Inna lillahiwa Inna ilayhi raji’un

Maksudnya, ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ Ini adalah ungkapan istirja’, ucapan yang dilontarkan saat ditimpa musibah, atau mendengar sesuatu musibah yang dihadapi orang lain sebagai tanda mereka yang diuji atau pun teruji ini bersabar dan kembali dalam mengingati Allah SWT. Beberapa minggu ini kita sering mendengar musibah yang menimpa masyarakat muslim di Malaysia dan seluruh dunia. Seperti mana musibah yang telah melanda masyarakat di selatan Turkiye, susulan gempa demi gempa bumi yang berlaku merupakan salah satu ujian besar buat masyarakat di sana. Kehilangan tempat berlindung, kehancuran harta benda, malahan ada yang kehilangan orang tersayang di bawah runtuhan bangunan, semua ini adalah sebahagian daripada musibah besar buat mereka di sana. Kita yang mendengar di sini turut merasakan dukacita masyarakat di sana, dengan segala ruang dan peluang kita semua cuba untuk membantu mereka, dengan doa dan berkongsi harta, juga tenaga yang ada. Namun begitu, sekiranya kita lihat kembali musibah-musibah yang melanda ini, sama ada yang dihadapi orang lain atau mungkin diri kita sendiri, pasti di sana ada hikmah yang tersembunyi yang kadangkala sukar kita temukan. Tetapi itulah takdir yang telah ditentukan, sebagai satu ujian kepada hamba yang beriman. Takdir adalah perkara yang perlu diimani oleh setiap muslim yang beriman kepada qadha’ dan qadar. Seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadith:

Diriwayatkan oleh Umar R.A., malaikat Jibril A.S. bertanya kepada Nabi Muhammad SAW “Beritahu akan aku berkenaan dengan iman.” Lalu Baginda SAW bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Beriman kepada Allah S.W.T, para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk.

(Hadith Riwayat Muslim)

Hadith ini menjelaskan tentang kewajipan untuk beriman dengan qadha’ dan qadar. Dan beriman dengan qadha’ dan qadar adalah menerima segala ketentuan dan ketetapan Allah S.W.T dengan hati yang redha. Namun begitu, bagaimana takdir itu boleh dihadapi dengan penuh redha andai ianya begitu memedihkan? Salahkah sekiranya takdir musibah yang dihadapi diterima dengan tangisan? Adakah kita dilarang menyesali takdir itu? Jadi, inshaa Allah itulah perbincangan kita pada artikel kali ini, jangan salahkan takdir itu…

ANTARA DUA TAKDIR

Masa tidak pernah menunggu kita dan segala takdir yang telah ditetapkan Ilahi tetap akan terjadi, bukan mengikut perancangan dan kehendak manusia, tetapi kehendak Allah SWT. Seperti mana firman Allah SWT dalam al-Qur’an:

إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَٰهُ بِقَدَرٍ

Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.”

(Surah al-Qamar:49)

Antara dua takdir, takdir yang baik seperti kesenangan, kekayaan, kegembiraan, yang mana dikurniakan rezeki adalah sesuatu dengan senang hati kita menerimanya, tetapi takdir yang sebaliknya iaitu musibah yang menimpa, kematian, kehilangan harta benda, dan lain-lain yang memedihkan hati ini mula menguji keredhaan hati manusia. Sedangkan kedua-dua takdir tersebut datang daripada Tuhan, iaitu Allah SWT. Sama ada takdir itu datang dalam bentuk nikmat atau pun musibah, hakikatnya kedua-duanya perlu kita syukuri dan redhai. Ini kerana kedua-dua takdir tersebut pasti ada hikmah yang tersembunyi buat penerimanya. Seandainya ia datang dalam bentuk kenikmatan seperti murahnya rezeki dengan diberikan kekayaan harta, takdir itu memperuntukkan seseorang itu lebih banyak memberi, berkongsi rezeki sebagai tanda syukurnya dia kepada Tuhannya. Seandainya, takdir datang dalam bentuk ujian, musibah yang menimpa kehilangan harta kekayaan, itu adalah ujian untuk kita melihat hikmah-Nya, sudah tentu manusia tidak dapat lari daripada kesedihan, tetapi kesedihan bukan bererti tidak redha dengan ketentuaan. Kesedihan, tangisan itu adalah sifat fitrah manusia yang tidak dapat kita nafikan. Sedangkan Nabi Muhammad SAW sendiri, mengalirkan air mata saat merasakan kesedihan atas kehilangan, seperti mana yang diceritakan dalam sebuah hadith, yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A., beliau berkata ketika putera Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia kerana demam panas baginda telah menangis kerana kesedihan lalu berkata Abdul Rahman bin Auf R.A. kepada Baginda SAW:

Dan engkau pun menangis wahai Rasulullah? Maka sabda Rasulullah SAW: Wahai anak Auf. Sungguhnya ia adalah rahmat. Kemudian Rasulullah bersabda: Bahawasanya mata itu menitiskan air dan hati itu bersedih dan tiada kami sebut melainkan barang yang diredhai oleh Tuhan kami sahaja. Dan sungguhnya kami dengan perpisahan denganmu wahai Ibrahim sedang bersedih.”

(Hadith Riwayat Bukhari)

Hadith ini ibarat satu pujukab kepada kita tentang tidak mengapa seandainya berita kematian mereka yang tersayang disambut dengan tangisan kerana hati yang berdukacita, dan kesedihan terhadap kehilangan sesuatu yang dikasihi adalah fitrah. Namun begitu, jangan sampai kita meratapi kematian itu, kerana dikhuatiri hilang rasa redha dengan ketentuan Ilahi dalam hati ini. 

TAKDIR YANG TIDAK ADIL??

Kadangkala manusia mempersoalkan takdir mereka yang diuji dengan kemiskinan dan kepapaan, kerosakan harta benda, kematian dan kehilangan juga kesedihan dan kekecewaan. Perasaan-perasaan ini sebagai respon kepada kekesalan di atas kekurangan yang dirasakan. Namun begitu, di atas kesukaran tersebut, sekiranya dipandang dari sudut mencari hikmah, pasti seseorang itu akan menemukan kebaikan disebaliknya. Janganlah kita mempersoalkan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, bagaimana kita menyatakan keimanan terhadap Tuhan, seandainya takdir yang telah ditetapkan itu kita persoalkan, malahan menyatakan bahawa takdir tersebut adalah tidak adil, menjadi satu perkara yang bersalahan dengan kewajipan kita untuk beriman kepada qadha’ dan qadar. Maka janganlah kita persoalkan keadilan Allah SWT, sedangkan Dialah Tuhan semesta Alam yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. 

Maka, seharusnya, kita sebagai hamba yang teruji dan diuji ini, menerima musibah tersebut dengan lapang dada, dan sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT. Seperti mana yang diriwayatkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.A., Nabi Muhammad SAW bersabda:

لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ

Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah SWT.”

(Hadith riwayat Muslim)

Hadith ini mengajar kita bahawa menjadi satu kewajipan bagi orang-orang mukmin untuk bersangka baik terhadap Allah SWT, malahan dituntut untuk lebih memperbanyakkan bersangka baik kepada Allah SWT saat diuji dengan musibah atau pelbagai ujian. Ini kerana sesuatu ujian yang menimpa itu tidak lain tidak bukan, tanda kasih Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Malahan ujian itu adalah untuk mendekatkan diri hamba kepada Tuhannya. Firman Allah SWT, maksudnya:

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah At-Taghaabun: 11)

BERUSAHA, BERDOA DAN TAWAKKAL UNTUK TAKDIR ITU

Sekiranya semua takdir telah ditentukan, bukan bermakna tiada usaha yang perlu dilakukan. Kita malahan digalakkan untuk berusaha, dan juga berdoa kepada-Nya dan menyerahkan segala ketentuan kepada-Nya. Apabila kita berusaha tanpa tawakal itu maknanya, penafian terhadap kuasa Tuhan, seandainya tiada usaha hanyalah bertawakkal maka itu adalah impian kosong yang menjadi angan-angan Oleh itu, usaha itu memerlukan tawakkal, dan tawakkal itu perlukan usaha. Firman Allah SWT:

فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ

Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakkalah kepada Allah

(Surah Ali Imran:159)

Ayat ini mengajar kita setelah dengan tekad yang kuat, kita berazam dengan menzahirkan ianya dengan usaha, kita berdoa dan meletakkan tawakkal kepada Allah SWT. Tawakkal ialah menyandarkan hati kepada Allah SWT untuk memperoleh pelbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia mahupun akhirat. Harapan yang kita letakkan kepada Allah SWT adalah harapan bersifat infiniti tiada tamat tempoh atau sandaran. Ini membawa makna harapan tersebut tidak putus asa andai tidak terkabul dan tidak pula kufur seandainya harapan itu terkabul dengan mudahnya. Itulah tawakkal yang sebenarnya sekiranya kita benar-benar meletakkan kepada Allah SWT. Sebagai contoh bagi mereka yang menunggu ketibaan zuriat setelah rumah tangga terbina, pelbagai usaha telah dilakukan dengan berjumpa doktor dan sebagainya, setelah itu kita berdoa agar hajat yang satu ini terkabul, seterusnya kita bertawakkal, di sini keimanan manusia itu diuji, adakah ianya benar-benar meletakkan tawakkalnya kepada Allah SWT dalam penantian menimang cahaya mata. Di sinilah apa yang dimaksudkan dengan sabar dan syukur itu memainkan peranannya. Andai tidak diberi kita tetap bersabar dan andai dikurniakan kita bersyukur atas kurniaan. Oleh itu, jangan kesali dengan takdirmu kerana kamu telah berusaha, berdoa kini letakkan tawakkalmu kepada-Nya kerana dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. 

Apa yang paling penting, untuk dijadikan peringatan kepada kita semua adalah, saat ditimpa musibah itu tanda Allah SWT merindukan rintihan hamba-hamba-Nya. Oleh itu, sebagai hamba yang beriman banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT, kerana doa adalah jalan yang paling terbaik untuk kita menyampaikan permintaan dan keinginan kita kepada Allah SWT. Seperti mana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Surah Ghafir: 60)

Ayat ini menjadi bukti bahawa kita diperintahkan untuk berdoa terhadap perkara yang kita hajati untuk diperkenankan. Oleh itu, dalam mencari solusi kepada musibah dan ujian yang dihadapi mintalah kepada Allah SWT agar diberikan petunjuk dalam penyelesaian. Mintalah juga kepada Allah SWT agar dikurniakan ketenangan, dan keredhaan hati agar semua musibah itu dihadapi dengan penuh kekuatan hati. Justeru, jangan kesali takdir itu, kita ada senjata yang lebih kuat untuk menghadapi segala musibah dan ujian ini iaitu DOA. Saya akhiri penulisan ini dengan sebuah hadith yang begitu bermakna dan menunjukkan bahawa kuasa doa itu menjadi senjata kepada kita dalam berhadapan dengan takdir ini. Daripada Ibnu Umar R.A., Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ

Sesungguhnya doa bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.”

(Hadith Riwayat al-Tirmizi)

Wallahu a’lam.