Bismillah.

Antara yang dicita-citakan oleh setiap insan adalah menjadi golongan beruntung. 

Siapakah golongan yang beruntung disisi Allah?

Apa pula kaitan orang yang beruntung dengan orang-orang yang menyucikan diri?

Penyucian apa yang sangat signifikan yang perlu dilakukan oleh setiap insan?

Bagaimana penyucian diri dapat dilakukan?

InshaAllah, tulisan ini akan menjawab persoalan-persoalan di atas menurut perspektif wahyu.

Siapakah golongan yang beruntung menurut Al-Qur’an? Allah berfirman di dalam surah Al A’la : Ayat 14 dan Ayat 15.

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن تَزَكَّىٰ (١٤) وَذَكَرَ ٱسۡمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ (١٥)

14.  Sesungguhnya beruntung orang yang menyucikan diri.

15.  Dan mengingati nama Tuhannya, lalu dia solat.

Berdasarkan surah Al’ Ala di atas, Allah menyatakan orang yang beruntung dan berjaya adalah orang-orang yang menyucikan dirinya. Ma shaa Allah,  individu yang melakukan proses penyucian diri itu termasuk di dalam kategori orang yang beruntung.

Terinspirasi dengan kisah sahabat Nabi s.a.w yang istimewa, Abdullah bin Ummi Maktum yang bersegera berjumpa Nabi s.a.w untuk mendapat peringatan dan ingin menyucikan diri. Allah rakamkan kisah yang istimewa ini di dalam Surah Abasa : Ayat 1 sehingga Ayat 4.

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلۡأَعۡمَىٰ (٢) وَمَا يُدۡرِيكَ لَعَلَّهُ ۥ يَزَّكَّىٰٓ (٣) أَوۡ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ ٱلذِّكۡرَىٰٓ (٤)

1.  Ia memasamkan muka dan berpaling,

2.  Kerana ia didatangi orang buta.

3.  Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya 

4.  Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.

 

Apa pelajaran untuk kita? Di sisi Allah, orang yang mulia itu bukan berdasarkan status sosial, pangkat, darjat, namun adalah ketaqwaan dan orang yang sentiasa ingin menyucikan diri dari segala dosa dan kemaksiatan serta berusaha untuk mendapatkan peringatan.

Allah berfirman di dalam Surah Al Syams : Ayat 9 dan Ayat 10 tentang beruntung orang-orang yang menyucikan dirinya

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا (٩) وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا (١٠)  

9.  Sesungguhnya beruntung orang yang menyucikan jiwa.

10.  Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.

Persoalan seterusnya bagaimanakah panduan untuk menyucikan diri? Apakah perkara- perkara yang perlu dilakukan untuk menyucikan diri?

Pertama adalah sucikan diri dengan petunjuk Al- Qur’an. Sumber yang dijadikan rujukan dalam proses penyucian diri adalah Al- Qur’an. Perkara ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al Baqarah : Ayat 129.

رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيہِمۡ‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (١٢٩)

129.  "Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Qur’an) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

 

Kedua, sucikan diri dengan menjauhi kemusyrikan. Allah berfirman di dalam Surah Al An’am : Ayat 14

قُلۡ أَغَيۡرَ ٱللَّهِ أَتَّخِذُ وَلِيًّ۬ا فَاطِرِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَهُوَ يُطۡعِمُ وَلَا يُطۡعَمُ‌ۗ قُلۡ إِنِّىٓ أُمِرۡتُ أَنۡ أَڪُونَ أَوَّلَ مَنۡ أَسۡلَمَ‌ۖ وَلَا تَڪُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ (١٤)

14.  Katakanlah: "Patutkah aku mengambil (memilih) pelindung yang lain dari Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Ia pula yang memberi makan dan bukan Ia yang diberi makan?" Katakanlah: "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam), dan (aku diperintahkan dengan firmanNya): `Jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan orang-orang musyrik itu. ' "

 

Ketiga, sucikan diri dengan taubat dan saling memaafkan. Perkara ini dinyatakan di dalam Surah Al Imran : Ayat 133 sehingga Ayat 135

۞ وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ (١٣٣) ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٣٤) وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَـٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَہُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ (١٣٥)

133.  Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

134.  Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

135.  Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Keempat, sucikan kekayaan dengan  zakat, infaq dan sedekah. Allah berfirman di dalam surah Al lail : Ayat 17 dan Ayat 18

وَسَيُجَنَّبُہَا ٱلۡأَتۡقَى (١٧) ٱلَّذِى يُؤۡتِى مَالَهُ ۥ يَتَزَكَّىٰ (١٨)

17.  Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa, 

18.  Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya,

Sebagaimana kita perlu membersihkan diri kita setiap hari dari kotoran. Begitu penting juga kita menyucikan rohani, jiwa kita dari dosa, kemusyrikan dan kezaliman. 

Proses penyucian jiwa kita perlu dilakukan setiap hari dengan mengikut proses dan aturan yang ditetapkan oleh Allah. Hal ini kerana sebagai seorang hamba kita tidak lepas dari membuat kesalahan samada melibatkan perkara kecil atau besar.

Antara perkara yang boleh kita sama-sama usahakan untuk penyucian adalah:

  1. Istighfar dengan penuh kesedaran.
  2. Melakukan solat taubat mengharapkan keampunan.
  3. Membuat jurnal refleksi untuk muhasabah diri.
  4. Melakukan tadabbur Al- Qur’an secara istiqamah.

Proses penyucian diri ini memerlukan mujahadah yang berterusan. Namun, ayuh kita minta kekuatan dari Pencipta untuk terus dikurniakan taufik untuk menyucikan diri dari kesyirikan, dosa dan kemaksiatan.

Dosa kita mungkin menggunung tinggi, namun rahmat Tuhan begitu besar.

Maka, wahai diri berusahalah menyucikan diri dengan petunjuk ilahi sebelum dikau dipanggil Pencipta.

Ayuh istighfar memohon keampunan kepada yang Maha Pengampun.

Merenung diri dimalam hari dengan sujud kepada PenciptaMu.

Teruskan berinteraksi dengan Al- Qur’an supaya dikau dipandu petunjuk ilahi.