“Esok nak bangun awal pagi. Nak tahajjud.” Lin berniat sebelum tidur. Setelah belajar banyak ayat-ayat tentang keutamaan qiamullail, Lin mahu menjadikannya tabiat.

Lalu pada pagi itu, dia terjaga apabila penggera telefonnya berbunyi.

Lin bangun menuju meja. Telefon dicapai untuk mematikan bunyi . Kakinya berjalan perlahan kembali ke katil. Badan direbahkan sambil minda berbisik “Nantilah bangun. Nak tidur sikit lagi.” 

***

Pernahkah anda berada dalam situasi seperti Lin? Punya semangat tinggi melakukan satu jenis amal ibadah, tetapi gagal dek hawa nafsu dan ketidaksediaan jiwa ubah tabiat.

Memulakan sesuatu yang baru pastinya bukan mudah. Ubah tabiat memang perlukan pengorbanan. Persoalannya, sudahkah lakukan persediaan tatkala mula berazam? Jika tidak, khuatir azam hanya menjadi angan-angan. Nilai dan misi yang dimahukan tidak kuat untuk diperjuangkan. 

Misalnya, khusus untuk individu yang baru mahu memulakan tabiat baru melazimi bangun malam (qiamullail), seperkara yang perlu dikorbankan adalah rasa cinta pada tidur. Ketika terbentang pilihan antara sambung tidur atau bangkit solat tahajud, apa yang akan dipilih pada kebanyakan waktu? 

Dari segi fizikal, mampu untuk bangkit tahajud kerana kaki sihat mampu berdiri dan berjalan. Pada masa yang sama, anggota badan tiada kecacatan untuk bergerak. Namun, aspek lain yang lemah membuatkan jasad rasa tidak berdaya untuk beramal. Ada faktor kekuatan kognitif yang perlu diambil kira. Ada juga faktor emosi yang perlu diurus.

Allah s.w.t mengajar kita bahawa kita perlu memberikan apa yang kita cintai untuk sampai pada kebajikan yang sempurna.

لَن تَنَالُواْ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُواْ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٞ  ٩٢ 

Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan apa yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. [Al 'Imran:92]

Dalam surah Ali-‘Imran, kita belajar daripada teladan ibu Maryam a.s yang sanggup menyerahkan anak yang dicintai untuk perjuangan agama. Ini adalah salah satu bentuk memberi apa yang dicintai. Rata-rata ibu bapa suka menjadikan anak sebagai sumber yang akan beri manfaat atau berkhidmat kepada mereka saat diperlukan. Bahkan ada yang mengongkong kehidupan anak-anak agar sentiasa ikut kehendak orang tua. Anak-anak dijadikan aset untuk dibangga-banggakan demi kepentingan diri. 

ٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا لَعِبٞ وَلَهۡوٞ وَزِينَةٞ وَتَفَاخُرُۢ بَيۡنَكُمۡ وَتَكَاثُرٞ فِي ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَوۡلَٰدِۖ كَمَثَلِ غَيۡثٍ أَعۡجَبَ ٱلۡكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصۡفَرّٗا ثُمَّ يَكُونُ حُطَٰمٗاۖ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ عَذَابٞ شَدِيدٞ وَمَغۡفِرَةٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٰنٞۚ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ  ٢٠ 

Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. [Al Hadid:20]

Ibu Maryam a.s sebaliknya bertindak membebaskan anaknya daripada keterikatan dan kesusahan mencari sumber kehidupan. Ini kerana ibu Maryam a.s telah bernazar menyerahkan anaknya untuk agama Allah s.w.t. 

إِذۡ قَالَتِ ٱمۡرَأَتُ عِمۡرَٰنَ رَبِّ إِنِّي نَذَرۡتُ لَكَ مَا فِي بَطۡنِي مُحَرَّرٗا فَتَقَبَّلۡ مِنِّيٓۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ  ٣٥  

فَلَمَّا وَضَعَتۡهَا قَالَتۡ رَبِّ إِنِّي وَضَعۡتُهَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا وَضَعَتۡ وَلَيۡسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلۡأُنثَىٰۖ وَإِنِّي سَمَّيۡتُهَا مَرۡيَمَ وَإِنِّيٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ  ٣٦ 

(Ingatlah), ketika isteri 'Imran berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang saleh dan berkhidmat (di Baitul Maqdis). Karena itu terimalah (nazar) itu dari padaku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". 

Maka tatkala isteri 'Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk". [Al 'Imran:35-36]

Memberi apa yang dicintai memerlukan kekuatan kognitif dan emosi yang bertitik tolak kekuatan iman. Kekuatan dalaman ini meletakkan nilai-nilai tertentu sebagai keutamaan untuk diperjuangkan lalu jasad akur dan mampu mengorbankan kehendak hawa nafsu. 

Kembali pada contoh awal menjadikan qiamullail sebagai tabiat baru, individu perlu memberikan waktu tidur yang dicintainya untuk diisi dengan bangun malam.  Sebahagian daripada kita rasa berat untuk bangun malam mungkin kerana tidak suka dengan rasa tidak selesa bangun dari tidur. Ada juga yang mungkin tidak selesa dengan rasa mengantuk pada siangnya. Kesannya, ibadah di waktu malam dirasakan mengganggu keselesaan lalu ditinggalkan.  

Mahukah anda belajar kemahiran urus pengalaman dunia dalaman? Agar anda tetap lakukan hal yang diazamkan sambil berdamai dengan kecamuk di jiwa. Jika ya, teruskan pembacaan untuk belajar kaedah “kesanggupan” terima hadirnya segala jenis rasa dalam jiwa sambil bertindak selari sistem nilai bukan emosi melulu. 

Fokus ubah perbuatan, bukan emosi. 

Dalam bulan Ramadhan, Allah s.w.t melatih kita untuk fokus perbuatan menahan diri daripada makan dan minum pada waktu yang ditetapkan. Meskipun ketika itu, mungkin banyak rasa tidak selesa seperti lapar, dahaga dan letih, golongan beriman yang terbiasa berpuasa setiap kali Ramadhan akan tetap mampu berpuasa tanpa perlu berperang menghilangkan segala emosi tidak menyelesakan itu. 

Izinkan sahaja segala rasa yang tidak selesa itu hadir. Berdamai dengannya. Fokus beramal ibadah dengan teruskan berpuasa. Ini kemahiran penting yang digarap sepanjang bulan Ramadhan. Pernah terfikir untuk aplikasikan kemahiran sama pada bulan-bulan lain? 

Misalnya, masih memilih lauk sayur dan buah meskipun ada rasa tak suka pada sayur yang disajikan. 

Masih memilih menuturkan kata-kata yang baik walaupun dalam hati sudah geram dan marah terhadap situasi. 

Masih memilih membantu insan tersayang meskipun badan sudah sakit dan letih sepanjang hari. 

Masih pilih bangun tengah malam untuk tahajjud walaupun mata berat rasa mengantuk dan mahu tidur. 

Apa yang kita pelajari di sini? 

Realiti manusia, kita punyai kawalan terbatas terhadap emosi. Apa yang dalam kawalan kebanyakan waktu adalah perbuatan zahir. Jika fokus pada emosi, ramai bertindak bertentangan azam kebaikan. 

Misalnya mahu makan makanan sihat. Tetapi sedang rasa tertekan dan kecewa lalu pilih mengawal emosi menjadikannya bertukar gembira dengan pilih makanan tidak sihat. 

Pada waktu yang lain, mahu anak-anak rasa mereka disayangi. Tetapi kelelahan kerja sepanjang hari membuatkan emosi terganggu lalu cuba kawal emosi dengan melepaskannya pada anak-anak, memarahi mereka. 

Diari “kesanggupan” 

Salah satu kaedah latih kemahiran ini adalah dengan mula mencatat detik-detik anda sanggup buat pilihan izinkan ketidakselesaan emosi hadir sambil pilih lakukan perbuatan yang selari sistem nilai. Latihan ini beri ruang untuk anda menghargai setiap usaha kecil berubah melaksanakan amal yang baik. 

Misalnya, tetap memasak untuk keluarga walaupun letih seharian bekerja.

Tetap bangun malam untuk tahajjud walaupun rasa lebih gembira jika tidur. 

Tidak mengumpat dan mengata seseorang walaupun rasa geram dengan tindakannya. 

Cuba catat tatkala anda memilih “sanggup” beri ruang hadirnya kecamuk emosi tidak selesa sambil anggota badan buat tindakan positif mengikut azam dan sistem nilai. Raikan detik-detik waktu anda tidak memperturutkan emosi demi pilihan pengabdian kepada Tuhan.

Sudahkah anda bersedia dengan pen dan buku jurnal? 

Cuba mulakan hari ini.  

Sebelum tidur, cuba renung kejayaan-kejayaan yang telah anda laksanakan dan mohonlah kepada Allah s.w.t agar terus merezekikan anda lebih  banyak peluang amal soleh pada keesokan harinya.