Pagi itu adalah hari konvokesyen Rumaisha’. Bersama teman sekuliah, Rumaisha’ masuk dewan universiti untuk upacara gilang-gemilang. Tiba-tiba seorang wanita berjalan laju-laju dan berdiri di hadapannya marah-marah.

“Mana pelitup muka kamu?” Mata wanita tersebut memandang tajam pada Rumaisha’. 

“Ya saya pakai lepas ni. Tadi nak ambil gambar.” Spontan Rumaisha’ membalas.

“Pakai cepat.” 

Ramai yang memandang ke arah mereka dek suaranya yang kuat. Rumaisha’ dan temannya cepat-cepat pakai pelitup muka dengan rasa malu ditegur khalayak ramai. Tidak berapa lama kemudian, ketika semua pelajar telah duduk mengambil tempat, wanita yang sama kembali meluru ke arah Rumaisha’.

“Kenapa tak pakai betul-betul?” Suaranya yang kuat sekali lagi menarik perhatian ramai di dewan. Mata bertumpu sekali lagi pada Rumaisha’. 

Rumaisha’ mahu  bangun tetapi ditahan teman sebelahnya. 

“Sabar. Lepas ni saya cakap dengan awak sesuatu.” 

“Eiii. Saya rasa nak tolak je dia tu. Apa masalah dia?” 

“Sabar. Mungkin dialah orang yang Allah sebut dalam surah Al-Furqan.”

“Hah?”

“Allah kata memang akan ada orang yang bermasalah kawal emosi, datang pada kita dengan kata-kata tak elok. Kalau nak jadi ibadurrahman, kena sabar. Sebab nanti Allah nak ganjarkan syurga.”

وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا  ٦٣ 

Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan. 

[Al Furqan:63]

Hidup yang perlu diberi peringatan setiap detik. 

Hidup ini memang pelbagai warna. Ada ketika, lancar dan mudah sahaja perjalanannya. Pada waktu lain, dipertemukan dengan pelbagai ragam manusia yang menuntut nilai kesabaran. Beruntunglah orang-orang beriman yang sempat belajar memahami wahyu, lalu segala peristiwa kehidupan dapat disikapi sesuai petunjuk Al-Qur’an. 

Andai rakan Rumaisha’ tidak pernah belajar surah Al-Furqan, kemungkinan dia juga tidak berjaya melepasi ujian dihadapkan manusia jahil. Namun, apabila Al-Qur’an dipelajari selanjutnya dijadikan dzikr (peringatan), ayat-ayat Qur’an akan mengingatkan hati yang berhadapan ujian. 

وَمَا عَلَّمۡنَٰهُ ٱلشِّعۡرَ وَمَا يَنۢبَغِي لَهُۥٓۚ إِنۡ هُوَ إِلَّا ذِكۡرٞ وَقُرۡءَانٞ مُّبِينٞ  ٦٩ 

Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al Quran itu tidak lain hanyalah pengajaran dan kitab yang memberi penerangan. 

[Ya Sin:69]

Sebagai orang beriman yang meyakini hadirnya bisikan syaitan setiap waktu, peringatan daripada Allah s.w.t adalah amat penting. Jika peringatan daripada Allah s.w.t dilalaikan, bisikan syaitan dikhuatiri mengambil tempat. Sejarah Nabi Adam a.s mengajar kita banyak hal. Antaranya, bisikan syaitan amat-amat licik dan berlaku banyak kali sebelum anak-anak Adam itu dijerumuskan dalam perbuatan mengingkariNya. 

Mari koreksi tipu daya iblis dalam surah Al-‘Araf dan surah Toha. 

فَوَسۡوَسَ لَهُمَا ٱلشَّيۡطَٰنُ لِيُبۡدِيَ لَهُمَا مَا وُۥرِيَ عَنۡهُمَا مِن سَوۡءَٰتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَىٰكُمَا رَبُّكُمَا عَنۡ هَٰذِهِ ٱلشَّجَرَةِ إِلَّآ أَن تَكُونَا مَلَكَيۡنِ أَوۡ تَكُونَا مِنَ ٱلۡخَٰلِدِينَ  ٢٠ 

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata: "Tuhan kamu tidak melarangmu mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam surga)". 

[Al A'raf:20]

فَوَسۡوَسَ إِلَيۡهِ ٱلشَّيۡطَٰنُ قَالَ يَٰٓـَٔادَمُ هَلۡ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلۡخُلۡدِ وَمُلۡكٖ لَّا يَبۡلَىٰ  ١٢٠ 

Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: "Hai Adam, mahukah saya tunjukkan kepada kamu pohon keabadian kerajaan yang tidak akan binasa?" 

[Toha:120]

Bicara Iblis bertentangan dengan apa yang diperintahkan Allah s.w.t kepada Nabi Adam a.s. Tipu daya Iblis juga amat licik dengan memberikan janji-janji palsu kepada Nabi Adam a.s. di samping membuatkan hambaNya berburuk sangka terhadap Tuhan. 

Menyedari hakikat ini, sewajarnya seorang manusia beriman itu peduli menjadikan peringatan daripada Allah s.w.t sebagai perisai yang membentengi. Jika tidak, syaitan berisiko menjadi pendamping yang dekat. 

وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُۥ شَيۡطَٰنٗا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٞ  ٣٦ 

Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. 

[Az Zukhruf:36]

Sebaliknya, jika seseorang itu sentiasa berusaha mengingati Allah s.w.t, Allah s.w.t juga akan mengingatinya. Bukankah ini kebaikan luar biasa yang boleh diperoleh seorang hamba yang lemah?

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ  ١٥٢ 

Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. 

[Al Baqarah:152]

Persiapkan diri dengan bekal dzikr.

Menurut Ar-Raghib Al-Ashfahani dalam kitab “Al-Mufradat”, kalimah ذكر  bermaksud bahagian jiwa manusia yang menjaga (mengingat) pengetahuannya. Maksudnya hampir sama dengan ‘menghafal’. Bezanya, ‘menghafal’ dilakukan dengan memperoleh sesuatu yang belum digarap sementara ‘mengingat’ dilakukan dengan menghadirkan pengetahuan yang telah dimiliki. 

Ringkasnya, untuk menghadirkan sebuah peringatan daripada jiwa, diri manusia itu perlu terlebih dahulu mendapatkan ilmu sebagai bekalan. Tanpa ilmu, tiada peringatan yang boleh dihadirkan. Ini kerana bahkan peringatan itu juga tidak disedari kewujudannya.

Sebagai contoh, terkait kajian kes di awal artikel, tanpa ilmu, Rumaisha’ tidak mampu menghadirkan peringatan daripada surah Al-Furqan berkenaan pedoman menghadapi sikap manusia yang jahil. Tetapi, dengan nikmat bersahabat dengan seseorang yang melazimi Al-Qur’an, dia turut beroleh peringatan. Lalu tindakan yang diambil dipandu pedoman wahyu dan diharapkan diganjarkan syurga. 

أُوْلَٰٓئِكَ يُجۡزَوۡنَ ٱلۡغُرۡفَةَ بِمَا صَبَرُواْ وَيُلَقَّوۡنَ فِيهَا تَحِيَّةٗ وَسَلَٰمًا  ٧٥ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ حَسُنَتۡ مُسۡتَقَرّٗا وَمُقَامٗا  ٧٦ 

Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam surga) karena kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya, mereka kekal di dalamnya. Surga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman. [Al Furqan:76]

Bentuk-bentuk dzikr dalam kehidupan seharian. 

Dalam kalangan masyarakat kita, perkataan ‘dzikr’ amat identik dengan ucapan tasbih, tahmid dan tahlil. Dzikrullah berbentuk ucapan memang boleh dizahirkan melalui kalimah tersebut. Bahkan ini juga merupakan perintah daripada Allah s.w.t. 

فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ ٱلسَّٰجِدِينَ  ٩٨ وَٱعۡبُدۡ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأۡتِيَكَ ٱلۡيَقِينُ  ٩٩ 

maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (shalat), dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal). 

[Al Hijr:99]

Namun, selain dzikr berbentuk ucapan, sebenarnya ada banyak jenis dzikr yang berbentuk perbuatan. Antaranya adalah solat. Antara tujuan solat adalah untuk ingat peringatan daripada Allah s.w.t. Justeru, andai solat didirikan dalam keadaan melupakan Allah s.w.t, tujuan utama pensyariatan solat itu dikhuatiri tidak tercapai.

إِنَّنِيٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعۡبُدۡنِي وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِيٓ  ١٤ 

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku. 

[Toha:14]

Selain solat, perbuatan mengingat Allah s.w.t. juga harus dilakukan tatkala si hamba menzalimi diri sendiri atau melakukan keingkaran. Segera bertaubat adalah satu bentuk dzikrullah. 

وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ  

Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. 

[Ali-'Imran:135]

Ada banyak lagi bentuk-bentuk dzikr yang diperintah Allah s.w.t. Pun begitu, mari berazam dengan satu atau dua bentuk dzikr untuk diperbaiki terlebih dahulu. Moga-moga usaha ingat Allah s.w.t dan ingat peringatan daripadaNya ini membentuk jiwa hamba dalam diri kita. 

Berdzikirlah, kerana dzikr itu menghidupkan hati.