"Harapnya pergi haji nanti, semua orang baik-baik. Barulah boleh fokus ibadah dengan tenang. Nak dapat haji mabrur." Ujar Aimi kepada makciknya yang telahpun mengerjakan haji pada tahun sebelumnya. 

"Awak harap semua manusia akhlak baik, tak ganggu awak, barulah boleh tercapai matlamat ibadah haji yang mabrur?" Makciknya membalas.

"Salah ke?"

"Bukan nak cakap salah atau tak. Tapi, harapan macam tu ibarat nak puasa tapi harap tak rasa lapar, dahaga & letih. Ibarat nak bagi zakat, tapi harap duit tak berkurang setiap kali keluarkan duit. Ibarat laksanakan solat, tapi harap waktu terhenti supaya pelaksanaan solat tak guna waktu yang ada." 

"Eh..."

"Ibarat nak panjat gunung, tapi tak nak rasa penat dan letih. Ibarat nak dapat segulung ijazah, tapi tak nak ambil peperiksaan." 

"Maksudnya, kalau pergi haji, memang kena sabar hadap perangai manusia?"

"Ya. Itu pakej kurikulum dalam ibadah haji. Tak nak diuji dengan sikap manusia ibarat tak nak jawab soalan-soalan atas kertas peperiksaan yang kita tak suka. Tapi masih harap dapat markah penuh." 

 

***

Islam sebagai deen adalah sistem kehidupan. Melaksanakan rukun Islam seperti solat, zakat dan haji bukanlah satu-satunya tujuan manusia diciptakan. Namun, kewajipan tersebut adalah proses agar manusia bentuk peribadi hingga tercapai tujuan pengabdian. Jiwa hamba inilah yang memungkinkan seseorang mengambil Islam sebagai sistem hidup. 

Sebagai contoh solat, tujuannya adalah untuk ingat Allah SWT (rujuk surah Toha ayat 14). Apabila manusia dilatih ingat Allah s.w.t sekurang-kurangnya 5 kali sehari, terbinalah peribadi yang dalam kehidupan harian, berusaha buat tindakan atas jalan yang lurus. Tidak ingkar kepadaNya. Kerana selalu diingatkan akan Dia. 

Puasa, tujuannya membangun perisai taqwa (rujuk surah Al-Baqarah ayat 183). Apabila manusia dilatih tidak ikut kehendak diri untuk makan ketika rasa lapar, terbinalah peribadi yang membesarkan Allah s.w.t berbanding hawa nafsu sendiri. 

Ibadah haji, juga adalah medan latihan yang punyai matlamat tersendiri. Berhubung dan berinteraksi sesama manusia mengikut panduan wahyu adalah salah satu kurikulum dalam ibadah haji. 

 

ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٞ مَّعۡلُومَٰتٞۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي ٱلۡحَجِّۗ وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٖ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُۗ وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُونِ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ  

 

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa; dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal.

[Al-Baqarah, 2: 197] 

Khusus ayat di atas, 3 larangan semasa haji adalah :

1) Tidak mencampuri isteri

2) Tidak berbuat maksiat

3) Tidak bertengkar. 

Ketiga-tiga larangan di atas perlukan kemahiran seorang insan untuk menahan diri. 

Jika untuk puasa Ramadhan, kita latih anak-anak dengan puasa suku hari atau separuh hari sebelum tiba usia mereka diwajibkan berpuasa. 

Apa pula persiapan untuk bakal jemaah haji? 

Selain bekalan kewangan yang mencukupi, bekalan taqwa amat penting sebagaimana yang disebut dalam ayat di atas. 

وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ

Sebelum pergi haji, binalah kekuatan taqwa yang usaha taat perintahNya dan jauhi laranganNya. 

Sebelum pergi haji...

Latih diri untuk tidak mengumpat dan mencela.

Latih diri untuk tidak berburuk sangka.

Latih diri untuk memaafkan

Latih diri untuk tidak pandang rendah pada orang lain. 

Latih diri untuk bergaul pelbagai kaum. 

Ini hanya salah satu contoh panduan tidak bermaksiat dalam Surah Al-Hujuraat yang banyak beri panduan etika bersosial. 

Jika di luar ibadah haji, tiada sistem yang mengawal mukmin tatkala terbuat maksiat. Misalnya, tiada denda apabila mencela atau bertengkar dengan orang sekeliling. Tiada denda jika ambil hak orang lain saat tiada yang menyedari . 

Tetapi, jika larangan haji (misalnya 3 larangan dalam ayat di atas) dilakukan, jiwa mukmin pasti mahu bertanggungjawab membayar dam walaupun orang sekeliling tidak tahu dirinya melanggar peraturan haji. Begitulah istimewanya ibadah haji yang bukan sekadar ibadah kerohanian hubungan antara si hamba dengan Allah s.w.t. Tetapi turut merangkumi ibadah terkait hubungan sesama manusia. 

Lalu, bagaimana untuk bersikap tatkala menghadapi pelbagai karenah manusia semasa melakukan ibadah haji? 

Luaskanlah kefahaman mengenai skop ibadah haji. Ibadah haji bukan semata-mata berjaya melakukan tawaf & sa'i dengan tenang. 

Sabar dengan karenah manusia yang berebut-rebut dan tolak-menolak ketika tawaf ketika itu adalah ibadah.

Tidak melontarkan kata-kata buruk terhadap manusia yang bersikap buruk terhadap diri juga adalah ibadah. 

Memaafkan orang-orang yang gagal kawal emosinya adalah ibadah.

Syukuri setiap peluang untuk sabar.

Syukuri setiap peluang untuk memaafkan.

Syukuri setiap peluang untuk berbuat kebaikan. 

Kesemuanya adalah peluang ibadah dan Dia tidak sia-siakan setiap amalan. Dia Maha Mengetahui apa yang hamba-hambaNya lakukan. 

***

"Cuba bayangkan, awak masuk dewan peperiksaan, lepas tu penyelia dalam dewan sorok kertas peperiksaan. Tak bagi jawab" Makcik menambah.

"Uish. Mana boleh. Nanti habis masa. Tak sempat jawab." 

"Ya, peperiksaan tu, ada nilainya. Walaupun tak suka, akan mahu juga jawab. Terkait dengan ibadah haji, bukanlah sikap kita dengan cuba larikan diri daripada manusia-manusia yang kita tak selesa dengan perangainya. Sedangkan itulah ujiannya. Kita tak boleh lari pun. Apa yang kita boleh usahakan adalah persiapkan diri dengan taqwa supaya lebih mampu bersabar, lebih mampu memaafkan, lebih mampu berbuat baik dengan mereka."

"Faham..."

"Dan nak tahu apa yang lebih mencabar?"

"Apa dia?"

"Itulah hubungan kita dengan insan-insan yang bersama dengan kita. Yang pergi haji dengan suami isteri atau adik-beradik, kalau sebelum pergi haji selalu marah-marah & bertengkar, agak-agak apa kemungkinan yang berlaku semasa haji?"

"Mesti lebih mencabar. Suasana lebih tertekan."

"Sebab itulah, sebaiknya pulihkan hubungan interaksi antara sesama sebelum pergi haji. Siapkan bekal taqwa. Siapkan jiwa tahan marah, jiwa penyabar, jiwa baik hati. Moga-moga mendapat haji mabrur."