Apa yang diperlukan di dalam kehidupan yang sejahtera mengikut pandangan Al-Qur’an? Adakah sekadar material yang hanya terhenti manfaatnya untuk kehidupan peribadi sahaja, bagaimana dengan manfaat untuk komuniti secara amnya?

Allah turunkan Al-Qur’an kepada seluruh manusia untuk dibaca serta difahami dan membawa kepada pengamalan di dalam kehidupan seharian.

Allah nyatakan secara jelas di dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 185 bahawa Al-Qur’an adalah petunjuk kepada manusia.

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ [البقرة: 185] 

«(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur»

Jika Al-Qur’an diturunkan untuk seluruh manusia, maka nilai-nilai  kebenaran serta mesej utama yang ada pada Al-Qur’an perlu diperhatikan untuk menjadi nilai-nilai kehidupan.

Antara nilai-nilai utama di dalam Al-Qur’an?

1. Antaranya adalah mesej kesatuan. Kesatuan membawa kepada keamanan dan kesejahteraan sejagat. Kesatuan hanya dapat diperolehi jika setiap individu mengambil pelajaran mesej-mesej di dalam Al-Qur’an. Contohnya di dalam urusan komunikasi sesama manusia

Surah Al Imran: Ayat 103

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ [آل عمران: 103] 

«Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan di antara hati kamu  maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu . Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya»

2. Nilai-nilai keamanan. Individu yang dengan petunjuk, sedar bahawa kriteria penting yang perlu diperhatikan adalah nilai keamanan. Apa yang dimaksudkan dengan keamanan? Individu yang mempunyai nilai-nilai yang benar di dalam kehidupan akan memberi keamanan kepada orang sekelilingnya. Contohnya, dengan komunikasi yang berlandaskan petunjuk dan kebenaran.

3. Nilai-nilai  kebajikan dan kemakmuran sejagat. Al-Qur’an menekankan mesej penting untuk berlaku ihsan kepada komuniti dan masyarakat. Ihsan di dalam konteks saling membantu di dalam keadaan susah dan senang.

Bayangkan masyarakat yang tiada nilai-nilai sejagat ini? Akan membawa kepada persengketaan, permusuhan dan kebencian. Perkara ini terjadi kerana ditunjangi oleh kepentingan diri.

Al-Qur’an, petunjuk yang membawa kepada rahmat sekalian alam memfokuskan supaya setiap individu ini berperanan di dalam setiap kapasiti untuk membawa keamanan di dalam kehidupan peribadi dan komuniti.

Surah Al An’am : Ayat 155

وَهَٰذَا كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ مُبَارَكٞ فَٱتَّبِعُوهُ وَٱتَّقُواْ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ [الأنعام: 155] 

«Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang penuh barakah.  Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), supaya kamu mendapat rahmat.

Mari kita melakukan sedikit perenungan terhadap ayat di atas, Allah menyatakan Al-Qur’an penuh barakah. Seterusnya, perintah untuk mengikuti setiap panduan di dalam Al-Qur’an dan perintah bertaqwa. Rahmat Allah akan diperolehi setelah melakukan usaha untuk mengikuti petunjuk.

Setiap individu mengharapkan kehidupan yang benuh barakah atau penuh kebaikan. Allah memberi panduan kepada kita, kunci keberkahan kehidupan adalah bergantung sejauh mana interaksi kita dengan Al-Qur’an.

Kehidupan yang berkah adalah kehidupan yang didasari dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah dengan dibuktikan melalui kehidupan yang bermakna serta dapat memberi manfaat kepada orang sekitar.

Misalnya, ilmu yang barakah bukan sahaja dapat dinikmati oleh penuntut ilmu, namun dinikmati oleh masyarakat amnya. Masa yang barakah, walaupun singkat namun dipenuhi dengan aktivit-aktiviti yang bermanfaat dan penuh kebaikan. Umur yang barakah, walaupun singkat namun kehadiran individu tersebut bermanfaat untuk individu disekelilingnya dan masyarakat.

Maa shaa Allah, Al-Qur’an kitab petunjuk kepada seluruh manusia menekankan nilai-nilai murni ini yang memberi keamanan kepada sejagat. Melahirkan individu yang bukan berjaya atas kapasiti peribadi namun yang bermanfaat untuk ummah. Mereka yang sering melakukan proses islah (perbaikan) untuk dirinya dan orang sekelilingnya. Mereka yang sentiasa ingin memperbaiki diri, dan sering memikirkan untuk melakukan proses pengislahan (perbaikan) di atas kapasiti yang mampu.

Maa shaa Allah, begitu istimewa Al-Qur’an ini, wahyu dari Allah yang penuh hikmah yang mampu mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.

Surah Ibrahim: Ayat 1

الٓرۚ كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ [إبراهيم: 1] 

«Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan ia kepadamu (untuk mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji»