“Nak melancong. Jom pergi New Zealand! Pemandangan sana cantik-cantik.” Nur mengajak jirannya merangkap teman rapat.
“Ingat nak guna duit pergi umrah dulu.” Hakimah menjawab.
“Owh. Tu ibadah, bukan melancong. Buat sekali, cukuplah. Kan dah umrah tahun lepas?”
“Nak pergi lagi.”
“Sana kan panas. Padang pasir lagi. Apa yang menariknya sampai nak pergi banyak kali?”
“Tarikan bukan pada kecantikan pemandangan semata-mata. Ada banyak hal yang terkesan di hati membuatkan orang nak pergi ke sana lagi dan lagi.”
***
Ketika melakukan umrah atau haji, ada banyak syi’ar-syi’ar Allah s.w.t yang boleh disaksikan. Mengikut terjemahan, syi’ar adalah lambang agama Allah s.w.t. Menurut Raghib al-Asfahani, hal-hal yang disebut sebagai “syi’ar” adalah hal yang dapat diketahui atau dirasakan oleh hati. Kata مَشَاعِرُ bererti perasaan. Ada sentuhan emosi yang seharusnya disedari melalui syi’ar berkenaan. Justeru, peranan hati amat penting dalam hal ini agar mampu merasakan apa yang selayaknya dirasakan.
Hati yang bertaqwa akan menzahirkan perbuatan menghormati syi’ar-syi’arNya. Tanpa hati yang disucikan dengan taqwa, khuatir “rasa” yang selayaknya hadir terhadap syi’ar tidak terbit.
ذَٰلِكَۖ وَمَن يُعَظِّمۡ شَعَٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقۡوَى ٱلۡقُلُوبِ ٣٢
Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.
[Al Hajj:32]
Antara syiar ketika umrah dan haji adalah bukit Safa dan Marwah.
۞إِنَّ ٱلصَّفَا وَٱلۡمَرۡوَةَ مِن شَعَآئِرِ ٱللَّهِۖ فَمَنۡ حَجَّ ٱلۡبَيۡتَ أَوِ ٱعۡتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَاۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيۡرٗا فَإِنَّ ٱللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ ١٥٨
Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syi'ar Allah. Maka barangsiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau ber'umrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sa'i antara keduanya. Dan barangsiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui.
[Al Baqarah:158]
Ibadah sa’i yang melibatkan syi’ar Allah s.w.t seharusnya menumbuhkan sebuah rasa yang memberi impak kepada diri yang melakukan umrah atau haji. Perbuatan berjalan jauh ini tidak seharusnya dianggap sama dengan perbuatan seseorang berjalan mengembara di tempat-tempat lain. Ada kelainan pada perjalanan antara bukit Safa dan Marwah kerana dua syi’ar ini menerbitkan perasaan yang sukar digambarkan
Mari renungi tiga ayat sebelum ayat ke-158 surah Al-Baqarah ini.
Dunia sebagai tempat ujian.
Pada ayat ke-155, Allah s.w.t mengkhabarkan realiti sebuah kehidupan yang pasti akan diuji. Senarai bentuk-bentuk ujian dijelaskan sebahagiannya pada ayat ini.
وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥
Dan Kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
[Al Baqarah:155]
Melalui kalimah لَنَبۡلُوَنَّكُم , terdapat dua penegasan iaitu ل dan نّ yang memberi kita kefahaman bahawa ujian itu sesuatu yang manusia tidak boleh lari daripadanya. Selagi mana hidup di dunia, itulah lumrah.
Bentuk-bentuk ujian termasuklah :
- Ujian ketakutan
- Ujian kelaparan
- Ujian kekurangan harta
- Ujian kehilangan jiwa
- Ujian kehilangan buah-buahan (hasil usaha)
Jika diperhatikan, bentuk ujian yang dikhususkan pada ayat ini adalah terkait kepemilikan. Jiwa mukmin yang bersabar, tatkala ditarik apa yang dimilikinya di dunia, cepat-cepat menyedari bahawa realiti kepemilikan adalah milik Allah s.w.t. Justeru, Dia boleh menariknya pada bila-bila masa sebagai bentuk ujian kepada hambaNya. Golongan yang bersabar ini mampu menuturkan ungkapan “Dari Allah s.w.t kita datang dan kepada Allah s.w.t kita kembali.”
ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٞ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ ١٥٦
(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun".
[Al Baqarah:156]
Kalimah أَصَٰبَتۡهُم dengan terjemahan “ditimpa” adalah dari kata akar صوب . Menurut Raghib Al-Asfahani أَصَابَ السَّهْمُ adalah anak panah yang sampai pada sasarannya dengan benar. Kata المُصِيبَةُ pula, asalnya bermakna “sasaran anak panah” yang kemudian digunakan untuk menunjukkan musibah atau bencana.
Melalui ayat ini, kita pelajari bahawa ujian musibah yang menimpa setiap individu adalah bersasar dan tepat.
Bukan kebetulan.
Tiada kebetulan dalam ketetapan ujian kiriman Allah s.w.t.
Memang setiap ujian mengenai setiap individu secara tepat.
Menyedari hakikat ini, jiwa yang beriman kepada Allah s.w.t dan meyakini kalamullah akan tahu bahawa sebarang ujian yang dihadapi memang khusus ditimpa ke atas diri. Golongan yang mendapat petunjuk akan memahami realiti ini lalu memilih jalan sabar ketika menghadapinya.
Ganjarannya, orang-orang yang sabar akan mendapat solawat (penghormatan) dan rahmat daripada Robb.
أُوْلَٰٓئِكَ عَلَيۡهِمۡ صَلَوَٰتٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَرَحۡمَةٞۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُهۡتَدُونَ ١٥٧
Mereka itulah orang-orang yang memperoleh solawat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. [Al Baqarah:157]
Hajar sebagai teladan mukmin yang sabar
Setelah menjelaskan mengenai hakikat ujian, Allah s.w.t menyambung ayat berkenaan dengan Safa dan Marwah.
۞إِنَّ ٱلصَّفَا وَٱلۡمَرۡوَةَ مِن شَعَآئِرِ ٱللَّهِۖ فَمَنۡ حَجَّ ٱلۡبَيۡتَ أَوِ ٱعۡتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَاۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيۡرٗا فَإِنَّ ٱللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ ١٥٨
Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syi'ar Allah. Maka barangsiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau ber'umrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sa'i antara keduanya. Dan barangsiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui.
[Al Baqarah:158]
Safa dan Marwah menjadi saksi kesabaran Hajar menerima ujian daripada Allah s.w.t. Ketika Nabi Ibrahim a.s diperintahkan untuk meninggalkan isteri dan anaknya di Mekah yang ketika itu tiada apa-apa, Hajar menerima ujian ini dengan kesabaran.
Hajar sabar menerima ujian ketakutan ditinggalkan suaminya.
Hajar sabar menerima ujian kelaparan.
Hajar sabar menerima ujian “kehilangan harta” kerana berhijrah serta meninggalkan tempat tinggal asalnya.
Kesabaran Hajar ulang-alik daripada Shafaa dan Marwa sebanyak tujuh kali seharusnya menerbitkan rasa keinsafan bagi mereka yang melakukan ibadah sa’i selanjutnya mengambil pengajaran besar daripada peristiwa ini.
Realitinya, Safa dan Marwa bukan sekadar dua bukit untuk manusia merasai pengalaman mendaki. Tetapi, di sebaliknya ada makna besar tentang peribadi manusia sabar yang kuat hadapi ujian kiriman Tuhan.
Moga-moga, kita tergolong mereka yang mampu garap segala rasa tatkala melakukan ibadah sa’i selanjutnya membentuk diri teguh yang sabar menghadapi ujian kiriman Tuhan.