Setelah kemeriahan Syawal disambut di kampung halaman bersama keluarga tercinta, kini kita akan menghampiri fasa yang seterusnya. Fasa di mana undangan diterima untuk memenuhi jemputan rumah terbuka. Apabila membayangkan kemeriahan rumah terbuka sudah cukup membuatkan kita merasakan tak sabar untuk ke sana. Kemeriahan yang diisi dengan berkumpulnya saudara-mara, jiran tetangga, rakan-rakan, dijamu dengan keenakan pelbagai juadah, suara hiruk-pikuk perbualan bertanya khabar dan gelak ketawa kanak-kanak di samping menghulurkan tangan saling bermaafan. Di Malaysia khususnya, rumah terbuka pada sambutan perayaan Aidilfitri telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat. Dengan niat juga harapan mengeratkan silaturahim serta bermaafan. Di sebalik kesibukan menguruskan kehidupan masing-masing, rumah terbuka menjadi satu peluang untuk bertemu dengan mereka yang jarang sekali kita menyapa. Semoga dengan pertemuan ini diharapkan jalinan ikatan ukhwah yang terbina itu akan terus bertaut selamanya. Namun begitu, sering kali kita terlupa beberapa perkara dalam menyambut kemeriahan rumah terbuka ini. Apa dia ya? Semua tetamu dah jemput…makanan dah kita order…tetapi jangan lupa…. 

JANGAN LUPA TETAPKAN NIAT YANG BENAR

Ya! Niat, tetapkan niat yang lurus dan benar, mengapa kita mengadakan rumah terbuka ini. Jangan jadikan rumah terbuka yang seharusnya menjadi peluang dan ruang untuk tuan rumah meraih pahala bertukar sebaliknya. Oleh itu, tetapkan niat yang benar iaitu rumah terbuka kita ini adalah untuk mengeratkan silaturahim sesama kita, merapatkan lagi jurang-jurang hubungan antara jiran-jiran dan kawan-kawan kita. Itulah kelebihan penganjuran rumah terbuka yang kadang-kadang kita terlupa. Amalan ini bukan sekadar memberikan jemputan kepada mereka yang kita rapat sahaja, tetapi seharusnya amalan ini harus dijadikan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan yang terputus atau semakin renggang akibat kesibukan kita bekerja dan menguruskan kehidupan masing-masing. Perkara ini seperti mana, yang disebutkan dalam sebuah hadith:

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنَّ الْوَاصِلَ الَّذِي إِذَا انْقَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

Daripada ‘Abdullah bin 'Amru RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seseorang itu digelar al-Wasil (penyambung silaturrahim) apabila dia bersifat al-Mukafi`I (orang yang menyambung silaturrahim jika saudaranya menyambungnya dan akan memutuskan apabila mereka memutuskannya), akan tetapi al-Wasil itu ialah seseorang yang apabila terputus silaturrahim, beliau segera menyambungkannya."

(Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

Hadith di atas menjelaskan kepada bahawa ‘wasil’ adalah mereka yang bersegera menyambungkan tali hubungan silaturahim yang telah putus. Oleh itu, penganjuran rumah terbuka adalah saat yang paling sesuai, disamping meraih pahala melalui memberikan makan kepada para tetamu, peluang ini harus diraih dengan menyambung kembali tali hubungan yang sudah sekian lama terbina. Bahkan seharusnya, ianya berlaku sepanjang kehidupan kita untuk menyambungkan tali silaturahim ini.

JANGAN LUPA, JEMPUT MEREKA YANG PALING DEKAT…

Mereka yang paling dekat dengan kita adalah mereka yang akan sampai dulu pada kita saat kita ditimpa kesusahan. Selain daripada ahli keluarga, jangan lupa jiran tetangga. Kadang-kadang orang terdekat inilah yang kita lupa, untuk berikan jemputan khusus bagi memeriahkan lagi rumah terbuka. Sedangkan yang jauh kita boleh sampaikan berita, apatah lagi mereka yang dekat. Lebih baik, sekiranya jemputan itu kita berikan secara sapaan bertemu di hadapan rumah, atau bertandang ke rumah mereka, atau mungkin menghubungi mereka secara khusus. Menunjukkan kesungguhan kita untuk menjemput mereka ke jamuan kita dan meraikan mereka sebagai orang yang terdekat dalam kehidupan berjiran ini. Jemputan ini diberikan, tidak lain tidak bukan, untuk beramah mesra bersama jiran-jiran kita, disamping mengeratkan lagi hubungan sesama kita. Firman Allah SWT:

 

وَاعۡبُدُوا اللّٰهَ وَلَا تُشۡرِكُوۡا بِهٖ شَيۡـئًـا​ ؕ وَّبِالۡوَالِدَيۡنِ اِحۡسَانًا وَّبِذِى الۡقُرۡبٰى وَالۡيَتٰمٰى وَ الۡمَسٰكِيۡنِ وَالۡجَـارِ ذِى الۡقُرۡبٰى وَالۡجَـارِ الۡجُـنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالۡجَـنۡۢبِ وَابۡنِ السَّبِيۡلِ ۙ وَمَا مَلَـكَتۡ اَيۡمَانُكُمۡ​ ؕ اِنَّ اللّٰهَ لَا يُحِبُّ مَنۡ كَانَ مُخۡتَالًا فَخُوۡرَا ۙ

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri."

(Surah an-Nisa’: 36)

Ayat di atas menjadi satu tuntutan kepada umat Islam untuk melakukan kebaikan, termasuklah di dalam amal ibadah dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ayat ini juga menuntut kita untuk menjaga hubungan sesama manusia, seperti berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga serta rakan-rakan juga mereka yang sedang bermusafir dan mereka yang mengalami kesusahan. Oleh itu, penuhilah tuntutan ini melalui penganjuran rumah terbuka kita, dengan menyebarkan kebaikan kepada golongan-golongan ini. Perkara ini termasuklah, jangan kita ketepikan golongan fakir dan miskin, golongan inilah seharusnya kita jemput ke jamuan rumah terbuka dan berkongsi rezeki dengan mereka. 

JANGAN MEMBAZIR DAN BERPADA-PADA

Bagi tuan rumah sudah pasti teruja untuk menyediakan pelbagai juadah kepada tetamu yang hadir. Tetapi berhati-hatilah dan bersikap waspada, jangan sampai kita membazir dan makanan yang ada juga berlebihan. Berpada-pada dalam menyediakan makanan kepada tetamu, dikhuatiri juga akhirnya makanan tersebut berakhir di tempat yang tidak sepatutnya. Janganlah kita ikuti hawa nafsu, kerana membazir itu adalah amalan syaitan. Seperti mana Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” Jangan biarkan pembaziran itu akan mencacatkan pahala kita menyediakan juadah buat tetamu. Apa yang dibazirkan itu seharusnya mempunyai bahagian untuk orang lain yang boleh diinfakkan dan dimanfaatkan bagi memperolehi ganjaran pahala. Ikutilah ajaran Rasulullah SAW dalam menetapkan menu yang bakal dihidangkan serta bilangan untuk setiap menu. Seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadith:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامُ الِاثْنَيْنِ كَافِي الثَّلَاثَةِ وَطَعَامُ الثَّلَاثَةِ كَافِي الْأَرْبَعَةِ

“Dari Abu Hurairah R.A., katanya: Rasulullah SAW bersabda: Makanan dua orang cukup untuk tiga orang, makanan tiga orang cukup untuk empat orang.”

(Hadith Riwayat Bukhari).  

Hadith ini mengajarkan kita kaedah untuk menyediakan kuantiti juadah, agar ianya tidak berakhir dengan pembaziran. Tuan rumah, selaku penganjur rumah terbuka, tidak perlu khuatir makanan tidak mencukupi, sediakan seadanya dan berpada-pada, in shaa Allah makanan yang terhidang itu akan cukup dan dilimpahi dengan barakah serta memberikan kegembiraan kepada tetamu. 

BUAT TETAMU JUGA, JANGAN LUPA…

Buat tetamu, disebalik tuntutan memenuhi jemputan, jangan lupa jagalah adab kita, ketika berada di rumah terbuka. Seperti adab makan, janganlah kita ambil berlebihan, ingatlah mereka yang masih belum hadir, dan jangan sampai makanan yang kita ambil itu, kita tidak mampu menghabiskannya, perkara ini akan mengundang pembaziran. Selain itu, beradablah juga dalam berbual dan berkunjung ke rumah terbuka. Berpada-pada dalam meraikan kemeriahan tersebut. Jangan sampai kita hilang adab dan budaya Melayu yang telah diajarkan kepada kita. Bahkan Islam menuntut kita untuk menjaga adab dan akhlak, seperti mana disebutkan dalam sebuah hadith:

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِيَارُكُمْ أَحَاسِنُكُمْ أَخْلَاقًا

“Daripada Abdullah bin Amr ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik orang di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kalian.”

(Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

Mereka yang terbaik adalah bukan kerana pakaian yang cantik-cantik, rupa paras yang indah, atau kemewahan yang melimpah. Tetapi mereka yang terbaik adalah orang yang paling baik akhlaknya. Oleh itu, sebagai tetamu juga seharusnya mempamerkan akhlak yang mulia dihadapan tetamu lain yang hadir di samping menunjukkan rasa hormat kepada tuan rumah.

Rumah terbuka seharusnya menjadi ruang kepada tuan rumah dan para tetamu untuk meraih pahala dalam menyambungkan lagi silaturahim. Maka janganlah kita kotori dengan dosa dan maksiat di dalam penganjuran rumah terbuka ini. Perkara ini termasuklah penganjuran yang tidak menepati syariat agama, seperti lalai dalam keseronokan sehingga meninggalkan ibadah wajib iaitu solat. Penganjuran yang membuka muzik yang kuat sehingga mengganggu jiran-jiran lain, atau tidak menjaga ikhtilat di antara tetamu lelaki dan wanita. Penganjuran ini tidak seharusnya dicampuri dengan perkara-perkara seperti ini, biarlah ianya memberi kebaikan dan membawa keberkatan kepada kita sebagai penganjur dan kepada kita juga sebagai yang menghadiri rumah terbuka. Wallahu a’lam.