Lembut tidak bertulang, tetapi tajamnya ibarat pedang, boleh ‘menghunus’ sehingga melukakan dan malahan boleh ‘membunuh’ hati-hati orang yang mendengarnya. Apakah itu? Itulah lidah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia sebagai salah satu nikmat. Melalui lidah inilah kita menggunakannya sebagai ejen deria rasa dan mengeluarkan kata-kata. Bicara kata ini juga boleh menjadi sesuatu yang bermanfaat buat diri dan orang lain seperti berzikir, bertarannum, mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran dan sebagainya. Atau mungkin lidah ini telah digunakan untuk perkara-perkara yang tidak bermanfaat malahan mendapat dosa, seperti menipu, mencaci, mengumpat dan lain-lain. Oleh itu, nikmat yang satu ini seharusnya dijaga dengan sebaik mungkin, kerana ianya boleh menjadikan manusia itu masuk ke syurga kerananya atau sebaliknya. Dalam hadith-hadith Baginda SAW bersabda: 

مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الْجَنَّةَ

Barang siapa dapat menjamin bagiku sesuatu yang berada di antara janggutnya (mulut) dan di antara kedua kakinya (kemaluan), maka aku akan menjamin baginya syurga.” 

(Hadis Riwayat Bukhari)

 

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ الْجَنَّةَ فَقَالَ ‏"‏ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ ‏"‏ ‏.‏ وَسُئِلَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ فَقَالَ ‏"‏ الْفَمُ وَالْفَرْجُ ‏"‏

Nabi SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam Syurga. Baginda SAW menjawab: “Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.” 

(Hadis Riwayat al-Tirmizi).

Hadith-hadith ini menunjukkan bahawa menjaga lidah (kata-kata) menjadi salah satu jaminan untuk ke syurga atau dimasukkan ke dalam neraka. Bak kata pepatah Melayu “Kerana Mulut Badan Binasa”, kerana kata-kata yang dikeluarkan, sekiranya tidak dijaga boleh mendatangkan keburukan kepada diri kita sendiri. Banyak sebab yang menjadikan bicara kata kita sesuatu yang bermanfaat atau tidak, dan semua ini adalah pilihan kita untuk mengawal kalimah yang keluar daripada mulut ini, kerana kata-kata yang dilafazkan turut menggambarkan hati kita, Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa, lidah seseorang itu (kata-kata yang dibicarakan) menggambarkan bagaimana hatinya. Jadi kata-kata yang baik lagi bermanfaat, hakikatnya lahir dari hati yang bersih sifatnya. 

Benda Paling Tajam di Dunia?

Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa, lidah manusia adalah benda yang paling tajam di dunia kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan orang lain. Bahkan kerana kata-kata yang dikeluarkan boleh merosakkan hubungan saudara atau persahabatan yang telah terbina sejak sekian lama. Bahayakan?  Oleh itu, berhati-hatilah dalam mengeluarkan kata-kata, ketajaman lidah manusia boleh menghancurkan hati orang yang mendengarnya. Hati yang hancur pasti akan mengambil masa untuk pulih. Jadilah orang yang sentiasa mengeluarkan butir-butir mutiara daripada kata-kata yang dilafazkannya. Ringkas, padat dan begitu bermakna untuk didengari oleh orang lain, bahkan tidak sedikit pun menyakiti mana-mana pihak. Berhati-hatilah dengan kata-kata yang dikeluarkan, kerana ada malaikat yang sentiasa mengawasi dan mencatatkannya. Firman Allah SWT, maksudnya:

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

(Al-Qur’an, Surah al-Qaf:18)

Qaulan Sadida

Dalam al-Qur’an Allah SWT berfirman:

فَلْيَتَّقُوا اللّٰهَ وَلْيَقُوْلُوْا قَوْلًا سَدِيْدًا

“…Oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).”

(Al-Qur’an, Surah an-Nisa’:9)

Ayat di atas, perkataan قَوْلًا سَدِيْدًا (Qaulan Sadida) membawa maksud mengatakan sesuatu yang benar dan tepat. Kadangkala untuk menyampaikan sesuatu kebenaran itu, terasa pahit dan payah, tetapi mengatakannya adalah lebih baik. Dan itulah antara ciri-ciri orang yang bertakwa. Namun begitu, tidak dinafikan ada sesetengah pihak yang mudah berbohong kepada orang lain. Seolah-olah kebohongan itu tidak mendatangkan apa-apa kemudaratan dan juga tidak bakal diketahui oleh siapapun. Tetapi, ingatlah Allah sentiasa mengetahui apa yang dilakukan dan diperkatakan oleh hamba-hambaNya, sedangkan daun yang gugur di muka bumi juga dalam pengetahuan Allah, apatah lagi kebohongan yang dinyatakan manusia. Jauhilah sifat orang-orang munafik ini, kerana orang-orang Muslim dan Mukmin seharusnya menjaga kata-kata mereka daripada menyatakan kebohongan. Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya:

Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga apabila bercakap dia berdusta, jika membuat janji dia mungkiri dan jika diberi kepercayaan dia mengkhianati."

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Jauhi Perdebatan yang Membawa Kepada Perbalahan

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa dalam sesuatu perkara yang memerlukan perdebatan maka lakukanlah dengan baik untuk mencari kebenaran. Seperti mana tuntutan yang disebutkan dalam Firman Allah SWT, maksudnya:

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

Oleh itu, sekiranya ada perkara yang memerlukan kita untuk berbincang bagi mencari satu solusi yang terbaik, maka pilihlah untuk debatkan dengan cara yang baik dan mendamaikan. Elakkanlah provokasi yang boleh menimbulkan pergaduhan dan perbalahan yang sangat ditegah dalam Islam. Bukan sepeti itu yang dituntut dalam Islam, bahkan orang yang melakukannya sangat dibenci oleh Allah SWT. Sabda Nabi Muhammad SAW:

أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الأَلَدُّ الْخَصِمُ

Orang yang paling dibenci oleh Allah adalah orang yang suka berdebat (paling sengit dalam berdebat).”

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim) 

Menjaga Rahsia dan Tidak Membuka Aib

Inilah amalan yang sering kita lihat dalam masyarakat kini. Bergosip dan ‘membawang’, sehinggakan membuka rahsia peribadi atau mengaibkan sesetengah pihak. Sedangkan kita dituntut untuk menjaga rahsia dan keaiban diri sendiri dan orang lain. Usaha menjaga keaiban orang lain, tidak akan sia-sia, malahan Allah akan menutup keaiban kita di akhirat kelak, yang mana itu adalah lebih baik. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: 

لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا إِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Tidaklah seseorang menutupi aib orang lain di dunia, melainkan Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat kelak.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Diam Itu Emas!

Luqman al-Hakim memberikan nasihat kepada anaknya, jika ucapan itu adalah perak, maka diam itu adalah emas. Kadangkala diam itu adalah lebih baik daripada berkata-kata. Diam juga tidak bererti kalah, atau kurang bijak, tetapi dalam sebahagian keadaan mendiamkan diri dan bertenang merupakan kemenangan yang lebih besar. Janganlah kita menjadi orang yang menghamburkan kata-kata tanpa berfikir terlebih dahulu hati dan perasaan orang yang akan mendengarkannya. Dan ingatlah dalam sebuah hadith, ada disebutkan orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat adalah mereka yang mengeluarkan kata-kata yang bermanfaat atau memilih untuk diam daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak bermanfaat. Sabda Baginda SAW:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.”

(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Akhir kalam, semoga kita semua menjadi orang-orang Mukmin dan Muslim yang sentiasa menjaga lisan. Wallahu ‘allam.