Tinggal sebungkus nasi lemak atas meja jualan.
Farid melajukan langkah agar tidak terlepas bungkusan nasi lemak terakhir pagi itu. Setelah menghulurkan dua helai wang kertas berwarna biru, dia mengukir senyum pada Mak Siti, mengangguk dan melangkah kembali ke dalam kereta. Memang kebiasaannya, singgah di gerai tersebut setiap pagi Khamis sejak 5 tahun yang lalu.
Setibanya di pejabat, dia menarik kerusi untuk duduk. Perut sudah berbunyi dan dia tak sabar menikmati sarapan yang baru sahaja dibeli. Bungkusan daun pisang dibuka tetapi apa yang dilihat membuatkan bahagian dadanya terasa panas.
“Tiada sambal. Macam mana nak makan ni? Ni bukan nasi lemak!”
***
Bagi sesetengah orang, peristiwa di atas tidaklah dianggap sesuatu yang perlu dirunsingkan. Terima sahaja rezeki nasi lemak tanpa sambal lalu teruskan hidup seperti biasa. Maafkan. Beriman pada takdir rezeki hari itu.
Namun, tak dinafikan ada jenis manusia yang mudah tak puas hati jika “hak” tidak dipenuhi. Lalu sanggup patah balik ke gerai tersebut, memaki-hamun makcik yang telah lama dikenali demi dapatkan hak sambal nasi lemaknya. Jenis golongan ini, jika tidak marah dan penuhi kehendaknya, ada bahagian jiwa yang rasa tidak selesa hingga memaksa untuk bertindak keras tanpa belas kasihan.
Ada apa dengan golongan “keras” sebegini?
Berbuat baik (ihsan) sebagai tanda pengabdian kepada Allah s.w.t.
Dalam surah An-Nisa’, setelah menerangkan tanggungjawab lelaki sebagai suami, dan tanggungjawab perempuan sebagai isteri, serta panduan mengurus konflik dalam rumahtangga, Allah s.w.t kemudiannya memerintahkan untuk mengabdi hanya kepadaNya.
۞وَٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬اۖ
Abdikanlah (diri kepada) Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun.
(Surah An-Nisa’, 4 : 36 )
Perintah mengabdi kepada Allah s.w.t digandingkan dengan larangan mempersekutukanNya dengan apapun. Termasuklah tidak mensyirikkan Allah s.w.t dengan malaikat, para nabi, pemimpin mahupun manusia yang disayangi.
Pada ayat yang sama, perintah pengabdian ini diikat dengan berbuat baik (ihsan) terhadap orang-orang sekeliling. Jika “nasi lemak” hanya dikatakan “nasi lemak” sekiranya nasinya bersantan serta ada sambal, sedarkah kita bahawa pengabdian kepada Allah s.w.t juga memerlukan tanda atau pembuktian?
Mungkin ramai memahami “pengabdian” berbentuk ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Tapi, dalam ayat ini, Allah s.w.t memerintahkan hambaNya untuk berbuat baik kepada orang sekeliling sebagai bukti pengabdian kepadaNya.
وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنٗا وَبِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡجَارِ ذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡجَارِ ٱلۡجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلۡجَنۢبِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخۡتَالٗا فَخُورًا
dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri. (Surah An-Nisa’, 4 : 36)
Sembilan golongan manusia yang diperintahkan untuk disantuni dan diperlakukan sebaik-baiknya.
Dalam ayat ini, pengabdian kepada Allah s.w.t diikuti perintah berbuat baik kepada beberapa golongan manusia seperti berikut :
- Ibu bapa
- Ahli keluarga (termasuklah pasangan)
- Anak-anak yatim
- Orang-orang miskin
- Jiran tetangga yang dekat
- Jiran tetangga yang jauh
- Rakan sejawat
- Orang musafir yang terlantar
- Hamba
Senarai ini bermula dengan berbuat baik kepada golongan yang paling dekat dengan kita iaitu ibu bapa. Ibu bapa adalah golongan yang paling banyak berbuat baik dan berbakti kepada seorang anak. Bila mereka berusia lanjut, adakalanya peribadi dan sikap mereka sukar diubah dan menimbulkan rasa tidak selesa lalu tercetus situasi yang tegang dengan anak-anak. Ada yang langsung meninggikan suara dan memarahi ibu bapa kerana tidak bersetuju pada perkara-perkara kecil dalam mengurus rumahtangga. Misalnya, si anak yang kebiasaannya menyusun barang menggunakan kaedah Konmari, rasa geram apabila setiap kali ibunya ziarah ke rumah akan menyusun semua barang di dapur ikut kebiasaan ibunya. Allah s.w.t mengingatkan untuk berbuat baik kepada ibu bapa meskipun rasa sulit. Lalu, anak yang mengabdikan diri kepada Allah s.w.t akan sabar dan terus menggunakan tutur kata yang baik dengan ibu bapa meskipun keadaan sangat tegang.
Selepas ibu bapa , Allah s.w.t memerintahkan hambaNya untuk berbuat baik kepada ahli keluarga dan sanak-saudara. Ini termasuklah semua ahli keluarga yang dekat seperti adik-beradik, pasangan, anak-anak dan sanak-saudara. Seringkali, dengan insan terdekat seperti pasangan, kita mudah melepaskan perasaan dan tidak menjaga hati. Mari renungkan hal ini.
Al-Quran telah menggariskan tanggungjawab khusus untuk lelaki sebagai suami dan ayah agar jadi pencari nafkah keluarga serta mendidik ahli keluarga. Perempuan sebagai isteri dan ibu pula telah dipertanggungjawabkan untuk memenuhi keperluan seksual suami, mengandung, melahirkan anak, menyusukan anak dan mendidik anak.
Selain tugas utama yang ditekankan secara jelas oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran, ada beberapa tugas yang tidak disebut secara spesifik sebagai tanggungjawab siapa. Di sinilah letaknya peluang berbuat ihsan untuk suami, isteri dan anak-anak berlumba-lumba buat kebaikan dalam mengurus rumahtangga seperti membasuh pakaian, memasak, mengemas rumah dan segala-galanya. Dapat kita lihat peribadi ihsan Nabi Ibrahim a.s. yang ambil peranan sediakan makanan untuk tetamu (rujuk surah Adz-Dzariyaat ayat 26) dan peranan dua wanita di Madyan yang keluar bekerja, urus usaha penternakan milik keluarga (rujuk surah Al-Qosas ayat 23).
Selepas ahli keluarga terdekat, seorang mukmin diperintahkan Allah s.w.t untuk berbuat baik kepada golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Ini diikuti jiran-jiran yang dekat dan jauh, rakan sejawat, musafir dan golongan hamba. Meskipun zaman kini sudah tiada sistem hamba, namun kita boleh ambil pengajaran dengan berbuat baik terhadap mereka yang bekerja di bawah kita. Usah berhubung sekadar urusan kerja semata-mata tapi carilah peluang untuk sebarkan kebaikan pada mereka.
Akibat jika enggan taat, tidak mahu berbuat baik kepada yang di sekeliling.
Perintah berbuat baik ini bukan sekadar “buat jika mahu”. Tetapi, ada akibatnya jika memilih enggan. Bahkan ada azab bagi yang melakukan hal bertentangan iaitu menzalimi, mempersulit mahupun mendera mereka yang di sekeliling.
Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia tidak menyukai golongan yang enggan berbuat ihsan. Sikap mereka adalah sombong dan takbur.
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخۡتَالٗا فَخُورًا
Penyakit sombong ini adalah jejak iblis dan sikap sebeginilah membuatkan seorang manusia ego lalu enggan berbuat baik kepada yang di sekeliling. Tatkala jiwa merasakan sentiasa perlu disanjung dan dilayan, sesiapa yang tidak memenuhi kehendaknya akan dimarahi dan diperlakukan dengan kelakuan zalim.
Perilaku berbuat jahat kepada orang lain bertitik-tolak daripada hati berpenyakit yang kedekut serta bertuhankan kedudukan di mata manusia sehinggakan hanya mahu memberi untuk riak. Iman mereka pada Allah s.w.t dan Hari Akhirat amat lemah membuatkan jasad sanggup tidak melakukan kebaikan pada orang sekeliling, bahkan terhadap ibu bapa sekalipun.
ٱلَّذِينَ يَبۡخَلُونَ وَيَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبُخۡلِ وَيَكۡتُمُونَ مَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ وَأَعۡتَدۡنَا لِلۡكَٰفِرِينَ عَذَابٗا مُّهِينٗا ٣٧ وَٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۗ وَمَن يَكُنِ ٱلشَّيۡطَٰنُ لَهُۥ قَرِينٗا فَسَآءَ قَرِينٗا ٣٨
(iaitu) orang-orang yang kikir, dan menyuruh orang lain berbuat kikir, dan menyembunyikan kurnia Allah yang telah diberikan-Nya kepada mereka. Dan Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir siksa yang menghinakan.
Dan (juga) orang-orang yang menafkahkan harta-harta mereka karena riak kepada manusia, dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian. Barangsiapa yang mengambil syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah teman yang seburuk-buruknya.
(An-Nisa’, 4 : 37-38)
Jika enggan berbuat baik kepada orang sekeliling, memilih berbuat sebaliknya iaitu berperilaku sombong dan takbur, Allah s.w.t menilai golongan sebegini sebagai kafir. Jika tidak bertaubat, Allah s.w.t mengancam dengan azab menghinakan di akhirat. Meskipun di dunia boleh berbangga dan sombong dengan posisi diri, tetapi akhirat kelak akan dihinakan.
Hidup dengan kehilangan cintaNya, sanggupkah?
Merawat jiwa yang sombong dan takbur.
Untuk merawat jiwa yang sombong dan takbur, perlulah latih jiwa untuk tunduk kepada Allah s.w.t. Banyakkan memberi dan paksa diri buat kebaikan bermula kepada orang sekeliling. Usahakan untuk membasuh tandas, membuang sampah dan tugas-tugas yang selama ini rasa “jijik” untuk dilakukan. Perlahan-lahan, perbetulkan perspektif agar melihat segala usaha jerih-payah lakukan kebaikan kepada orang sekeliling adalah amal soleh yang diri sendiri amat perlukan.
Lakukan kebaikan kerana realitinya kebaikan itu untuk manfaat sendiri.
Lakukanlah kebaikan untuk Dia dan bukan dia.
إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَاۚ
Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, (Al-Isra’:7)
Fuady Samshi
Ayat Ibrahim