Dalam salah satu sesi kaunseling yang saya kendalikan, setelah beberapa sesi mengurus pemikiran dan emosi, klien meluahkan,
“Saya tahu dah apa saya nak. Saya tahu dah apa saya kena buat. Tapi bila masa tu datang, saya tak perasan. Sedar-sedar je saya dah buat pilihan yang makin jauhkan saya daripada apa yang saya mahu.”
Hidup auto-pilot ? Seolah-olah tiada pilihan yang boleh dibuat, semuanya automatik.
Manusia, ada yang terbiasa hidup dalam perangkap minda. Adakalanya minda yang ibarat televisyen, menyiarkan kisah-kisah silam yang menerbitkan kekesalan. Pada waktu yang lain, minda menyiarkan kemungkinan peristiwa masa hadapan yang menumbuhkan bibit-bibit ketakutan dan kerisauan. Emosi yang punya pengaruh terhadap produktiviti seorang manusia , boleh melemahkan jiwa jika kurang daya tindak yang baik untuk mengurusnya.
Memang ada yang mengambil bahan terlarang seperti arak dan dadah untuk keluar daripada perangkap minda dan kekusutan cabaran hidup. Tujuannya adalah meraih rasa “bahagia”. Pun begitu, kita semua tahu “kebahagiaan” yang dikecapi hanya sekejap, tetap perlu hadap realiti kehidupan sebenar setelah kesan arak dan dadah hilang.
Ada lagi yang bertindak dengan tujuan hampir sama seperti pengambilan dadah dan arak tetapi melalui kaedah berbeza. Misalnya, mengambil jalan berangan-angan mengimpikan segala yang indah-indah sebagai daya tindak hadapi rasa sedih. Apa yang belum diperoleh, itulah yang selalu diangan-angankan. Yang mahukan perhatian, berangan-angan situasi digilai dan dimahukan ramai pihak. Yang mahukan pangkat, berangan-angan berada di posisi tinggi dalam masyarakat.
Apakah salah untuk berangan-angan?
Jawapan soalan ini tergantung siapa yang menyoalnya. Jika terlalu kerap berangan-angan, mengimpikan apa yang dimahukan sehingga mengakibatkan banyak pekerjaan harian tak siap, ada sesuatu yang perlu dibaiki di situ. Bahkan perlu dimuhasabah dan ditaubatkan.
Banyakkan ingat Allah s.w.t, bukan angan-angan palsu
Ketika sedang berbuat kerja, fikiran menerawang mengangan-angankan sesuatu.
Ketika sedang mendirikan solat, terfikir dan terbayang apa yang diimpikan.
Tabiat membiarkan diri terperangkap dan terbawa-bawa dengan apa yang dibisikkan minda sebenarnya banyak beri kesan pada kualiti hidup. Seorang individu gagal fokus dan memberikan kualiti kerja terbaik dalam apa yang diceburinya. Bahkan, angan-angan mengikut hawa nafsu realitinya senjata syaitan yang amat memperdayakan.
وَلَأُضِلَّنَّهُمۡ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمۡ وَلَأٓمُرَنَّهُمۡ فَلَيُبَتِّكُنَّ ءَاذَانَ ٱلۡأَنۡعَٰمِ وَلَأٓمُرَنَّهُمۡ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلۡقَ ٱللَّهِۚ وَمَن يَتَّخِذِ ٱلشَّيۡطَٰنَ وَلِيّٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ فَقَدۡ خَسِرَ خُسۡرَانٗا مُّبِينٗا ١١٩ يَعِدُهُمۡ وَيُمَنِّيهِمۡۖ وَمَا يَعِدُهُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ إِلَّا غُرُورًا ١٢٠ أُوْلَٰٓئِكَ مَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُ وَلَا يَجِدُونَ عَنۡهَا مَحِيصٗا ١٢١
dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka meubahnya". Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.
Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka.
Mereka itu tempatnya Jahannam dan mereka tidak memperoleh tempat lari dari padanya.
[An Nisa’:119-121]
Allah s.w.t sebaliknya mengajar kita untuk banyak mengingatiNya berbanding banyakkan berangan-angan atau mengimpikan apa yang belum dimiliki.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرٗا كَثِيرٗا ٤١
Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.
[Al Ahzab:41]
فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَٱبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِ ٱللَّهِ وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرٗا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ١٠
Apabila telah ditunaikan shalat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.
[Al Jumu'ah:10]
Kehidupan memang ada ujiannya. Soal rezeki juga di luar kawalan manusia fakir. Jika rasa diri sering tidak dapat apa yang diinginkan, mintalah kepada Allah s.w.t. Tetap berpijak di alam nyata, tidak terperangkap dalam emosi dan angan-angan di minda yang memperdaya.
وَلَا تَتَمَنَّوۡاْ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٞ مِّمَّا ٱكۡتَسَبُواْۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٞ مِّمَّا ٱكۡتَسَبۡنَۚ وَسَۡٔلُواْ ٱللَّهَ مِن فَضۡلِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٗا ٣٢
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
[An Nisa’:32]
Beri perhatian pada masa sekarang
Ada yang cenderung pendamkan rasa sedih dan kecewa dengan makan makanan kegemaran yang kebanyakannya tiada nutrisi dan tinggi kalori. Ada juga yang suka berkhayal dan terbawa-bawa angan-angan di minda untuk dapat secebis rasa seronok terhadap apa yang belum diraih.
Gelombang ketiga (third wave) kajian psikologi menemukan kaedah perawatan jiwa dengan belajar berhadapan apa yang tidak disukai secara sedar melalui mindfulness. Ini adalah satu istilah untuk gambarkan usaha aktifkan segala pancaindera (pendengaran, penglihatan, sentuh, hidu dan rasa) agar seseorang mampu sedar pengalaman dunia realiti yang sedang dialami. Memang ada istilah mindfulness yang digunakan dalam agama Buddha tetapi istilah yang digunakan dalam konteks artikel ini bukan merujuk hal tersebut.
Kemampuan seseorang untuk beri sepenuh perhatian pada waktu semasa membantu dirinya keluar daripada perangkap minda dan masuk dalam dunia kehidupan penuh sedar serta rasa tanggungjawab. Jika sebelum ini dirinya sering lari daripada pengalaman dunia dalaman yang tidak menyelesakan melalui pengambilan bahan terlarang (rokok, arak, dadah dan lain-lain) dan khayalan atau angan-angan, kaedah alternatif adalah dengan belajar berhadapan pengalaman tersebut secara rahmah.
Kemampuan sedar dan beri perhatian pada waktu semasa adalah kemahiran yang perlu dilatih agar diri tidak lagi buat pilihan secara automatik. Sebaliknya, tindakan diambil dengan tanggungjawab penuh kesedaran.
Berikut merupakan langkah demi langkah salah satu kaedah untuk latih beri perhatian pada masa sekarang:
- Sedari dan namakan emosi atau pengalaman dunia dalaman yang tidak disukai. Misalnya rasa bosan, sedih dan kecewa.
- Aktifkan pancaindera. Perhatikan apakah 5 objek yang boleh dilihat. Apakah 3 bunyi yang boleh didengari. Kenalpasti satu bau yang boleh ditangkap ketika itu.
- Kembali ke jasad. Buat sedikit regangan badan. Gunakan kaki untuk sentuh permukaan bumi. Sedari bahawa walaupun segala kecamuk emosi sedang melanda dalam jiwa, diri masih ada kawalan terhadap jasad.
- Buat pilihan tindakan melalui jasad selari sistem nilai. Fokus dan beri perhatian terhadap apa yang penting dan bermakna dalam hidup.
Seperti yang telah dinyatakan, ini adalah satu kemahiran yang perlu selalu dilatih. Natijahnya, diri mampu keluar daripada perangkap minda sehingga mampu berhubung dengan waktu semasa. Justeru, pilihlah rutin harian tertentu untuk praktis. Misalnya, dirikan solat penuh perhatian dan kesedaran, makan secara sedar, minum secara sedar dan berjalan secara sedar.
Moga-moga dengan latihan mindfulness ini, diri raih kemampuan dan kekuatan untuk berdamai dengan gejolak rasa serta kecamuk emosi dalam jiwa selanjutnya pilih daya tindak produktif pada kebanyakan waktu.
Nurul Iman
Ayat Ibrahim