Whatsapp dibuka, terbaca kata-kata sinis berbaur perkauman pada ruang status. Dada mula rasa sesak, terus klik butang “mute” kenalan yang mencetus rasa sakit hati. Di FaceBook, Twitter dan Tik Tok, hantaran yang memburukkan dan merendahkan golongan lain bertali arus. Sekali lagi butang “uninstall” ditekan. 

Mengapa tatkala berlaku sesuatu fenomena, manusia yang dahulunya berkawan mesra sanggup melontarkan kata-kata mengguris hati? Hanya kerana mahu memenangkan golongan yang kononnya dia wakili. 

Boleh bergaduh dan bertikam lidah kerana bola sepak

Boleh merendah-rendahkan golongan lain kerana pilihan raya umum negara. 

Duhai orang beriman, sedarkah kita tatkala kita menuturkan salam setiap kali selesai solat minima lima kali sehari bermakna kita telah berazam kepada manusia di sekeliling bahawa “Saya berjanji tidak akan memudaratkan kamu.”

Indah ajaran Islam, bahkan setiap solat diperingatkan untuk jadi sumber keselamatan kepada semua manusia sekeliling. Apa  yang diungkapkan dalam solat, perlu diterjemahkan dalam tindakan di luar solat. 

Assalamualaikum. 

Islam adalah agama kesejahteraan dan keselamatan. Setiap peribadi orang beriman itu sendiri seharusnya berazam tidak memudaratkan manusia lain setelah mengucap salam. 

ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ

Inilah ungkapan salam yang kita ucapkan setiap kali bertemu antara sesama. Maksudnya “Sejahtera ke atas kamu semua dan rahmat Allah s.w.t serta berkahNya.” 

Ini bukan sekadar ungkapan sapaan sebaliknya mengandungi doa indah buat insan-insan yang disapa. Salam itu bermakna kita mahu memberikan keselamatan terhadap lawan bicara. Dalam surah Al-Furqan, ada karakter indah ‘ibadurrahman’ yang sabar untuk terus memberikan rasa selamat tanpa mudarat terhadap pihak yang bertindak buruk kepadanya. 

وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا  ٦٣ 

Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan. [Al Furqan:63]

Bagaimana kita mahu memotivasi diri agar terus sabar berperilaku baik, memberikan rasa selamat terhadap lawan bicara meskipun si dia bertindak jahil? Rupa-rupanya Allah s.w.t ada memotivasi buat mereka yang sabar pada hujung surah. 

أُوْلَٰٓئِكَ يُجۡزَوۡنَ ٱلۡغُرۡفَةَ بِمَا صَبَرُواْ وَيُلَقَّوۡنَ فِيهَا تَحِيَّةٗ وَسَلَٰمًا  ٧٥ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ حَسُنَتۡ مُسۡتَقَرّٗا وَمُقَامٗا  ٧٦ 

Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam surga) karena kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya, mereka kekal di dalamnya. Surga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman. 

[Al Furqan:75-76]

Seruan membalas salam dengan yang lebih baik. 

Islam membudayakan sapaan salam penghormatan antara sesama. Kalimah تَحِيَّةٖ

bermakna penghormatan berbentuk doa kebaikan. Tatkala seseorang menerima ucapan penghormatan, hendaklah dia membalas dengan yang lebih baik atau serupa. 

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٖ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡهَآ أَوۡ رُدُّوهَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٍ حَسِيبًا  ٨٦ 

Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu. 

[An Nisa":86]

Adakalanya, ucapan salam dianggap sapaan biasa lalu dijawab hambar atau sekadar mengangguk. Ayat ke-86 surah An-Nisa’ ini mengajar kita bahawa memerintahkan kita membalas penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya. Jika tidak mampu membalas dengan ucapan salam yang penuh, sekurang-kurangnya balaslah ucapan itu dengan yang serupa. 

Melalui ayat ini, Allah s.w.t memperkenalkan diriNya sebagai Yang Maha Memperhitung segala sesuatu. Meskipun tindakan membalas salam penghormatan nampak seperti amal remeh, tetapi Allah s.w.t mengajar bahawa Dia tidak melihatnya sebagai remeh. Sebaliknya, pasti Dia akan memperhitung dan membalasnya kelak. 

Maka, sebarkanlah salam. Dan jawablah salam dengan sebaiknya. 

Teladan pemberi salam. 

Dalam Al-Qur’an, ada beberapa teladan yang menginspirasi akhlak memberi salam. Antaranya adalah interaksi Nabi Ibrahim a.s dengan malaikat

إِذۡ دَخَلُواْ عَلَيۡهِ فَقَالُواْ سَلَٰمٗاۖ قَالَ سَلَٰمٞ قَوۡمٞ مُّنكَرُونَ  ٢٥ 

(Ingatlah) ketika mereka masuk ke tempatnya lalu mengucapkan: "Salaamun". Ibrahim menjawab: "Salaamun (kamu) adalah orang-orang yang tidak dikenal". 

[Adh Dhariyat:25]

Selain itu, salam juga adalah ucapan penghormatan di syurga

لَهُمۡ فِيهَا فَٰكِهَةٞ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ  ٥٧ سَلَٰمٞ قَوۡلٗا مِّن رَّبّٖ رَّحِيمٖ  ٥٨ 

Di surga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta. 

(Kepada mereka dikatakan): "Salam", sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang. [Ya Sin:57-58]

Merenung fenomena ini, seharusnya hati kita tersentuh mengenangkan bahawa “salam” bukanlah satu hal yang kecil. Tetapi ia adalah satu bentuk amal yang ditimbang dan diberi perhatian oleh Allah s.w.t.

Sebarkan salam di media sosial

Saat ini, media sosial adalah wadah komunikasi majoriti masyarakat. Banyak masa diluangkan di media sosial. Bagaimana prinsip sebarkan salam boleh diamalkan di sini? Misalnya, ketika menaip sendirian dalam bilik berseorangan, seorang beriman perlu ingat prinsip salam dengan meletakkan azam tidak menyakitkan hati orang lain.

Surah Al-Hujuraat menyenaraikan perintah-perintahNya dalam berhubungan sesama manusia. Ini termasuklah larangan mempersenda dan memperkecilkan orang lain, larangan berburuk sangka dan anjuran berkenal-kenalan antara berlainan kaum. Melaksanakan perintah ini membuktikan iman dalam dada. 

Pun begitu, untuk sabar menahan diri daripada mengumpat atau merendah-rendahkan orang lain bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi tatkala dipengaruhi emosi berkecamuk. Justeru, iman harus dipasak dengan kekuatan wahyu. Moga-moga hati takut mengingkari dan cenderung taat perintahNya.