Rencam manusia.

Ada yang sangat mencintai lagu dan hiburan, sehinggakan rasa sulit untuk hidup tanpanya. Hidup tidak produktif kerana masa dihabiskan untuk bergembira.

Ada yang terjebak perhubungan haram lalu konflik untuk pilih antara zina yang dicintai atau menahan diri daripada dosa yang “dinikmati” untuk taat kepada Tuhan. 

Ada yang mencintai gaya hidup luar kemampuan, terjerat hidup berhutang dan riba, lalu habiskan seluruh hidup fokus bekerja hanya untuk transaksi riba yang dicintai.  

Ketika perkara haram menjadi sesuatu yang dicintai, usaha untuk taubat semakin sulit. Dalam hal ini, kesungguhan (jihad) amat-amat diperlukan untuk merealisasikan hijrah. 

Fitrah yang bersih sebaliknya nampak hal baik sebagai baik dan perkara buruk sebagai buruk. Kekuatan fitrah ini ibarat cahaya yang sedia ada dalam jiwa manusia, membimbing mereka atas jalan yang lurus. Misalnya, fitrah manusia asalnya melihat aurat yang dinampakkan sebagai sesuatu yang jelek. Aurat manusia bukanlah sesuatu yang indah saat diperlihatkan. Mari renungi sejarah Nabi Adam a.s dan Hawwa. 

فَلَمَّا ذَاقَا ٱلشَّجَرَةَ بَدَتۡ لَهُمَا سَوۡءَٰتُهُمَا وَطَفِقَا يَخۡصِفَانِ عَلَيۡهِمَا مِن وَرَقِ ٱلۡجَنَّةِۖ وَنَادَىٰهُمَا رَبُّهُمَآ أَلَمۡ أَنۡهَكُمَا عَن تِلۡكُمَا ٱلشَّجَرَةِ وَأَقُل لَّكُمَآ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ لَكُمَا عَدُوّٞ مُّبِينٞ  ٢٢ 

Tatkala keduanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun surga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?" [Al A'raf:22]

Dalam ayat ini, kalimah yang digunakan untuk aurat adalah سَوۡءَٰتُهُمَا yang membawa makna “keburukan”. Aurat bukanlah sesuatu yang indah saat diperlihatkan. Fitrah Adam a.s. dan Hawwa membimbing mereka untuk segera menutupi aurat dengan daun-daun syurga. Meskipun saat itu belum ada masyarakat, naluri mereka berdua memaklumi bahawa aurat itu untuk ditutupi, bukan dipamerkan. 

Fenomena dinampakkan aurat pada zaman kini adalah salah satu tanda fitrah telah ternodai. Pastinya ada usaha-usaha syaitan untuk menampakkan perkara buruk sebagai baik. Lalu manusia bahkan ada yang berlumba-lumba berpakaian menjolok mata kerana punyai perspektif menampakkan aurat sebagai kecantikan. 

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِيَنَّهُمۡ أَجۡمَعِينَ  ٣٩ إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ ٱلۡمُخۡلَصِينَ  ٤٠ قَالَ هَٰذَا صِرَٰطٌ عَلَيَّ مُسۡتَقِيمٌ  ٤١ إِنَّ عِبَادِي لَيۡسَ لَكَ عَلَيۡهِمۡ سُلۡطَٰنٌ إِلَّا مَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ  ٤٢ 

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka". 

Allah berfirman: "Ini adalah jalan yang lurus, kewajiban Aku-lah (menjaganya). Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, yaitu orang-orang yang sesat. 

[Al Hijr:39-42]

Ambil sehelai kain putih tanpa noda dan masukkannya dalam celupan berwarna. Yang terhasil adalah kain dengan warna yang baru, tergantung warna apa yang ada dalam celupan tersebut. Jika kain dibasuh, tetap meninggalkan kesan berwarna, sulit mendapatkan kain putih bersih seperti asal. 

Begitulah fitrah manusia yang asalnya adalah cahaya. Fitrah ini mahukan kehidupan Islam. Namun, tatkala dikotori, lapis-lapis kegelapan akan menyukarkan cahaya Al-Qur’an untuk menembus masuk ke dalam hati. 

۞ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٖ فِيهَا مِصۡبَاحٌۖ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِي زُجَاجَةٍۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوۡكَبٞ دُرِّيّٞ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٖ مُّبَٰرَكَةٖ زَيۡتُونَةٖ لَّا شَرۡقِيَّةٖ وَلَا غَرۡبِيَّةٖ يَكَادُ زَيۡتُهَا يُضِيٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٞۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٖۚ يَهۡدِي ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُۚ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَٰلَ لِلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ  ٣٥ 

Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. 

[An Nur:35]

Jiwa yang sedang dalam kegelapan, mencintai yang haram selanjutnya berkali-kali melakukan yang haram, apakah tindakan perbaikan yang perlu dilakukan? Masihkah ada peluang membersihkan fitrah yang telahpun ternodai?

Selagi bernafas, setiap hari adalah anugerah daripada Allah s.w.t untuk lakukan perbaikan. Masih punya peluang untuk bertaubat dan sucikan jiwa. 

Pertama, mohonlah keampunan kepada Allah s.w.t. Bertaubat dan azam untuk tinggalkan segala yang haram. 

۞قُلۡ يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ  ٥٣ 

Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [Az Zumar:53]

Kedua, mohonlah perlindungan kepada Allah s.w.t daripada syaitan. Realiti proses berubah sememangnya tidak mudah. Jalan hijrah itu sulit. Terutama jika hati telahpun dikotori lapis-lapis kegelapan yang membuatkan perkara maksiat ternampak indah. Justeru, sedari posisi hamba yang sangat memerlukan perlindunganNya. 

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ سَمِيعٌ عَلِيمٌ  ٢٠٠ إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ إِذَا مَسَّهُمۡ طَٰٓئِفٞ مِّنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبۡصِرُونَ  ٢٠١ 

Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah.

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. 

[Al A'raf:201]

Ketiga, bertindaklah selari wahyu meskipun bertentangan kehendak nafsu. Tatkala jiwa cenderung bermaksiat, usaha sekeras mungkin untuk lawan bagi membangunkan perisai taqwa. Kerana taqwa itulah yang membersihkan jiwa. 

فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَىٰهَا  ٨ قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّىٰهَا  ٩ وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا  ١٠ 

maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. 

[Ash-Shams:9-10]

Dalam kajian neurosains, pengalaman manusia menahan diri daripada tabiat lama (misalnya minum arak, zina dan sebagainya) akan mempengaruhi sistem otaknya. Konsep neuroplasticity ini adalah kajian sains yang beri harapan buat mereka yang ketagih maksiat atau mahu ubah tabiat buruk. Kajian ini beri informasi bahawa kecenderungan pada tabiat buruk yang dicetus otak boleh diubah agar otak tidak lagi berterusan cetus rasa mahu terhadap tabiat yang mahu ditinggalkan. Pastinya langkah-langkah awal meninggalkan maksiat tidak mudah. Namun, bertahanlah sehingga tiba suatu ketika, jasad tidak lagi “menagih” apa yang dahulunya pernah dicintai. 

Terakhir, teruslah belajar memahami wahyu sebagai cahaya yang mengeluarkan manusia daripada lapis-lapis kegelapan. Al-Qur’an sebagai sumber utama Islam merupakan fitrah manusia yang perlu difahami. Tatkala si hamba memilih untuk bersikap selari Al-Qur’an, ketika itu dirinya mahu menjadikan Allah s.w.t sebagai wali yang menyelamatkannya daripada lapis-lapis kegelapan. 

ٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَٰتِۗ أُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ  ٢٥٧ 

Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. [Al Baqarah:257]

Akan tiba suatu hari, setiap jiwa bertemu Allah s.w.t dalam keadaan sendiri-sendiri, membawa kualiti hati masing-masing. Hanya mereka yang hadir dengan hati sejahtera akan selamat. 

يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ  ٨٨ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ  ٨٩ 

(yaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih, 

[Ash Shu'ara":89]

Justeru, pilihlah untuk bertanggungjawab atas kondisi jiwa dan hati kita. Pilihlah untuk bertanggungjawab membersihkan hati sebelum tiba hari pertemuan denganNya. Moga-moga setiap kita pulang menemuiNya dalam keadaan jiwa yang tenang dan hati yang sejahtera.