Tadabbur boleh difahami dengan makna salah satu usaha untuk mencari makna disebalik zahir suatu perkara. Kalimah tadabbur juga digunakan pada setiap usaha manusia untuk mendalami hakikat satu perkara. Oleh itu, apabila kita mengaitkan kalimah tadabbur ini dengan al-Qur’an, maka ianya adalah satu tindakan yang diusahakan untuk kita merenungkan ayat al-Qur’an untuk mencari petunjuk daripada ayat-ayat yang dibaca, agar ayat-ayat tersebut menjadi peringatan dan juga perkhabaran indah buat mereka yang taat dan beriman kepada Allah SWT. Pernah atau tidak kita mendengarkan qari atau qariah yang membacakan ayat al-Qur’an sehinggakan pada sebahagian ayat mereka menangis? Atau mungkin bagi sesiapa yang pernah sampai ke tanah suci, pasti pernah merasakan getaran hati saat mendengar imam membacakan ayat al-Qur’an dengan syahdu dan kadang-kala pada sebahagian ayat, mereka menangis teresak-esak. Mungkin kita tidak memahami keseluruhan maksud ayat tersebut, tetapi bacaan ayat al-Qur’an yang diselangi dengan tangisan itu memberi getaran kepada jiwa yang suci dan bersih yang sedang khusyuk beribadah kepada Allah SWT. Kesemua situasi ini adalah gambaran bagaimana ayat-ayat yang dibaca itu, difahami dan dihayati sehinggakan meninggalkan kesan kepada hati pembaca dan juga pendengar. Apabila mereka takut terhadap azab Allah SWT yang Maha Besar, mereka menangis dan apabila Allah SWT menjanjikan keindahan syurga buat mereka, mereka gembira. Itulah kelebihan buat mereka yang membaca al-Qur’an bukan sekadar membaca tetapi memahaminya, sehinggakan ayat tersebut mengusik emosi mereka.

Oleh itu, minggu ini kita akan melihat berkaitan tadabbur al-Qur’an, mengapa ianya penting? Dan ianya juga ada kaitan dengan tujuan al-Qur’an itu diturunkan. Perbincangan ini, diharapkan dapat menjadi sarana kepada pembaca dan diri penulis sendiri dalam aktiviti yang menjadi tanggungjawab harian iaitu membaca al-Qur’an dan mentaddabur ayat-ayat-Nya. 

NASIHAT IBNU MASUD R.A. 

Dalam sebuah athar yang diriwayatkan oleh Ibnu Masud R.A. berkata:

لاَ تَنْثِرُوهُ نَثْرَ الدَّقْلِ وَلاَ تَهُدُّوهُ هَدَّ الشِّعْرِ، قِفُوا عِنْدَ عَجَائِبِهِ، وَحَرِّكُوا بِهِ الْقُلُوبَ، وَلاَ يَكُونُ هَمُّ أَحَدِكُمْ آخِرَ السُّورَةِ.

Janganlah kamu membaca al-Quran seperti ad-daqol (kurma) yang jatuh bertaburan. Dan janganlah kalian membaca al-Quran seperti membaca syair. Akan tetapi berhentilah sejenak pada keajaiban-keajaibannya, dan gerakkanlah hati kalian dengannya. Dan janganlah keinginan seseorang dari kalian itu hanya untuk mencapai akhir surah.

(Diriwayatkan di dalam Musannaf Ibn Abi Shaybah (8733))

Apabila kita merenung athar (apa yang diriwayatkan oleh para sahabat dan para tabi’in) ini, terdapat 5 nasihat yang ingin disampaikan oleh Ibnu Masud R.A. berkaitan dengan al-Qur’an. Pertama adalah, janganlah kamu membaca al-Qur’an seperti ad-daqol. Ad-daqol adalah sejenis kurma yang apabila ianya masak, ianya akan jatuh bertaburan. Bukan hasil daripada masak ranum buah tersebut yang ingin kita jadikan perhatian, tetapi sifat jatuh bertaburan itulah yang ingin difokuskan. Di mana, maksud di sini adalah membaca al-Qur’an perlulah dengan tajwid yang betul, teratur dan menjaga adab ketika membacanya. Oleh itu, untuk memastikan bacaan al-Qur’an kita tidak diibaratkan seperti mana yang disebutkan di dalam athar di atas, maka mempelajari dan menyemaknya dengan guru adalah suatu perkara yang harus diusahakan, agar tajwid dan makhraj al-Qur’an dapat dijaga dengan baik dan sempurna. 

Kedua, Ibnu Masud R.A. juga berpesan agar jangan membaca al-Qur’an seperti membaca syair. Ini membawa maksud janganlah membaca al-Qur’an dengan cepat sehinggakan entah kemana tajwid dan makhrajnya. Tetapi bacalah al-Qur’an dengan perlahan, tertib dan teratur. Mengapakah digambarkan cepat membaca dengan membaca syair? Ini kerana orang arab dahulu ketika mereka membaca syair, mereka akan bersegera membacanya dan tergesa-gesa untuk menghabiskan bait-bait syair mereka. Perbuatan ini menyebabkan sebahagian kalimah tidak dilafazkan dengan baik sama ada tertinggal huruf dan sebagainya. Dan kesalahan ini menjadikan syair yang dibaca itu tidak jelas. Keadaan ini harus dielakkan ketika membaca al-Qur’an kerana apabila kita membaca al-Qur’an harus dibaca dengan sempurna, sehinggakan ayat-ayat al-Quran itu dapat didengari dengan jelas dan tidak membawa maksud yang berbeza.

Ketiga, beliau juga menasihati kita agar berhentilah sejenak pada keajaiban-keajaibannya. Nasihat ini memberi peringatan kepada kita untuk memerhatikan keajaiban-keajaiban ayat al-Qur’an. Keajaiban al-Qur’an begitu banyak, dan diantaranya adalah dari sudut uslub-uslub yang terdapat di dalam al-Qur’an, yang datang dalam bentuk peringatan, penceritaan, perbandingan dan lain-lain. Selain itu, susunan ayat al-Qur’an yang indah dan sempurna juga menjadi bukti kepada kemukjizatannya. Seperti mana di dalam al-Qur’an Allah SWT mencabar manusia untuk mencipta sesuatu yang seumpama dengan al-Quran. Firman Allah SWT:

قُل لَّئِنِ ٱجْتَمَعَتِ ٱلْإِنسُ وَٱلْجِنُّ عَلَىٰٓ أَن يَأْتُواْ بِمِثْلِ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِۦ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍۢ ظَهِيرًا

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".

(Surah Al-Israa’: 88)

Ayat ini merupakan cabaran yang ditujukan kepada seluruh makhluk, termasuk ahli falsafah, para ulama, hukama’, dan seluruh manusia, sama ada bangsa Arab atau pun mereka yang bukan dalam kalangan bangsa Arab. Tanpa mengira mukmin atau kafir, untuk mencipta sesuatu seperti al-Qur’an. Namun begitu, sudah tentu, sekiranya semua jin dan manusia berkumpul dan saling bantu-membantu untuk menciptakannya sekali pun mereka tidak akan mampu menandingi kehebatan al-Qur’an. Kerana al-Qur’an adalah mukjizat. Selain itu, keajaiban al-Qur’an juga yang sarat dengan hikmah, juga di dalamnya disebutkan pelbagai sikap manusia. Justeru, jelaslah dalam usaha untuk mentadabbur al-Qur’an usahakanlah untuk memahami ayat-ayat yang indah ini, agar ianya sampai menusuk ke hati.

Nasihat Ibnu Masud R.A. yang keempat adalah, gerakkanlah hati kalian dengannya, iaitu gerakkanlah hati-hati kita dengan bacaan al-Qur’an dan hiasilah bacaan itu dengan keindahan suara keindahan yang lunak. Hati adalah asas kepada kebahagiaan dan kesengsaraan manusia. Seperti mana sabda Rasulullah SAW:

“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa hati merupakan salah satu organ yang penting dalam jasad manusia, kerana ianya menentukan sama ada baik atau buruknya akhlak seseorang itu. Oleh itu, hati merupakan elemen utama, dan ianya juga menentukan sama ada seseorang itu terkesan dengan ayat al-Qur’an atau berpaling dengannya. Contohnya seperti mana kisah yang sering kita dengarkan berkaitan dengan Saidina Umar al-Khatab R.A. yang ketika mendengar bacaan al-Qur’an adiknya terus meresap ke dalam hatinya sehinggakan bacaan itu menjadi pintu hidayah kepada beliau, lalu beliau memeluk Islam. Berbeza dengan kisah Abu Jahal yang mencuri-curi mendengar bacaan Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak membuka pintu hatinya, malah dia berpaling jauh daripada kebenaran. Begitulah perbezaan dua hati yang kita boleh lihat, bagaimana seharusnya bacaan al-Qur’an itu menggerakkan hati-hati mereka yang menerimanya atau sebaliknya. Oleh itu, Ibnu Masud R.A. berpesan, wajib untuk kita mengerakkan hati kita dengan bacaan al-Qur’an. Sekiranya tidak digerakkan dengan bacaan al-Qur’an ditakuti hati ini akan mencari sesuatu yang sebaliknya, iaitu ke arah maksiat dan mengikuti syahwat yang mana ianya lebih buruk daripada itu. Justeru, hidupkanlah hati kita dengan bacaan al-Qur’an dan gerakkanlah ia dengan tadabbur ayat-ayat tersebut.

Selain itu, berusahalah juga untuk menghiasi bacaan al-Qur’an dengan suara yang lunak dan indah. Kerana dengan bacaan yang indah untuk didengari itu dapat menggerakkan hati manusia. Seperti contoh, kita mendengarkan bacaan tarannum di secara langsung atau tidak langsung, seperti di media atau secara atas talian. Bacaan tersebut indah untuk kita dengari sehinggakan memberi getaran kepada jiwa kita. Oleh itu, dalam nasihat beliau terhadap menggerakkan hati ketika membaca al-Qur’an ini, dua pengajaran yang boleh kita ambil. Memperdengarkan bacaan al-Qur’an untuk menyucikan hati ini serta memperindahkan bacaan al-Qur’an agar boleh mengerakkan hati mereka yang mendengarkannya. 

Kelima dan terakhir, apa yang boleh dipelajari melalui athar ini adalah janganlah kamu bimbang tentang akhir surah. Nasihat ini menjelaskan kepada kita agar tidak memberi perhatian atau mementingkan surah lain iaitu tidak memberi tumpuan kepada surah lain selagi surah yang dibaca belum tamat. Ini memberi peringatan kepada kita tidak tergesa-gesa untuk menghabiskan bacaan al-Qur’an. Janganlah juga kita bimbang terhadap kuantiti bilangan muka surat yang telah dibaca atau tergesa-gesa untuk mengkhatamkan al-Qur’an. Kadangkala situasi ini kitab oleh lihat di bulan Ramadhan, apabila ada di antara kita yang tergesa-gesa membaca al-Qur’an dengan niat untuk mengkhatamkan al-Qur’an di bulan yang mulia tersebut. Masha-Allah niat itu sangat mulia, dan semoga ianya diganjari dengan pahala yang besar. Tetapi berhati-hatilah jangan sampai bacaan al-Qur’an tidak dijaga dengan baik, semata-mata untuk mendapatkan khatam al-Qur’an di bulan Ramadhan. Bukan kuantiti yang dikejar tetapi kualiti yang dicari. Mukmin dan muslim yang membaca al-Qur’an, dan bacaan al-Qur’an itu difahami dan diamalkan adalah lebih baik, berbanding bacaan al-Qur’an yang banyak tetapi tidak difahami, dan tidak diamalkan. 

BERBALIK KEPADA TUJUAN AL-QUR’AN DITURUNKAN

Al-Qur’an yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW mempunyai tujuannya yang tersendiri. Tujuan al-Qur’an itu harus selari dengan sikap kita dalam berinteraksi dengan al-Qur’an. Untuk memahami tujuan al-Qur’an ini, kita bukan sahaja harus membacanya tetapi juga harus berusaha untuk memahami ayat-ayat tersebut dengan mentadabbur. Dengan usaha ini, akan memberi kesan kepada hati kita, dan menjadi peringatan juga hikmah buat insan yang membuka hati mereka untuk menerima hidayah dan tawfiq ini. Tujuan al-Qur’an yang pertama adalah menjadi petunjuk kepada manusia. Petunjuk ini dari sudut bagaimana mereka seharusnya mengolah kehidupan mereka, dengan menghidupkan cahaya petunjuk al-Qur’an di dalam kehidupan mereka. Firman Allah SWT, maksudnya:

Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. Bacalah al-Qur’an bersama dengan tadabbur. Carilah hati di sana dan janganlah sampai bacaan al-Qur’an itu hilang kemanisannya.

(Surah Al-Maaidah: 16)

Kedua, al-Qur’an juga datang dengan membawa tujuan membentuk peribadi muslim yang mempunyai kehidupan yang mantap dan berjaya menangkis segala cabaran di akhir zaman ini. Ini kerana al-Qur’an tidak mampu difahami kecuali oleh jiwa-jiwa yang hidup. Hidup untuk memberi pengajaran dan peringatan daripada al-Qur’an. Seperti mana firman Allah SWT:

لِّيُنذِرَ مَن كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ ٱلْقَوْلُ عَلَى ٱلْكَٰفِرِينَ

Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.”

(Surah Yaasin: 70)

Ketiga, tujuan al-Qur’an datang juga membentuk masyarakat dengan manhaj al-Qur’an. Seperti mana al-Qur’an telah membentuk generasi para sahabat. Mereka juga merupakan generasi al-Qur’an yang unggul. Dan mereka juga yang hidup dengan manhaj al-Qur’an merupakan generasi yang unggul dan akan melahirkan generasi ulul albab yang hebat. Keempat al-Qur’an juga datang untuk membimbing anggota masyarakat muslim dalam mengharungi unsur-unsur jahiliah. Seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah al-Furqan ayat 52, Allah SWT memberi peringatan kepada orang-orang beriman supaya janganlah kita mengikut petunjuk orang-orang kafir malahan harus berusaha menentang mereka. Seperti mana zaman kini yang banyak unsur-unsur jahiliyah yang masuk mempengaruhi pemikiran umat Islam, sehinggakan sanggup menggadaikan akidah Islam demi mengikuti trend pada masa kini. Oleh itu, dengan cahaya al-Qur’an yang menjadi petunjuk kepada kita hingga akhir zaman seharusnya dijadikan pegangan di samping as-Sunnah sebagai yang digenggam kukuh dan erat di dalam hati untuk diamalkan. Firman Allah SWT, maksudnya:

Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

(Surah Al-Furqaan: 52)

Justeru, tahniah dan syabas sekiranya membaca al-Qur’an menjadi rutin harian anda. Kini tambahkan di dalam rutin harian usaha untuk tadabbur al-Quran. Mengapa ini penting? Kerana dengan memahami al-Qur’an, barulah kita dapat mengamalkan isi kandungannya, mengkagumi keajaibannya, juga menggerakkan hati dengan keindahannya. Bahkan tujuan al-Qur’an itu diturunkan juga akan dapat dipenuhi sekiranya kita memahami maksud disebaliknya. Selain itu, dalam usaha kita memahami, bacalah al-Qur’an dengan tartil, iaitu dengan membacanya mengikut aturan dan susunannya, tidak mengubah lafaz, serta tidak mengawalkan yang diakhir atau mengakhirkan yang awal. Pelajarilah tajwid dan dalamilah makhraj hurufnya, hiasilah dengan tarannum agar bacaan al-Qur’an kita indah dan menggerakkan hati mereka yang mendengarkannya. Semoga al-Qur’an bukan sekadar menjadi rutin bacaan untuk mendapatkan pahala daripada Allah SWT, tetapi ianya juga dihayati, difahami dan diamalkan untuk menjadi generasi al-Qur’an seperti mana para sahabat. Wallahu a’lam.