“Saya macam tak percaya pelajar itu terlibat kes buli baru-baru ni.” Seorang guru kaunselor menyatakan rasa kecewa. 

“Kenapa? Awak kenal pelajar tu?” Guru disiplin bertanya. 

“Ya. Selalu nampak dia solat di surau sekolah.” 

***

Ada manusia rajin solat, tetapi masih melakukan maksiat. 

Fenomena sebegini sebenarnya tidak begitu asing dalam kalangan masyarakat muslim. Cuma bezanya antara satu individu dengan individu lain adalah dari segi intensiti maksiat yang dilakukan. 

Jiwa si hamba yang cakna akan kelemahan diri akan tertanya-tanya “Kenapa saya masih berbuat dosa sedangkan saya solat? Bukankah solat sewajarnya mencegah diri saya daripada perkara keji dan mungkar?”

ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ  ٤٥ 

Baca dan ikutlah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al-Qur’an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya peringatan daripada Allah (Al-Qur’an) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. [Al-'Ankabut:45]

Solat yang didirikan ibarat sebuah bangunan.

Bayangkan, anda memiliki satu kawasan tanah dan anda berhajat membangunkan kompleks perniagaan. Lalu, anda mendapatkan para pekerja untuk mendirikan blok-blok bangunan. Setelah beberapa tempoh akhirnya bangunan tersebut siap. 

Anda memberikan upah kepada para pekerja, dan mereka pun pulang. Tiada seorang pun antara para pekerja tersebut kembali. Mereka tidak peduli akan hal bangunan tersebut kerana bukan tanggungjawab mereka untuk memastikannya sentiasa baik. 

Sebaliknya, anda sebagai pemilik kompleks bangunan tersebut bertanggungjawab untuk menjaga dan memastikannya sentiasa berfungsi. Anda membuat penyelenggaraan secara berkala dan anda pastikan ada pekerja yang sentiasa membersihkannya. 

Jika diumpamakan situasi di atas dengan solat, para pekerja ibarat orang yang “mengerjakan” solat manakala pemilik bangunan tersebut yang sentiasa menjaga dan menyelenggara bangunan ibarat orang yang “mendirikan” solat. 

Orang yang “mengerjakan” solat, saat selesai solatnya, dia tidak peduli untuk memastikan segala kandungan atau kata-katanya dalam solat termanifestasi dalam kehidupan. Jika kehidupannya di luar solat tidak mengagungkan Allah s.w.t atau tidak mensucikan Allah s.w.t, dia tidak peduli. Dia tidak peduli jika solat yang dilaksanakan tetap terjaga melalui ketaatan kepada Allah s.w.t 

Orang yang “mendirikan” solat pula, saat selesai solat, dia peduli memastikan segala perbuatan di luar solat selari dengan segala ikrar dan bicara yang dilafazkan dalam solat. Dia tidak mahu “meruntuhkan” segala janji-janji termeterai dalam solat berbentuk ketaatan seorang hamba, dengan melakukan maksiat di luar solat. Dia menjalani kehidupan di luar solat dengan penuh kesedaran bahawa dia mahu menjaga solatnya dengan bertindak selari apa yang dibicarakan dalam solat. 

وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمۡ يُحَافِظُونَ  ٩ 

dan orang-orang yang memelihara solatnya. [Al-Mu’minun:9]

Dalam Al-Qur’an, majoriti perintah solat menggunakan kalimah mendirikan solat ( وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ ) . Hanya sedikit sahaja ayat-ayat Qur’an yang menggunakan kalimah selainnya seperti solat orang fasik. 

وَمَا مَنَعَهُمۡ أَن تُقۡبَلَ مِنۡهُمۡ نَفَقَٰتُهُمۡ إِلَّآ أَنَّهُمۡ كَفَرُواْ بِٱللَّهِ وَبِرَسُولِهِۦ وَلَا يَأۡتُونَ ٱلصَّلَوٰةَ إِلَّا وَهُمۡ كُسَالَىٰ وَلَا يُنفِقُونَ إِلَّا وَهُمۡ كَٰرِهُونَ  ٥٤ 

Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima dari mereka nafkah-nafkahnya melainkan karena mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka tidak mendatangi solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan. [At Tawbah:54]

Golongan beriman seharusnya menyikapi ibadah solat dengan sikap “mendirikan solat” dan bukannya sekadar mendatanginya saat waktu solat tiba dan tidak peduli memeliharanya di luar waktu solat. Persoalannya, bagaimana untuk bersikap dengan sikap “mendirikan”? 

Mari pelajari nama Allah s.w.t Al-Qayyum. 

Meneladani Allah s.w.t Al-Qayyum

Dalam ayatul Qursi, namaNya Al-Qayyum (Yang Maha Mentadbirkan) digandingkan dengan nama Al-Hayy (Yang Maha Hidup)

ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَيُّ ٱلۡقَيُّومُۚ لَا تَأۡخُذُهُۥ سِنَةٞ وَلَا نَوۡمٞۚ لَّهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ مَن ذَا ٱلَّذِي يَشۡفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيۡءٖ مِّنۡ عِلۡمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَۖ وَلَا يَ‍ُٔودُهُۥ حِفۡظُهُمَاۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِيُّ ٱلۡعَظِيمُ  ٢٥٥ 

Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa'at di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. [Al Baqarah:255]

Allah s.w.t yang memberi kehidupan kepada semua makhluk tidak membiarkan mereka begitu sahaja tanpa pemeliharaan. Dialah yang terus-menerus mengurus makhluk-makhlukNya agar ada kelangsungan hidup. 

Jika dibandingkan dengan makhluk, tiada yang mampu menjaga dan memelihara pihak bawah tanggungan setiap waktu. Misalnya, ibu bapa tetap tidak mampu menjaga anaknya setiap waktu kerana ada waktu ibu  bapa pasti akan tidur. Tetapi Allah s.w.t tidak akan pernah mengantuk dan tidur. 

Selanjutnya, Allah Al-Qayyum mampu terus-menerus memelihara dan mengurus kehidupan makhluk-makhlukNya kerana Dia memiliki segala yang ada di langit dan bumi. Bahkan Dia mengetahui segala apa yang ada di hadapan dan di belakang makhluk-makhlukNya. 

Kita sebagai hambaNya diberikan amanah untuk “mendirikan” solat agar solat kita tidak runtuh secara maknawi. Pengajaran yang boleh kita pelajari daripada sifat Allah s.w.t Al-Qayyum adalah : 

  1. Jika Allah Al-Qayyum tidak mengantuk dan tidak tidur, saya pula seharusnya jalani kehidupan penuh kesedaran, tidak lalai daripada menjaga solat saya ketika berada di luar waktu solat. Saya seharusnya selalu ingat (dzikrullah) segala ikrar, janji dan peringatan yang saya lafazkan dalam solat semasa berada di luar waktu solat. 
  2. Jika Allah Al-Qayyum memiliki segala apa yang ada di langit dan di bumi justeru selayaknya mampu menjaga makhluk-makhlukNya, saya pula seharusnya memiliki taqwa agar kekuatan taqwa ini akan jaga perbuatan saya untuk sentiasa selari dengan segala yang dilafazkan dalam solat.
  3. Jika ilmu Allah s.w.t sangat luas liputannya lalu selayaknya Dia mampu terus-menerus mengurus dan mentadbir segala ciptaanNya, maka saya seharusnya peduli mencari ilmu mengenai solat yang saya dirikan. Apabila saya memahami segala yang saya lafazkan dalam solat, moga-moga saya boleh menjaganya ketika berada di luar solat.

Solat yang terbangun teguh, tidak runtuh. 

Solat yang benar-benar didirikan adalah tiang agama. 

Solat yang terbangun kukuh dalam kehidupan seorang hamba menjadikannya manusia beriman yang terpelihara daripada perbuatan keji dan mungkar. Bahkan, makna kehambaan tidak terbatas hanya ketika dia mengerjakan solat tetapi seluruh kehidupan di luar solat menjadi manifestasi apa yang dilafazkan dalam solat. 

Mari memilih untuk mendirikan solat. Bukan sekadar mengerjakannya tanpa kefahaman yang benar lalu tidak memeliharanya saat berada di luar solat. 

Rujukan : 

Nashruddin Baidan (2018). Konsepsi Taqwa Perspektif Al-Quran. Yogyakarta : Pustaka Pelajar. 

Muhammad Ratib Al-Nabulsi (2007). Mengenal Allah. Jakarta : Penerbit Zaman.