Sebut sahaja travel pasti ramai dah membayangkan saat indah, mungkin ianya akan dilalui bersama keluarga, atau mungkin pemandangan alam yang menenangkan, atau mungkin tidak sabar untuk berehat dan menenangkan fikiran. Kesemua ini mungkin pernah dirasai oleh kita semua, terujanya untuk bersama orang tersayang, dengan pemandangan yang indah dan meninggalkan segala tugas hakiki, itulah perkara yang tak sabar rasanya untuk dilalui bagi mereka yang sudah merancang untuk memulakan perjalan. Namun begitu, permusafiran ini kadangkala menjadi satu cabaran bila ada ujian yang datang menguji kesabaran. Itulah lumrah kehidupan yang tidak boleh lari daripada ujian.
Oleh itu, penulisan kali ini bukan sekadar ingin melihat ibrah pemusafiran yang dilalui oleh kita semua, tetapi ingin membuka satu perspektif kepada pandangan kehidupan dunia yang boleh diibaratkan sebagai satu permusafiran. Mari sama-sama kita berhenti sejenak bersama artikel ini dengan membayangkan bagaimana kehidupan yang dilalui ini sebagai sebuah perjalanan yang kita lalui… Mari kita mulakan perjalanan ini.
Mulakan Perjalanan dengan Perancangan
Setiap perjalanan akan dimulakan dengan perancangan, sama ada perancangan yang dilakukan secara singkat atau pun mengambil tempoh masa yang lama untuk menyediakannya. Perancangan ini sangat penting untuk memastikan perjalanan yang dilalui bersistematik dan tersusun. Selain itu, perancangan ini juga penting kerana ianya ada kaitan dengan masa, maka dengan perancangan memudahkan kita mengawal masa yang dilalui juga dapat memastikan masa yang dilalui itu benar-benar berbaloi. Ini kerana masa juga ada kaitan dengan wang, sekiranya masa itu disusun dengan baik, maka tidaklah kita terlepas mana-mana peluang atau mungkin sekiranya kita sudah menempah tiket dan sebagainya sudah tentu perancangan masa ini akan membantu kita untuk berada di sebuah lokasi tepat pada masanya dan sekiranya terlepas waktu tempahan tersebut ini akan melibatkan pembaziran wang. Cadangan penulis kepada semua, sediakan itinerary sebelum anda memulakan perjalanan sebagai satu perancangan kerana ini dapat membantu perjalanan anda untuk lebih teratur.
Sekiranya kita lihat dari perspektif kehidupan pula, kehidupan ini juga memerlukan perancangan. Perancangan akan membantu manusia mengatur kehidupan. Tambahan pula, perancangan ini kita boleh kaitkan dengan niat. Sudah tentu, niat itu penting dalam kehidupan insan, dan sesuatu amalan harus dimulakan dengan niat. Seperti mana disebutkan dalam sebuah hadith yang sangat sinonim dengan kita, daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab R.A. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
“Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
Hadith ini sering kita dengari, dan merupakan hadith pertama dalam hadith 40 karya Imam an-Nawawi, dan sekiranya kita boleh perhatikan, kenapa ianya diletakkan sebagai hadith yang pertama, adalah kerana menunjukkan peri pentingnya niat. Dan itulah permulaan sesuatu amalan. Bahkan niat yang baik, dengan rahmat Allah SWT, seseorang itu akan memperolehi pahala daripada-Nya, tetapi tidak pada niat yang tidak baik atau berniat untuk melakukan sesuatu kejahatan yang tidak akan diberikan dosa selagi perkara itu tidak terlaksana. Niat ini ibarat perancangan untuk melaksanakan sesuatu, maka tanamlah niat yang baik, sebagai perancangan dalam kehidupan, sama ada niat itu akan dilakukan keesokan hari, atau sebentar sahaja lagi, atau mungkin beberapa hari, bulan atau tahun akan datang, tetapi yang penting adalah membentuk niat, kerana itu akan menjadikan kita seseorang yang sentiasa berada pada landasan yang betul dan menghargai kehidupan kurniaan Ilahi ini.
Persiapan Sebelum Perjalanan
Persiapan juga adalah penting dalam memulakan travel anda. Persiapan ini bukan sahaja dari sudut fizikal malahan mental. Dari sudut fizikal, persiapkanlah barangan-barangan keperluan anda, dan sekiranya perlu anda boleh membuat catatan agar tidak ada yang tertinggal nanti. Dari sudut mental juga anda perlu persiapkan, dan ini termasuklah mencari kekuatan jiwa dengan memohon pertolongan daripada Allah SWT, seperti mana firman Allah SWT:
وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
(Surah al-Baqarah:45)
Maka, untuk memiliki kesabaran dan kekuatan jiwa itu, tidak lain tidak bukan, melalui solat yang khusyuk. Oleh itu, mulakan satu perjalanan dengan menunaikan solat sunat, atau solat hajat dan berdoalah saat memulakan permusafiran untuk orang yang ditinggalkan dan perjalanan itu agar dipermudahkan, seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadith, yang mana doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW, saat memulakan permusafiran, maksudnya:
Daripada Ibnu Umar RA berkata: “Adapun Rasulullah SAW apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.”
(Hadith Riwayat Muslim).
Sebenarnya, perkara ini mengajar kita sesuatu dalam kehidupan, iaitu tentang menyediakan diri dengan segala amalan kebaikan seperti persediaan menghadap Ilahi kelak. Seperti travel yang memerlukan kita membuat segala persiapan begitulah juga kehidupan di dunia ini, yang sudah tentu akan ada pengakhirannya kelak yang menuntut kita datang menghadap-Nya dengan segala amal kebaikan. Seandainya tiada persediaan yang baik, maka tanggunglah akibat di sana kelak, dengan dipersoalkan kepada kita apakah yang telah kita lakukan di muka bumi ini, adakah ianya dilalui dengan sia-sia tanpa amalan kebaikan. Firman Allah SWT, maksudnya:
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
(Surah al-Hadiid: 20)
Bergembiralah Tapi Jangan Sampai Melalaikan
Setelah perancangan dan persediaan yang dilakukan, jom mulakan perjalanan, dalam travel, penulis suka untuk menganggap ianya ibarat memberi reward kepada diri sendiri setelah sibuk dengan tugasan hakiki selama ini. Sudah tentu itu boleh membuatkan anda bahagia dan gembira, tetapi jangan lupa mengucapkan syukur kepada-Nya, gembira bahagia juga adalah anugerah daripada Allah SWT, maka atas perasaan ini, nyatakanlah syukur kepada-Nya. Selain itu, anda memang berhak bergembira, dengan menghabiskan masa dan detik-detik terindah itu dengan sebaiknya, tetapi jangan lalai, membawa maksud, jangan sampai anda gembira sehingga membawa kepada kelalaian hati. Kelalaian hati ini telah digambarkan di dalam al-Qur’an, bagaimana orang yang lalai itu, firman Allah SWT:
وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًا
“...dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
(Surah al-Kahfi: 28)
Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang lalai itu adalah mereka yang mengikut hawa nafsu mereka dan melanggar syariat Allah SWT. Mereka inilah dikenali sebagai orang yang hatinya lalai, yang hanya fikirkan keseronokan dunia tanpa memikirkan dosa dan pahala. Oleh itu, satu peringatan buat kita semua, janganlah kita leka bergembira sehingga lalai untuk menunaikan hak kepada-Nya iaitu seperti ibadah solat, menjaga ikhtilat, memakan makanan yang halal lagi baik, tidak melibatkan diri dengan aktiviti kemaksiatan dan lain-lain. Sedangkan pelbagai keistimewaan dan peluang telah diberikan kepada mereka yang sedang bermusafir seperti rukhsah dalam solat, doa yang akan dimakbulkan, dan sebagainya. Perkara ini mengajar kita untuk tidak sesekali lalai dan sentiasa mengingati-Nya dan itulah tanggungjawab para hamba-Nya. Maka, dengan rezeki yang diberikan untuk berjalan dan bermusafir itu, nyatakanlah kesyukuaran kita melalui menjaga tanggungjawab kita terhadap Allah SWT serta mematuhi syariat-Nya. Firman Allah SWT:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
(Surah Ibrahim: 7)
Dan begitulah kehidupan dunia, yang mana manusia berhak untuk gembira dalam kehidupan ini. Tetap jangan sampai kita lalai dan leka dengan keseronokan kehidupan dunia, kerana kehiduapan dunia ini hanyalah sementara dan ibarat taman permainan yang memberi kegembiraan yang hanyalah bersifat sementara sahaja.
Andai teruji sepanjang perjalanan anda, bersabarlah, dan kuatkan semangat, tenangkan diri dan carilah penyelesaian, andai sukar mohonlah pertolongan, supaya Allah SWT memberikan petunjuk kepada kita. Ujian yang datang itu, menguji keimanan para hamba-Nya, dengan ujian itu, adakah bertambah keimanan atau sebaliknya. Oleh sebab itulah, syurgalah bagi mereka banyak bersabar. Begitulah kehidupan ini, siang yang cerah, kadang-kadang didatangi dengan hujan yang kelam, namun begitulah, ingatlah kadang-kadang ada pelangi yang mengunjungi selepas itu, dan fenomena alam ini mengajar kita, hari-hari yang dilalui gembira dan seperti biasa, diuji dengan ujian yang menyedihkan dan begitu pahit untuk diterima, tetapi setelah ujian itu pergi dan dapat diselesaikan ianya dipandang sebagai satu hikmah dan pengajaran buat diri kita. Bahkan ujian yang datang itu, Allah SWT mengetahui bahawa kita mampu laluinya, oleh itu, kenapa kita takut? Jangan takut, usahakan mencari penyelesaian dan letakkan tawakkal kita kepada Allah SWT. Semoga perjalanan permusafiran kita semua indah ibarat kehidupan kita di dunia ini yang akan diakhiri dengan keindahan yang abadi iaitu syurga. Wallahu a’lam.