Tahun baru menjelma lagi.
Dua orang sahabat bersembang azam tahun baru.
“Tahun ni, aku azam nak jaga makan. Nak turun berat badan.”
“Bagusnya.”
“Apa yang bagusnya? Niat ni sama macam tahun-tahun lepas. Masalahnya, masih tak berjaya.”
***
Pernahkah anda mengalami situasi sedemikian? Berhajat ubah jadi diri lebih baik setiap tahun baru. Namun tatkala hujung tahun, koreksi azam tahun baru, rupa-rupanya tiada perubahan.
Keadaan ini jika dibiar berterusan, memang membunuh semangat.
Ada sesuatu yang kita boleh pelajari daripada ibadah Haji.
Seorang yang mudah marah, tiba-tiba saat menunaikan ibadah haji berusaha menahan diri daripada berbalah.
Seorang yang biasa mengumpat dan berbuat dosa, tiba-tiba saat menunaikan ibadah haji, berusaha seboleh mungkin tidak berbuat fasik.
Apakah yang berlaku dalam rukun Haji menyebabkan seseorang sanggup ubah tabiat?
Jom kita lihat bagaimana Allah s.w.t didik kita realisasikan niat melalui ibadah haji.
ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٞ مَّعۡلُومَٰتٞۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي ٱلۡحَجِّۗ وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٖ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُۗ وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُونِ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٩٧
(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh berkata perkataan buruk, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal. [Al Baqarah:197]
Pasakkan niat
ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٞ مَّعۡلُومَٰتٞۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ
(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji,
Musim haji adalah pada bulan tertentu. Niat haji tidak boleh dilakukan di luar tempohnya, perlu patuhi waktunya. Ini melatih mukmin untuk berniat secara sedar kerana perlu membuat perhitungan waktu.
Melalui bahagian ayat ini, kita belajar untuk berniat secara sedar. Misalnya jika berazam menjadi manusia yang jaga kesihatan melalui amalan diet sihat, bilakah mahu memulakannya? Tetapkan waktu dan tarikh dan penuhinya penuh azam.
Tindakan yang jelas
فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي ٱلۡحَجِّۗ
maka tidak boleh berkata perkataan buruk, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji.
Setelah berniat, tindakan berikutnya haruslah jelas. Allah s.w.t telah memberikan panduan tentang larangan semasa mengerjakan haji iaitu
- Tidak boleh rafats (perkataan buruk iaitu mengeluarkan perkataan menimbulkan berahi, perbuatan tidak senonoh atau hubungan seksual)
- Tidak boleh berbuat fasik
- Tidak boleh berbantah-bantahan.
Jika berlaku pelanggaran, akan dikenakan dam. Larangan ini sebenarnya tidak mudah jika seseorang itu punyai tabiat sedemikian selama ini. Namun, Allah s.w.t menzahirkan kepada kita bahawa jika seorang manusia itu punyai keinginan dengan berniat buat haji, realitinya dia akan mampu taat kepada Allah s.w.t. meskipun sulit.
Ayat ini mengajar kita bahawa setiap niat yang diazamkan perlu disokong dengan ilmu. Seseorang harus jelas apakah kaedah atau tindakan yang perlu dia lakukan jika mahu merealisasikan sebarang niat.
Misalnya, jika mahu mula tabiat diet sihat, apakah langkah-langkah yang perlu diambil? Dapatkan ilmu dan informasi daripada sumber dipercayai agar niat yang diazamkan berjaya dilaksanakan.
Kenal Allah s.w.t
وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٖ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُۗ
Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya.
Seorang manusia fakir tak mudah melakukan kebaikan jika lemah iman pada akhirat. Perkara kebaikan mudah dirasakan rugi jika tidak memberi sebarang pulangan material di dunia.
Mari perhatikan bagaimana Allah s.w.t memotivasikan hamba-hambaNya untuk beramal. Walau sekecil apa sekalipun amal kebaikan semasa menunaikan haji, ketahuilah bahawa Allah s.w.t mengetahuinya. Seseorang yang mengenali Allah s.w.t dan menyedari hakikat ini akan sanggup atasi kesulitan dan terus berbuat baik kerana mengharapkan redha Allah s.w.t.
Dalam hidup ini juga, untuk ubah tabiat tidak mudah. Kenalnya seseorang terhadap Tuhannya yang akan membalas segala jerih-payah pengorbanan, memberi kekuatan ruhani yang dahsyat.
Justeru, fahamilah wahyu untuk mengenaliNya. Misalnya, terkait tabiat diet sihat, sudahkah saya mengetahui bahawa Allah s.w.t tidak menyukai orang-orang yang berlebihan? Apakah akan berlaku jika saya makan berlebihan lalu tergolong mereka yang tidak disukai Allah s.w.t?
Persoalan sebegini perlu dirungkai dan moga-moga beri motivasi untuk sabar ubah tabiat baru.
Bekal taqwa
وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُونِ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ
Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.
Bahagian akhir ayat ke-197 surah Al-Baqarah ini adalah berkenaan taqwa.
Taqwa adalah rasa takut kepada Allah s.w.t kerana mahu terselamat daripada azabNya lalu mahu taat segala perintah dan laranganNya. Setelah mengenali siapa Allah s.w.t, seorang hamba akan mahu memilih jalan taqwa
Inilah jalan kejayaan kerana hanya orang bertaqwa sahaja yang akan diselamatkan.
وَإِن مِّنكُمۡ إِلَّا وَارِدُهَاۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتۡمٗا مَّقۡضِيّٗا ٧١ ثُمَّ نُنَجِّي ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّنَذَرُ ٱلظَّٰلِمِينَ فِيهَا جِثِيّٗا ٧٢
Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut.
[Maryam:71-72]
Kekuatan taqwa ibarat benteng yang menahan diri daripada melakukan apa yang dikehendaki nafsu. Untuk raih kekuatan taqwa ini, antara syarat utama adalah garap ilmu wahyu terlebih dahulu.
Misalnya, seseorang yang mahu ubah tabiat makan, perlu tahu apa yang Allah s.w.t sampaikan dalam Al-Quran mengenai makan. Apakah perintahNya? Apakah laranganNya? Setelah mengetahui perintah dan larangan Allah s.w.t, moga-moga jiwa beriman mahu taat kepadaNya dengan kekuatan taqwa.
Tahun baru dan niat
Tahun baru sememangnya sinonim dengan niat yang diazamkan. Mari realisasikannya dengan terjemahkan apa yang kita pelajari daripada ibadah haji.
- Pasakkan niat
- Kenalpasti tindakan yang jelas
- Kenal Allah s.w.t
- Bekal taqwa
Semoga azam tahun baru kita terlaksana serta diberkahi Allah s.w.t.