah ciptakan buat manusia sebagai satu nikmat dan rahmat. Dan apabila merasa takjub dengan keindahan tersebut, jangan lupa untuk menyebutkan zikir Subhanallah atau Masya-Allah, kerana setiap kejadiaan yang kita lihat, adalah kehebatan ciptaan Allah SWT dan mereka juga adalah makhluk-Nya. Selain itu, motivasikanlah diri kita, dengan melihat keindahan alam ini. Lihatlah gunung yang tinggi, bukit yang indah, deruan ombak, dan sungai yang mengalir begitu menenangkan dan mendamaikan. Allah menjadikan semua ini untuk manusia nikmati dan terokai, serta mengambil pengajaran daripada kebesaran Allah SWT. Firman Allah SWT:

 

وَمَا ذَرَأَ لَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُخْتَلِفًا أَلْوَانُهُ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَذَّكَّرُونَ

 

Maksudnya: “Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk kamu di bumi yang berlainan jenisnya (dimudahkan juga untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi kaum yang mahu mengingati nikmat Allah itu.”

 

(Surah an-Nahl: 13)

Mensyukuri Nikmat

 

Kita berjalan dan kadang-kadang ditemukan dengan penderitaan dan kesusahan orang lain. Dengan melihat ini akan menimbulkan rasa syukur dalam hati kita dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Sekiranya kita lelah dalam perjalanan kita, syukurilah nikmat sepasang kaki, sepasang tangan, sepasang mata, sepasang telinga yang Allah kurniakan untuk berjalan dan melihat kebesaran-Nya. Syukurilah juga deria rasa yang Allah kurniakan kepada kita untuk menikmati makanan yang enak dalam perjalanan kita itu. Apabila ditimpa masalah, maka berdoalah kepada-Nya semoga Allah memudahkan segalanya buat kita, dan janganlah merungut. Kesempatan kita berada di dalam permusafiran itu juga adalah salah satu nikmat yang Allah berikan kepada kita. Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:

 

Lihatlah kepada orang yang di bawah kalian, dan jangan melihat orang yang lebih di atas kalian. Yang demikian itu (melihat ke bawah) akan membuat kalian tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan-Nya kepada kalian.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Banyakkan Berdoa Sepanjang Perjalanan

 

Lazimilah diri kita dengan memperbanyakkan doa dan zikir sepanjang permusafiran. Allah memberikan kepada hamba-Nya kesusahan di dalam perjalanan jauh itu untuk lebih banyak berdoa kepada-Nya, kerana waktu tersebut adalah antara waktu mustajab berdoa dan akan dimakbulkan. Maka berdoalah, memintalah, merayulah dan merintihlah kepada-Nya, semoga perjalanan kita akan membawa seribu kebaikan dan hikmah kepada kehidupan di dunia dan akhirat. Dalam sebuah hadis dijelaskan, sabda Nabi Muhammad SAW:

 

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Maksudnya: “Tiga keadaan di mana doa (menjadi) mustajab tanpa keraguan padanya, (iaitu pertama) doa orang yang dizalimi, (kedua) doa orang yang bermusafir, dan (ketiga) doa ibu bapa ke atas anaknya.”

(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

 

Berjalan dan Sebarkanlah Dakwah

 

Sekiranya kita berpeluang untuk melawat ke negara-negara yang majoriti masyarakat bukan Islam, niatkanlah pergerakan, perbuatan dan perlakuan kita untuk menyampaikan dakwah Islam. Sebagai seorang Muslim, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk menyebarkan dakwah, dan ini bukan semata-mata tugas pendakwah. Apakah cara yang kita boleh gunakan untuk menyampaikan dakwah? Dakwah bil hal (dakwah dengan keadaan), kita menyampaikan dakwah dengan menonjolkan akhlak-ahklak Islam melalui perbuatan dan percakapan dengan orang sekeliling dan masyarakat setempat. Tunjukkanlah akhlak Islam yang mulia kepada orang yang bukan Islam. Seperti bertutur dengan sopan, menjaga kebersihan kawasan yang kita lawati, sedekahkan senyuman, ucapkan terima kasih kepada mereka yang telah membantu kita dan sebagainya. Usahakanlah diri kita untuk menjaga imej Islam sebaik mungkin, kerana tugas untuk menyebarkan dakwah Islam itu, boleh datang daripada penonjolan akhlak yang baik (uswattun hasanah). Contohilah akhlak Nabi Muhammad sebagaimana Allah SWT berfirman:

 

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

(Surah al-Ahzab: 21) 

Bukankah Pada Umat Terdahulu Ada Pengajaran…

 

Ambillah ibrah (pengajaran) daripada apa yang kita lihat sepanjang permusafiran yang dilalui. Apabila kita berpeluang untuk melawati sesuatu tempat bersejarah peninggalan umat terdahulu, maka ambillah pengajaran daripada apa yang kita lihat di sana. Oleh itu, sebelum kita melangkah ke sesuatu tempat, kaji dan pelajarilah sejarah tempat tersebut terlebih dahulu. Agar pengetahuan yang kita peroleh akan lebih membantu dalam menghayati peristiwa yang telah berlaku. Contohnya, apabila kita diberi peluang untuk melihat sejarah peninggalan umat terdahulu, bagaimana Allah menghancurkan kaum-kaum yang telah mendustakan-Nya dan sebagainya. Allah tidak meninggalkan sesuatu itu dengan sia-sia melainkan untuk kita mengambil ibrah daripadanya dan meningkatkan lagi ketakwaan dan keimanan kepada-Nya. Firman Allah SWT, maksudnya:

 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.”

(Surah al-An’aam: 11)

 

Merantaulah Orang Yang Berilmu…

 

Sebahagian daripada kita, berpeluang untuk menyambung pengajian jauh daripada tempat asal kita, sama ada di dalam negara atau luar negara. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah. Malahan pergi untuk menuntut ilmu juga, adalah salah satu jihad di jalan-Nya. Bahkan besar ganjaran pahala yang diberikan oleh Allah SWT buat mereka yang merantau jauh untuk menuntut ilmu. Dalam sebuah hadis, disebutkan ganjaran tersebut, sabda Nabi Muhammad SAW:

 

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga…”

(Hadis Riwayat Muslim)

 

Hadis ini menjelaskan bahawa, Allah SWT akan memudahkan jalan ke syurga bagi mereka yang menuntut ilmu, apatah lagi buat mereka yang bermusafir jauh dari tempat tinggal asal untuk mendapatkan ilmu. Tambahan pula, sekiranya kita mengambil pengajaran daripada ulama-ulama terdahulu, mereka merantau jauh ke pelbagai negara, untuk mendapatkan ilmu dan menjadi ‘alim dalam sesuatu bidang. Malahan pada ketika itu, tiada pengangkutan atau kemudahan seperti masa kini, yang memudahkan kita untuk kembali ke tempat asal, atau mendapatkan khabar daripada keluarga yang tinggal jauh daripada kita. Ambillah motivasi dan semangat daripada Imam Bukhari, seorang perawi hadis yang sangat terkenal, merantau lebih 16 tahun untuk mengumpulkan hadis yang sampai pada kita hari ini. Melangkahlah dengan berani seperti Imam Syafie yang merantau sehingga ke Madinah untuk berguru dengan Imam Malik Bin Anas. Imam Syafie juga berkata:

 

Merantaulah orang yang berilmu dan beradab tidak diam beristirahat di kampung halaman. Tinggalkanlah negerimu dan hiduplah asing (di negeri orang)

 

Oleh itu, buat mereka yang sedang merantau jauh untuk menuntut ilmu, motivasikanlah diri anda, apabila lelah dan terasa lemah, rehatlah sebentar dan bangun kembali untuk meneruskan perjuangan anda, janganlah berputus asa dengan syurga yang Allah janjikan buat anda.


 

Eratkan Silaturahim

 

Ramai di kalangan kita juga, mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman apabila dibenarkan untuk merentas negeri. Permusafiran pulang ke kampung halaman, berjumpa ibu bapa dan sanak-saudara adalah salah satu peluang untuk kita mengeratkan lagi silaturahim. Maka ambilah peluang ini, untuk melakukan aktiviti-aktiviti bersama keluarga untuk mengeratkan lagi hubungan, kerana masa keemasan seperti ini tidak akan selalu datang dalam kehidupan kita. Selain itu, bersilaturahimlah dengan orang kampung atau orang sekeliling di tempat kita lawati. Nabi Muhammad SAW bersabda:

وَمَنْ كانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ والْيوم الآخِر، فَلْيصلْ رَحِمَهُ…

Maksudnya: “Sesiapa ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya, hendaknya dia menyambung silaturahim.”

(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Seronoknya Travelling!! Tetapi jadikanlah perjalanan jauh, permusafiran yang lelah itu lebih menggembirakan daripada beberapa keping gambar yang dikongsikan di sosial media, lebih bermakna daripada perkenalan baru, lebih menarik daripada kenangan yang indah, malahan mendapat redha dan pahala daripada Allah SWT. Jagalah niat dan ibadah kita dan jauhilah kemaksiatan sebagai kunci mendapat kebaikan daripada permusafiran itu. Semoga kita menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa mencari ibrah di sepanjang perjalanan kita di muka bumi yang luas ini. Oh ya! Pastikan perjalanan anda sentiasa berada dalam keadaan selamat dan jaga SOP ya… Happy Travelling! Wallahu a'lam