Asma’ mencapai tujuh tudung-tak-payah-gosok miliknya dan susun pada bahagian atas beg pakaian. Ada 5 lagi set pakaian yang muat untuk disimpan, Asma’ perlu buat pilihan. Rakannya menjenguk lalu menyapa,
“Dah siap?” Siti bertanya.
“Sikit lagi.” Asma’ menjawab sambil tangan ligat menyusun pakaian.
“Kau teruja nak ikut kali ini?”
“Mestilah. Sebab kali ni kita nak lawat banyak tempat bersejarah.”
“Aku pun. Nak tengok tempat-tempat kaum yang telah dimusnahkan.”
“Aku nak imbau sejarah Nabi s.a.w. Nak dapat feeling masuk zaman baginda dulu.”
“Wah.”
“Kau tahu, hobi mengembara ni pun boleh jadi ibadah tau.”
“Iya. Memang semua perbuatan kita boleh jadi ibadah.”
“Cuma kena tahulah apa syaratnya.”
“Syarat?”
“Kena buat ikut panduan Allah s.w.t. Moga-moga misi travel kali ni jadi ibadah.”
“Apa panduan Allah s.w.t?”
Mengembaralah untuk mengenal Allah s.w.t.
Banyak ayat-ayat perintah untuk mengembara dalam Al-Qur’an. Salah satu tujuan mengembara adalah untuk kita semakin mengenaliNya melalui bukti alam semesta.
أَوَ لَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ ٱلۡأَرۡضِ فَيَنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۚ كَانُوٓاْ أَشَدَّ مِنۡهُمۡ قُوَّةٗ وَأَثَارُواْ ٱلۡأَرۡضَ وَعَمَرُوهَآ أَكۡثَرَ مِمَّا عَمَرُوهَا وَجَآءَتۡهُمۡ رُسُلُهُم بِٱلۡبَيِّنَٰتِۖ فَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظۡلِمَهُمۡ وَلَٰكِن كَانُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ يَظۡلِمُونَ ٩
Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka? Orang-orang itu adalah lebih kuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri.
[Ar Rum:9]
Pada zaman Nabi s.a.w, penduduk Mekah dan Madinah melakukan perjalanan untuk berdagang. Mereka dapat melihat peninggalan kaum-kaum terdahulu yang telah dimusnahkan Allah s.w.t. seperti kaum ‘Aad, Tsamud dan kaum Nabi Lut a.s.
Peninggalan kaum terdahulu yang nampak gah dengan binaan tinggi seharusnya menyedarkan kita akan kehebatan mereka namun dengan mudah dihancurkan Allah s.w.t.
Ketika refleksi hal ini, seharusnya jiwa seorang hamba tunduk menyedari bahawa bukanlah Allah s.w.t yang menzalimi hambaNya tetapi manusia itulah yang memilih menzalimi diri sendiri. Perjalanan sebegini seharusnya menyedarkan kita akan kekuasaanNya. Bahkan Dia Maha Mengetahui setiap tindak-tanduk perbuatan manusia. Hukum yang menimpa kaum yang dibinasakan adalah atas dasar ilmu pengetahuan Allah s.w.t yang mendalam sedang Dia Maha Berkuasa terhadap sesiapapun.
أَوَ لَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَيَنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ قَبۡلِهِمۡ وَكَانُوٓاْ أَشَدَّ مِنۡهُمۡ قُوَّةٗۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعۡجِزَهُۥ مِن شَيۡءٖ فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَلَا فِي ٱلۡأَرۡضِۚ إِنَّهُۥ كَانَ عَلِيمٗا قَدِيرٗا ٤٤
Dan apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka, sedangkan orang-orang itu adalah lebih besar kekuatannya dari mereka? Dan tiada sesuatupun yang dapat melemahkan Allah baik di langit maupun di bumi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.
[Fatir:44]
Selain menyedari kekuasaanNya yang mampu membinasakan golongan yang ingkar, sebuah pengembaraan juga mengenalkan kita kepada Dia Yang Maha Menciptakan.
Setiap negeri mempunyai dialek berbeza. Setiap negara juga dihuni pelbagai bangsa dan budaya. Tatkala bertemu manusia berbeza kaum dan bahasa seharusnya mengingatkan kita bahawa Dialah Yang Menciptakan manusia. Perbezaan warna kulit seharusnya membuatkan kita semakin sedar kekuasaanNya yang Maha Menciptakan dan bukannya ruang untuk mendiskriminasi antara sesama.
قُلۡ سِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ بَدَأَ ٱلۡخَلۡقَۚ ثُمَّ ٱللَّهُ يُنشِئُ ٱلنَّشۡأَةَ ٱلۡأٓخِرَةَۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ٢٠
Katakanlah: "Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
[Al 'Ankabut:20]
Mengembaralah untuk sedar diri sebagai hamba
Selain tujuan mengembara untuk mengenal Allah s.w.t, pengembaraan juga seharusnya menyedarkan diri kita sebagai hamba. Kita bukanlah generasi awal yang menghuni bumi kerana telah berlalu beribu-ribu tahun sebelumnya bumi ini didiami manusia. Tatkala manusia pertama iaitu Nabi Adam a.s diperintahkan untuk turun ke dunia, Allah s.w.t mengingatkan untuk ikuti petunjuk yang disampaikan para rasul.
Zaman berganti zaman, utusan Tuhan silih berganti. Ada yang memilih jalan ikut petunjuk yang dibawa rasul. Namun, ramai yang tidak. Akibat enggan menjadi hamba Allah s.w.t dapat diperhatikan melalui peninggalan orang terdahulu yang tak tersisa generasi berikutnya. Justeru, berjalan untuk memerhatikan peninggalan kaum terdahulu yang telah dibinasakan seharusnya menjentik jiwa menyedari hakikat kehambaan.
وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّٰغُوتَۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَيۡهِ ٱلضَّلَٰلَةُۚ فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ ٣٦
Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).
[An Nahl:36]
Mengembara untuk melihat kesudahan orang-orang yang mendustakan para rasul seharusnya mengingatkan kita akan akhirat. Kita sebagai hamba, tempat kembali adalah akhirat. Dunia sebagai persinggahan sementara untuk membuktikan iman dan amal soleh seharusnya ditempuhi dengan petunjuk wahyu. Petunjuk wahyu inilah yang akan beri kemampuan kepada seorang hamba untuk bertaqwa dalam segala hal.
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن قَبۡلِكَ إِلَّا رِجَالٗا نُّوحِيٓ إِلَيۡهِم مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰٓۗ أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَيَنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۗ وَلَدَارُ ٱلۡأٓخِرَةِ خَيۡرٞ لِّلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ ١٠٩
Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang lelaki yang Kami berikan wahyu kepadanya diantara penduduk negeri. Maka tidakkah mereka bepergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul) dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memikirkannya?
[Yusuf:109]
Pun begitu, hasrat mengembara sebagai ibadah harus dipersiapkan dengan hati yang bersih. Jika hati tidak dibiasakan dengan melihat dan mendengar kebenaran wahyu, khuatir hati kesat sehingga gagal garap pengajaran yang terbentang di alam semesta. Hanya hati yang celik dan berfungsi akan mampu menggarap pengajaran yang ada. Justeru, proses penyucian jiwa melalui kesungguhan (jihad) mengawal diri adalah penting.
أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٞ يَعۡقِلُونَ بِهَآ أَوۡ ءَاذَانٞ يَسۡمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ ٤٦
maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.
[Al Hajj:46]
Mengembaralah untuk kenal Allah s.w.t dan diri
Dalam Al-Qur’an ada beberapa teladan tokoh yang mengembara seperti Nabi Musa a.s dan Dzulkarnain. Nabi Musa a.s melakukan perjalanan untuk raih ilmu daripada seorang yang diajar oleh Allah s.w.t iaitu Khidr. Dzulkarnain pula merupakan pemimpin yang suka menempuh jalan untuk buat perbaikan.
Tak dilupakan, ada teladan burung Hud-hud yang terbang mengembara untuk sampaikan maklumat kepada Nabi Sulaiman a.s. Misi besarnya adalah dakwah dan menyeru manusia untuk mengabdi hanya kepada Allah s.w.t.
Realitinya, banyak pengajaran yang boleh digarap tatkala seorang insan melakukan pengembaraan. Antara pengembaraan teragung adalah ibadah haji itu sendiri yang tersedia “kurikulum ibadah” yang amat mencabar jiwa dalam bertoleransi dengan pelbagai manusia. Tidak hairanlah surah Al-Hajj ditutup dengan “jihad” sebagai hasil ibadah haji yang benar. Pengembaraan haji itu sendiri melatih banyak nilai dalam diri mukmin.
Pengembaraan adalah latihan menyucikan jiwa untuk hidup sekadarnya, memposisikan diri sebagai hamba yang bakal menemui kematian, lalu bersungguh-sungguh persiapkan bekal menuju akhirat. Justeru, sikapilah hobi mengembara dengan lensa wahyu. Moga-moga setiap pengembaraan makin menambah kenal kepada Allah s.w.t dan menyedarkan diri sebagai hambaNya.