Anugerah terindah kepada setiap makhluk yang bergelar manusia adalah akal fikiran.

Akal yang membezakan manusia dengan makhluk ciptaan Allah yang lain.

Sejauh mana kita mensyukuri nikmat akal ini?

Sejauh mana kita memanfaatkan anugerah akal ini mengikut petunjuk Allah?

Sejauh mana kita mengoptimumkan potensi akal untuk kemaslahatan masyarakat.

Mari kita merenung ayat-ayat Al-Qur’an tentang perintah berhubung menggunakan akal.

Antaranya Surah Al Baqarah: Ayat 44

۞أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ [البقرة: 44] 

«Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu menggunakan akal ?»

Surah Al Anbiya: Ayat 10

لَقَدۡ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكُمۡ كِتَٰبٗا فِيهِ ذِكۡرُكُمۡۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ [الأنبياء: 10] 

«Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak menggunakan akal?

Surah An Nahl: Ayat 78

وَٱللَّهُ أَخۡرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهَٰتِكُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ شَيۡ‍ٔٗا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَٰرَ وَٱلۡأَفۡ‍ِٔدَةَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ [النحل: 78] 

«Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur»

Anugerah akal yang dikurniakan perlu dimanfaatkan untuk mentadabburi ayat-ayat Allah, merenung ciptaan Allah, melakukan muhasabah diri, memperbaiki diri,dan menghasilkan ciptaan-ciptaan yang bermanfaat untuk semua.

Maka, syukurilah nikmat akal kurniaan illahi ini.

Teruskanlah membaca dengan nama Tuhanmu.

Mendapatkan petunjuk.

Mencari solusi di dalam kehidupan.

Jangan dipersiakan anugerah Ilahi ini.

Ingat, setiap manusia adalah sebaik-baik kejadian.

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ فِيٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٖ [التين: 4] 

«Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)»

Maka, teruskanlah melangkah dan menyebarkan kebaikan walau dimana jua berada.

Al-Qur’an sumber peringatan kepada seluruh manusia. 

Surah Al Hijr: Ayat 9

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ [الحجر: 9] 

«Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya»

Surah Az Zukhruf : Ayat 44

وَإِنَّهُۥ لَذِكۡرٞ لَّكَ وَلِقَوۡمِكَۖ وَسَوۡفَ تُسۡ‍َٔلُونَ [الزخرف: 44] 

«Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan)»

Formula penting untuk menjadi insan yang berjaya adalah dengan menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk dan peringatan di dalam kehidupan. Mengoptimumkan potensi akal untuk dimanfaatkan ke arah kebaikan dengan melakukan proses berfikir.

Zikir dan fikir adalah elemen penting yang perlu dimanfaatkan oleh setiap insan untuk berkembang maju.

Setiap insan tanpa mengira status, latar belakang, keturunan adalah sama di sisi Tuhan. Perkara yang membezakan setiap insan adalah urusan ketaqwaan. Allah memberikan anugerah yang tidak ternilai kepada manusia untuk berkembang iaitu Al-Qur’an sebagai sumber peringatan dan akal untuk berfikir.

Kedua-dua nikmat ini perlu dimanfattkan untuk perkembangan diri dan kemaslahatan umum.

Antara cara-cara untuk memanfaatkan anugerah ini ialah:

  1. Ayat-Ayat Al-Qu’ran yang perlu ditadabburi, melakukan proses refleksi. Ayat-ayat kauniah (selain ayat-ayat Al-Qur’an, contohnya ayat-ayat tentang ciptaan Allah seperti alam semesta) yang perlu diperhatikan, direnungi dan untuk diambil pelajaran.
  2. Menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk di dalam kehidupan serta mengaplikasikan ajaran Al-Qur’an di dalam kehidupan realiti.
  3. Akal dimanfaatkan untuk merenung ayat-ayat Allah.
  4. Akal dimanfaatkan untuk menghasilkan ciptaan-ciptaan baru.

Moga-moga kita mensyukuri nikmat ini dengan terus menjadi hamba yang beriman dan bertaqwa, berterusan menimba ilmu pengetahuan dan menyebarkan kebaikan.