Seorang anak kecil ditunjukkan satu snek marshmallow sambil diberitahu “Awak nak 1 marshmallow sekarang, atau 2 marshmallow kalau tunggu lagi beberapa minit?” Penyelidik tersebut selanjutnya keluar daripada bilik selama 15 minit untuk melihat reaksi anak-anak yang terlibat dalam eksperimen sikap. Pada akhir eksperimen, penyelidik mendapati anak-anak yang mempunyai kekuatan sabar melakukan hal yang tidak menyelesakan, menunggu sebelum dibenarkan mendapat 2 marshmallow, lebih berjaya dalam hidup. Ini adalah eksperimen popular yang dilakukan seorang professor di Stanford University sekitar tahun 1972. 

Sabar dengan ujian yang sekarang untuk dapat sesuatu yang lebih baik pada kemudian hari? Konsep ini terkait kesabaran orang-orang beriman dalam menghadapi ujian kehidupan di dunia untuk dapat sesuatu yang jauh lebih baik di syurga. Mari renungi dua potongan ayat ini. 

3 yang lebih baik daripada 7

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِ‌ۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga). [Al 'Imran:14]

۞ قُلۡ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيۡرٍ۬ مِّن ذَٲلِڪُمۡ‌ۚ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ عِندَ رَبِّهِمۡ جَنَّـٰتٌ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا وَأَزۡوَٲجٌ۬ مُّطَهَّرَةٌ۬ وَرِضۡوَٲنٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ بَصِيرُۢ بِٱلۡعِبَادِ

Katakanlah: "Inginkah aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?". Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada surga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; mereka kekal didalamnya. Dan (mereka dikaruniai) isteri-isteri yang disucikan serta keridhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. [Al 'Imran:15]

Bagi manusia, dijadikan indah segala yang dicintai syahwat termasuklah : 

  1. Wanita-wanita.
  2. Anak-anak.
  3. Harta yang banyak daripada emas.
  4. Harta yang banyak daripada perak.
  5. Kuda pilihan.
  6. Binatang-binatang ternak.
  7. Sawah ladang. 

Jika diperhatikan senarai di atas, kesemuanya berbentuk kesenangan material. Memang ramai yang mungkin beranggapan untuk bahagia, harus mendapatkan kesemuanya. Kurang salah satu mengakibatkan ada yang tak kena dalam hidup. 

Namun, Allah s.w.t mengkhabarkan sebaliknya. Ada sesuatu yang jauh lebih baik daripada 7 yang dicintai syahwat iaitu : 

  1. Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.
  2. Pasangan-pasangan yang disucikan.
  3. Keredhaan Allah s.w.t. 

Apa yang dijanjikan Allah s.w.t di syurga adalah jauh lebih baik merangkumi kebahagian jasad, emosi dan rohani. Namun, ada syarat yang perlu dipenuhi untuk mendapatkannya iaitu harus bersikap dengan sikap orang bertaqwa. 

Apakah identiti atau tabiat orang bertaqwa yang dijanjikan syurga? Allah s.w.t selanjutnya mendidik kita pada ayat-ayat berikutnya. 

5 Identiti orang  bertaqwa

Pada awal surah Al-Baqarah, Allah s.w.t mengajar kita 5 karakter orang bertaqwa yang hidup atas petunjuk dan berjaya. Pada awal surah Ali-‘Imran pula, Allah s.w.t membawakan pada kita 5 ciri-ciri orang bertaqwa yang dijanjikan sesuatu yang lebih baik daripada 7 yang dicintai syahwat. 

ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ إِنَّنَآ ءَامَنَّا فَٱغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ  ١٦ ٱلصَّٰبِرِينَ وَٱلصَّٰدِقِينَ وَٱلۡقَٰنِتِينَ وَٱلۡمُنفِقِينَ وَٱلۡمُسۡتَغۡفِرِينَ بِٱلۡأَسۡحَارِ  ١٧ 

(Iaitu) orang-orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari siksa neraka," (Iaitu) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang memberi (infaq) dan yang memohon ampun di waktu sahur. [Al 'Imran:16-17]

Ciri-ciri orang-orang bertaqwa pada ayat ini adalah : 

  1. Orang yang bermohon ampun & terselamat daripada azab neraka. 
  2. Orang yang sabar
  3. Orang yang benar
  4. Orang yang tetap taat
  5. Orang yang memberi (infaq)
  6. Orang yang bermohon ampun pada waktu sahur

Ciri-ciri ini diapit dengan sikap bermohon ampun. Pada bahagian awal, Allah s.w.t memberikan skrip doa memohon ampun dan diselamatkan daripada azabNya. Pada bahagian akhir pula, Allah s.w.t menjelaskan waktu memohon ampun iaitu pada waktu sahur. 

Jika diperhatikan, ciri-ciri yang dibentangkan ini adalah dalam bentuk اسم   iaitu kata nama. Ini bermakna, ciri-ciri ini seharusnya menjadi identiti orang bertaqwa dan bukan sekadar melaksanakan nilai-nilainya pada waktu tertentu sahaja. 

Orang yang sering bermohon ampun

Identiti pertama gologan bertaqwa adalah beriman selanjutnya sering berdoa agar diampunkan dosa serta diselamatkan daripada azab api neraka. Golongan ini bahkan sering bangun malam sebelum waktu subuh untuk bermohon ampun pada waktu sahur. 

Untuk memohon ampun, seseorang itu harus terlebih dahulu tahu perintah dan laranganNya. Tanpanya, sulit dirinya merasakan pernah berbuat dosa lalu jarang-jarang memohon ampun akibat kedangkalan ilmu. Justeru, ilmu yang paling utama untuk diusahakan adalah ilmu wahyu kerana tanpa Al-Qur’an, bahkan seseorang itu sulit beriman kerana tidak tahu apakah iman itu.

وَكَذَٰلِكَ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ رُوحٗا مِّنۡ أَمۡرِنَاۚ مَا كُنتَ تَدۡرِي مَا ٱلۡكِتَٰبُ وَلَا ٱلۡإِيمَٰنُ وَلَٰكِن جَعَلۡنَٰهُ نُورٗا نَّهۡدِي بِهِۦ مَن نَّشَآءُ مِنۡ عِبَادِنَاۚ وَإِنَّكَ لَتَهۡدِيٓ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ  ٥٢ 

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu ruh (Al-Qur’an) dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al-Qur’an) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al-Qur’an itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus. [Ash-Shura:52]

Orang yang sabar

Identiti kedua orang bertaqwa adalah penyabar. Dalam Al-Qur’an, terdapat banyak konsep sabar termasuklah sabar melaksanakan perintahNya, sabar menahan diri daripada melakukan laranganNya iaitu maksiat dan sabar menghadapi musibah. 

Sabar melaksanakan perintahNya termasuklah ibadah khusus dan ibadah umum yang melibatkan interaksi sesama manusia. Misalnya, seseorang itu perlu sabar mendirikan solat (rujuk surah Toha ayat 132) dan sabar dalam menuntut ilmu (rujuk surah Al-Kahfi ayat 66-82). Sabar daripada melakukan maksiat pula adalah sifat ibadurrahman (rujuk surah Al-Furqan ayat 75). 

Tatkala ditimpa musibah, diuji kehilangan atau nikmat yang ditarik balik, beruntunglah orang yang boleh sabar dengan redha sehinggakan dijanjikan solawat dan rahmat dari sisi Robb. 

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ  ١٥٥ ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٞ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ  ١٥٦ أُوْلَٰٓئِكَ عَلَيۡهِمۡ صَلَوَٰتٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَرَحۡمَةٞۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُهۡتَدُونَ  ١٥٧ 

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali". Mereka itulah yang mendapat solawat dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. [Al Baqarah:155-157]

Orang yang benar

Identiti ketiga adalah orang yang membenarkan apa yang diimaninya dengan memanifestasikan iman melalui perbuatannya. Segala yang dikatakan dan dilakukan selari dengan apa yang diimani dalam hati. Allah s.w.t menjelaskan sifat orang benar ini, salah satunya pada ayat yang menerangkan tentang kebaikan. 

۞لَّيۡسَ ٱلۡبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ قِبَلَ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ وَٱلۡكِتَٰبِ وَٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ وَءَاتَى ٱلۡمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلۡمُوفُونَ بِعَهۡدِهِمۡ إِذَا عَٰهَدُواْۖ وَٱلصَّٰبِرِينَ فِي ٱلۡبَأۡسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلۡبَأۡسِۗ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُتَّقُونَ  ١٧٧ 

Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. [Al Baqarah:177]

Orang yang taat

Identiti keempat adalah taat penuh rasa cinta kepada Allah s.w.t. Teladan ini dapat kita perhatikan pada peribadi Maryam a.s. Rasa kesyukuran akan nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t memang seharusnya membuatkan seseorang itu mahu mengabdi dan taat penuh rasa kecintaan (rujuk surah Ali-‘Imran ayat 37, 42-43). 

Salah satu bukti ketaatan adalah sifat seseorang yang memelihara kehormatan diri serta peduli belajar memahami wahyu selanjutnya membenarkan kandungan Al-Kitab. 

وَمَرۡيَمَ ٱبۡنَتَ عِمۡرَٰنَ ٱلَّتِيٓ أَحۡصَنَتۡ فَرۡجَهَا فَنَفَخۡنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتۡ بِكَلِمَٰتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِۦ وَكَانَتۡ مِنَ ٱلۡقَٰنِتِينَ  ١٢ 

dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-Kitab-Nya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat. [At Tahrim:12]

Orang yang pemurah

Identiti terakhir yang dibentangkan pada ayat ini (Ali-‘Imran ayat 16-17) adalah orang yang suka memberi (infaq). Kalimah yang digunakan adalah umum. Justeru, apa yang diinfaqkan adalah amat luas termasuklah memberi harta, tenaga, masa, ilmu dan segala yang Allah s.w.t rezekikan kepadanya. 

Mari memilih yang lebih baik daripada 7 yang dicintai syahwat. 

Tujuh yang dijadikan indah dan dicintai syahwat sebenarnya berperanan sebagai hal berguna untuk manusia di dunia. Kesemuanya diistilahkan sebagai مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا . Justeru, nikmat tersebut bukanlah disikapi dengan melarikan diri daripadanya. Sebaliknya, nikmat-nikmat berbentuk ujian tersebut harus disikapi dengan 5 identiti yang dibentangkan tadi. Manfaatkanlah wanita, anak-anak, harta, kuda pilihan (atau kenderaan), binatang ternak & sawah ladang (perusahaan perniagaan) dengan sikap sabar, benar, taat, sering memberi serta sering memohon ampun akan kesalahan. 

Moga-moga usaha setiap kita mendidik diri jadi orang bertaqwa diterima Allah s.w.t selanjutnya dimasukkan ke dalam syurga dengan 3 jenis nikmat yang Dia janjikan.