Kadang-kala kita pernah mendengar ayat ini, “Dia lahir dari keturunan baik-baik” atau mungkin “Keturunan dia semua baik-baik.” Ayat ini menunjukkan kepada kita keturunan yang baik akan melahirkan pewaris atau generasi yang lebih baik. Dan perkara ini benar-benar dibuktikan melalui kisah keluarga Imran yang menunjukkan bahawa keluarga yang cemerlang telah melahirkan generasi yang mulia. Oleh itu, pada minggu ini mari kita sama-sama mengambil ibrah daripada kisah keluarga Imran yang dirakamkan di dalam al-Qur’an. Malahan terdapat satu surah yang khusus di dalam al-Qur’an yang dinamakan dengan A-li ‘Imraan iaitu surah ketiga di dalam al-Qur’an. Di dalam al -Qur’an juga dinyatakan bahawa Allah SWT telah memilih keluarga Imran sebagai sebuah keluarga yang diberi kelebihan, seperti mana firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰٓ ءَادَمَ وَنُوحًا وَءَالَ إِبْرَٰهِيمَ وَءَالَ عِمْرَٰنَ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ
“Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).”
(Surah A-li 'Imraan: 33)
Keluarga Imran adalah keturunan yang baik dan telah melahirkan generasi yang mulia, dan ini merupakan pilihan daripada Allah SWT seperti mana yang dinyatakan di dalam firman Allah di atas. Keluarga Imran ini juga adalah daripada kalangan Bani Israil dan daripada keturunan Nabi Ibrahim A.S.. Faktor ini juga menjadi penyumbang kepada kelebihan yang diberikan kepada mereka, yang berasal daripada keturunan yang mulia. Bahkan Imran sebagai ketua keluarga juga merupakan lelaki yang soleh dan dikurniakan isteri yang merupakan wanita yang solehah iaitu Hannah. Kedua-duanya taat beribadah kepada Allah SWT dan mengabdikan diri dan masa mereka sepenuhnya kepada Baitul Maqdis. Ini adalah faktor-faktor yang menyumbang kepada pemilihan keluarga ini yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT. Kelebihan dan martabat keluarga ini diangkat dengan lebih baik, apabila lahirnya Maryam A.S., seorang wanita yang turut taat beribadah dan menyerahkan dirinya sepenuhnya untuk berkhidmat kepada Baitul Maqdis, juga daripada Maryam lahirlah seorang Nabi iaitu Nabi Isa A.S. yang diberikan mukjizat yang agung. Salasilah ini menunjukkan bahawa keluarga Imran berasal daripada keturunan yang baik, dan amalan-amalan yang dipenuhi dengan ketaqwaan dan sifat kehambaan kepada Allah SWT ini melahirkan generasi yang mulia. Oleh itu, bagaimanakah kita boleh mengambil ibrah daripada keluarga ini? Sudah tentu kisah keluarga ini diabdikan di dalam al-Qur’an sebagai satu pengajaran kepada umat sepanjang zaman. Dan daripadanya kita menjadikan contoh sebagai model keluarga cemerlang yang akan melahirkan generasi yang mulia.
Niat, Impian dan Harapan Kepada Anak-anak
Menanam impian dan harapan dalam diri kepada anak-anak itulah tanggungjawab ibu dan bapa bermula daripada fasa kehamilan sehinggalah di dalam proses mendidik mereka. Contoh ini jelas kita boleh pelajari melalui kisah isteri kepada Imran, Hannah yang merupakan seorang ibu yang melahirkan wanita yang hebat iaitu Maryam A.S.. Beliau telah bernazar agar apabila anak di dalam kandungannya lahir, beliau ingin anaknya menjadi insan yang akan berkhidmat kepada agama Allah. Allah SWT berfirman:
إِذْ قَالَتِ ٱمْرَأَتُ عِمْرَٰنَ رَبِّ إِنِّى نَذَرْتُ لَكَ مَا فِى بَطْنِى مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّىٓ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah A-li ‘Imraan: 35)
Ayat ini menjelaskan berkaitan nazar seorang ibu yang menyimpan hasrat dan cita-cita terhadap anak yang sedang dikandungkannya. Impian dan harapan itu telah tertanam dalam hati dan jiwa seorang ibu yang sedang mengandungkan seorang anak, tanpa mengetahui adakah ianya lelaki atau perempuan. Ini juga menjadi pengajaran kepada golongan ibu untuk menanam cita-cita dan impian juga menyimpan harapan kepada anak-anak agar anak yang ianya kandungkan akan menjadi anak yang hebat dalam menyumbangkan bakti kepada agama Islam. Oleh itu, apakah impian ibu-ibu untuk anak-anak?
Tambahan pula, nazar yang ditekadkan oleh Hannah ini tanpa mengetahui jantina anaknya, sama ada lelaki atau perempuan. Namun begitu, beliau berharap agar anak yang akan dilahirkan adalah lelaki agar dapat menyambung khidmat suaminya, Imran yang telah pergi bertemu Ilahi sebelum sempat anaknya dilahirkan. Tetapi setelah lahirnya anak perempuan itu, ternyata ianya tidak membantutkan niat Hannah, seperti mana firman Allah SWT, maksudnya:
“Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan) (36) Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira (37).”.
(Surah A-li ‘Imraan: 36-37)
Imam al-Sha’rawi menjelaskan bahawa mengapa Hannah menyatakan nazar dan membulatkan tekadnya adalah kerana masyarakat ketika itu berbangga dengan anak-anak lelaki mereka dan mengatur kehidupan anak lelaki mereka sehingga menjadi kebanggan kepada keluarga masing-masing. Berbeza dengan keluarga ini yang tidak terpengaruh terhadap tradisi tersebut, mereka bertekad untuk memiliki anak yang bakal lahir itu seorang yang bakal berkhidmat kepada Baitul Maqdis. Malahan itulah lebih hebat dan bakal menjadikan seorang individu yang mempunyai wawasan yang lebih luas dan besar, iaitu memberi kebaikan kepada masyarakat.
Hannah juga menetapkan niat dan harapan itu, dengan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT, kerana setelah lahirnya anak tersebut, yang dilahirkan beliau adalah seorang perempuan, tetapi itu tidak membantutkan niat beliau, malahan nazar yang ditetapkan tetap dilaksanakan dengan menyerahkan anak perempuan beliau ke Baitul Maqdis untuk berkhidmat kepada agama Allah SWT, walaupun di kawasan tersebut anak perempuannya akan dikelilingi oleh lelaki, tetapi dengan tawakkal kepada Allah SWT, beliau tetap menyerahkan anaknya di bawah jagaan Nabi Zakaria A.S.. Jelas, kisah ini mengajar seorang ibu untuk menetapkan niat sebagai harapan dan impian kepada seorang anak, di samping berusaha dengan tawakkal yang penuh kepada Allah SWT, dengan mengharapkan anak-anak mereka sempurna di bawah jagaan Allah SWT, serta mendidik mereka untuk menjadi insan yang hebat dan akan memberi kebaikan kepada ummah dan agama. Ini juga mengajar kita untuk mempunyai wawasan yang lebih besar terhadap anak-anak kita, kerana dengan berkhidmatnya seorang anak itu kepada masyarakat, mereka akan menyumbang bakti kepada ummah dan memberikan kelebihan kepada lebih ramai umat manusia.
Motivasi Daripada Wanita dan Ibu yang Hebat
Siapakah dia? Tentulah Maryam A.S., beliau adalah satu-satunya wanita yang diabdikan namanya di dalam al-Qur’an, sehinggakan ada satu surah yang khusus dinamakan dengan nama beliau iaitu Surah Maryam, surah yang kesembilan belas di dalam al-Qur’an. Apa yang dilalui oleh Maryam A.S. sejak lahir sudah tentu tidak mudah baginya. Beliau dihantar ke Baitul Maqdis untuk menunaikan nazar ibubapanya, tanpa rasa kesal dan kecewa beliau melangkah pergi memberikan khidmat di bawah jagaan Nabi Zakaria A.S.. Di bawah jagaan seorang Nabi beliau dididik untuk berkhidmat dan menjadi individu yang taat dalam ibadah dan insan yang hebat jiwanya. Kesemua ini merupakan persediaan untuk mengentalkan jiwa beliau, sebelum beliau dipilih menjadi seorang ibu kepada seorang Nabi yang dilahirkan tanpa seorang bapa iaitu Nabi Isa A.S.. Sudah tentu fasa kehamilan dan melahirkan seorang anak dalam keadaan bersendirian bukan mudah, malahan lebih mencabar. Ditambah dengan hinaan yang diterima dan tuduhan zina oleh Bani Israil yang dilalui beliau, sudah tentu tidak mudah. Tetapi dengan keyakinan sepenuhnya pada Allah SWT dan bantuan daripada-Nya beliau melalui segala ujian ini.
Motivasi daripada kisah Maryam A.S. sangat penting dijadikan pengajaran kepada wanita, bagaimana beliau menguruskan diri, menjaga harga diri walaupun dikelilingi oleh lelaki sewaktu beliau berkhidmat di Baitul Maqdis. Ditambah pula, dengan pengajaran bagaimana khidmat yang diberikan menjadikan seseorang itu lebih baik dan mempunyai jiwa yang kental turut mengajar kita melalui kisah Maryam A.S. ini. Setelah itu, dengan kekentalan jiwa yang dimiliki beliau melalui fasa-fasa kehidupan yang lebih mencabar, sebagai seorang ibu yang hamil dan melahirkan seorang anak, dan lebih dari itu kisah ini terkandung pelbagai pengajaran yang mengajar wanita kini, dalam menguruskan emosi dalam semua keadaan dan menjadi wanita yang hebat seperti Maryam A.S..
Pendidikan Kekeluargaan Melalui Kisah Keluarga Imran
Melalui kisah keluarga Imran ini, mengajar kita bahawa sebuah keluarga yang dibentuk akan mengharapkan kelahiran anak-anak, bukan sahaja sebagai penyeri kebahagiaan kepada keluarga yang dibentuk tetapi juga penyambung legasi keturunan. Anak-anak yang diharapkan juga sudah tentu anak yang soleh dan solehah, hebat, cemerlang dan memiliki akhlak yang mulia, inilah harapan yang tersemat di dalam hati ibu dan bapa. Namun begitu, semua ini perlu bermula daripada ibubapa sendiri, lihatlah bagaimana Imran dan isterinya yang menyerahkan diri secara total sebagai hamba Allah dengan memberikan khidmat kepada Baitul Maqdis, malahan keluarga ini dikenali sebagai keluarga yang sangat beriman. Setelah itu, ibubapa juga seharusnya menyimpan harapan dan impian terhadap anak-anak mereka sejak di dalam kandungan lagi, menanamkan impian supaya anak yang dilahirkan itu bakal menjadi insan yang hebat dalam berkhidmat dan menyumbang bakti kepada agama dan ummah. Seperti mana nazar yang dinyatakan oleh Hannah.
Selain itu, mendidik anak perempuan menjadi wanita solehah sudah tentu bukan mudah, bahkan dalam sebuah hadith disebutkan. Daripada Aisyah R.A., Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”
(HR Bukhari, Muslim & at-Tirmizi).
Mendidik anak perempuan bukan mudah, tetapi sekiranya dia menjadi wanita yang solehah maka ianya akan menjadi penyelamat buat kedua ibubapanya. Bagaimana ingin mendidik anak-anak perempuan kita menjadi anak yang solehah, pelajarilah kaedahnya dan ambillah ibrahnya daripada kisah Maryam A.S. yang dididik menjadi wanita yang solehah malahan kelebihan yang diberikan kepada beliau di atas ketaqwaan dan tawakkalnya sehingga beliau memiliki jiwa yang kuat untuk hamil, dan melahirkan anaknya seorang diri. Malahan Allah SWT memilih beliau untuk melahirkan seorang Nabi yang diberikan mukjizat yang agung oleh Allah SWT sejak lahir. Sudah tentu kita bukan Maryam A.S. tetapi kekuatan emosi dan kekentalan jiwa seorang wanita solehah yang diajari kepada kita dalam fasa kehidupan ini itulah yang penting untuk kita ambil sebagai pengajaran di dalam kehidupan ini. Semoga ibrah daripada keluarga Imran ini menjadi pengajaran kepada kita dalam tanggungjawab membentuk keluarga cemerlang dan melahirkan keturunan yang mulia. Wallahu a’lam.