“Siapa yang boleh bantu jadi moderator untuk program kita bulan depan?” Ketua persatuan pelajar bertanya dalam whatsapp group.

Lima jam berlalu. 

Dari perspektif si ketua, mesejnya sudahpun bertanda biru. Kesemua ahli sudah membaca soalan yang dilontarkan. Namun, tiada yang membalas. 

Tiba waktu malam, Aisyah menaip sesuatu, “Kalau tiada orang, saya boleh.”

“Betul ni?” Si ketua mahukan kepastian. 

Tiba-tiba ada yang mencelah “Tapi, kasihan Aisyah. Dia dah terlibat program satu lagi. Tak sibuk ke?” 

“Kenapa kasihan dengan Aisyah?” Si ketua bertanya.

“Kasihan dia banyak kerja kena buat.” 

“Kasihan dia kurang waktu rehat ke?” 

“Err… Kasihan dia sibuk. Penat.” 

“Sibuk dan penat tu, sesuatu yang merugikan?”

Kali ini, masing-masing senyap. Tiada yang menjawab. 

Si ketua akhirnya berkata “Saya sebenarnya kasihan dengan yang banyak rehat ni.”

***

Dalam hidup, sedar atau tidak, setiap kita sedang berlumba-lumba dalam kehidupan dunia. Orientasi masing-masing akan menentukan jenis pilihan tindakan yang diambil. 

Yang berorientasikan kesenangan dunia, akan berlumba-lumba untuk kesenangan dan kerehatan. Lalu dalam rumahtangga misalnya, berlumba-lumba untuk tidak memasak, tidak mengemas rumah, tidak membayar keperluan rumahtangga dan tidak menjaga anak. Dari sudut pandangan manusia sebegini, siapa yang paling banyak rehat dan kurang memberi, dia menang. Siapa yang banyak memberi, dia rugi. Ini disebabkan dunia menjadi pusat kehidupan yang diperjuangkan.

Sebaliknya, jiwa yang berorientasikan kesenangan akhirat, akan bertindak sebaliknya. Dia akan berlumba-lumba untuk memasak, mengemas rumah, memberi dan menjaga anak. Kesemua ini dilakukan bukan untuk penuhi kehendak pasangan tetapi untuk kebahagiaan diri sendiri. Realiti matawang akhirat adalah amal kebaikan. Justeru, siapa yang paling banyak membantu dan memberi, dialah yang menang. Berlumba-lumba buat kebaikan realitinya untuk kebaikan diri sendiri. 

 

إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَاۚ 

Terjemahan : Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri. 

[Al Isra’:7]

Orientasi perlumbaan kehidupan

Tanya pada diri, apakah orientasi kehidupan saya? 

Bagi sesetengah orang, kerjaya menjadi orientasi kehidupan. Segala keputusan dan pilihan tindakan sentiasa berorientasikan kerjaya yang sedang dibangunkannya. Jangan sampai kerjaya jadi penghalang untuk realisasikan fungsi hamba yang patuh panduan wahyu dan khalifah yang sampaikan kandungan wahyu. Jika hal-hal lain lebih diutamakan berbanding memenuhi tujuan penciptaan diri, cuba renungi ayat ini. 

 

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ  ٢٤ 

Terjemahan : Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. 

[At Tawbah:24]

 

Realitinya, kesemua pasangan, ahli keluarga, kerjaya, harta dan tempat tinggal adalah kurniaan Allah s.w.t. Kesemuanya adalah rezeki daripadaNya yang dititipkan kepada si hamba sebagai ujian yang turut berpotensi jadi peluang amal soleh. Tatkala kurniaanNya digunakan tanpa mengikut panduan wahyu sehingga terabai tanggungjawab yang Dia tetapkan, koreksilah diri. Sedangkan segala panduan untuk hidup yang Dia tetapkan adalah untuk kebaikan si hamba. 

Golongan yang menjadikan dunia sebagai orientasi kehidupan berisiko memfungsikan dunia sebagai tempat permainan, hiburan, tempat bermegah-megah dan berbangga-bangga antara sesama. 

 

ٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا لَعِبٞ وَلَهۡوٞ وَزِينَةٞ وَتَفَاخُرُۢ بَيۡنَكُمۡ وَتَكَاثُرٞ فِي ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَوۡلَٰدِۖ كَمَثَلِ غَيۡثٍ أَعۡجَبَ ٱلۡكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصۡفَرّٗا ثُمَّ يَكُونُ حُطَٰمٗاۖ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ عَذَابٞ شَدِيدٞ وَمَغۡفِرَةٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٰنٞۚ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ  ٢٠ 

Terjemahan : Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. 

[Al Hadid:20]

 

Jika dunia dijadikan matlamat kehidupan, manusia akan berlumba-lumba untuk berseronok-seronok dengan permainan dan hiburan. Siapa yang paling banyak luangkan waktu untuk kesenangan, dialah yang menang. Siapa yang kurang rehat, kurang berseronok-seronok dan bersenang-senang menikmati dunia, dialah yang kalah. 

Hakikat perlumbaan yang Allah s.w.t seru adalah sebaliknya. 

 

سَابِقُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا كَعَرۡضِ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ أُعِدَّتۡ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ     ٢١  

Terjemahan : Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. 

[Al Hadid:21]

Berlumba-lumba untuk kebaikan

Dunia adalah ladang tempat bercucuk-tanam agar orang-orang beriman dapat menuai hasilnya di akhirat kelak. Dunia memang tempat untuk berpenat-penat serta sibuk dalam amal kebaikan agar kerehatan dan kesenangan sempurna dapat dikecapi di dalam syurga.

Justeru, yang seharusnya jadi orientasi perlumbaan dalam kehidupan adalah berlumba-lumba dalam membuat kebaikan. Perlumbaan ini bahkan ada tempohnya dan akan tamat saat Allah s.w.t mengumpulkan setiap kita di akhirat kelak. 

 

وَلِكُلّٖ وِجۡهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَاۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ أَيۡنَ مَا تَكُونُواْ يَأۡتِ بِكُمُ ٱللَّهُ جَمِيعًاۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ  ١٤٨    

Terjemahan : Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang dia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. 

[Al Baqarah:148]

 

Menyedari hakikat ini, hati perlu disucikan agar jiwa menjadi lapang dengan kelelahan dan kesibukan amal kebaikan. Bersegeralah untuk sahut peluang-peluang kebaikan. Bukan berlumba-lumba untuk larikan diri dan bersembunyi daripada membuat amal kebaikan.