Seorang pelajar lelaki hadir ke bilik kaunseling setelah gurunya menghantar nama akibat kerap kali ponteng kelas. Ketika hadir sesi, dia tidak menampakkan apa-apa isu selain menyatakan tidak mampu fokus dalam kelas. Hanya setelah sesi ke-3 barulah dia berani berterus-terang 

“Cikgu, saya rasa saya ketagih pornografi.” 

Dosa yang dibuat dengan niat cuba-cuba sewaktu kali pertama, jadi tabiat kerana otak sudah mensistemkannya sebagai perbuatan menyeronokkan dan menggembirakan. Akhirnya terjebak berkali-kali melakukan dosa, meskipun cuba berhenti tetapi tidak mampu. 

Sebenarnya, memang kebanyakan tabiat dosa menjadi sulit untuk ditinggalkan akibat syaitan membuatkannya terlihat indah. 

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِيَنَّهُمۡ أَجۡمَعِينَ  ٣٩ 

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, [Al Hijr:39]

Untuk memahami tabiat atau perilaku manusia, cuba tanya soalan ini “Apakah manfaat yang diperoleh jika memilih melakukan sesuatu perbuatan.” 

Jawapan kepada soalan menjadi sebab mengapa sesuatu tabiat dosa sulit ditinggalkan. Boleh jadi perbuatan dosa tersebut menghilangkan tekanan atau menimbulkan rasa seronok dan gembira. Boleh jadi juga perbuatan dosa tersebut menghilangkan rasa bosan yang diri tidak sukai. 

Sesetengah manusia tanpa sedar meletakkan rasa gembira sebagai matlamat hidup. Lalu sebarang emosi tidak menyenangkan atau tidak seronok mahu segera dihilangkan dengan apa cara sekalipun. Kebanyakan waktu, kaedah yang dipilih berisiko membuatkan si manusia berada dalam keadaan menzalimi diri. 

Puasa bulan Ramadan banyak mengajar kita tentang tiada salahnya berdamai dengan segala rasa tidak selesa lapar dan dahaga selagi mana tercapai matlamat kehambaan teruskan berpuasa untuk taat kepadaNya. Kemahiran inilah yang harus diterapkan dalam kehidupan kita sehari-hari di luar bulan Ramadan. 

Mari perhatikan beberapa pedoman wahyu terkait kaedah berhenti melakukan dosa. 

Peduli memilih makanan yang halal dan baik.

Makan dan tabiat dosa ada keterkaitan? Mari renungi ayat ini. 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ حَلَٰلٗا طَيِّبٗا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٌ  ١٦٨ إِنَّمَا يَأۡمُرُكُم بِٱلسُّوٓءِ وَٱلۡفَحۡشَآءِ وَأَن تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ  ١٦٩ 

Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. [Al Baqarah:169]

Melalui ayat ini, Allah s.w.t memerintahkan seluruh manusia tidak kira beriman atau tidak untuk makan makanan yang halal lagi baik. Kebanyakan muslim mudah memenuhi perintah makan yang halal. Namun, masih ada yang mengabaikan perintah makan yang baik (طَيِّبٗا). Makan makanan yang baik berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain. Misalnya, seorang yang ada masalah alahan tidak boleh makan sesetengah makanan yang berkhasiat buat individu yang lain. 

Yang menjadi cabaran, banyak makanan halal tetapi tidak baik mudah didapatkan. Jika seseorang itu hanya merasakan perintah Allah s.w.t terhad pada perintah halal, maka gaya hidupnya tetap makan makanan tidak sihat asalkan halal. 

Kegagalan taat kepada perintah makan yang baik berisiko membuatkan seseorang terpengaruh syaitan yang menyuruh melakukan perbuatan jahat dan keji. Memang realitinya saat manusia mengingkari perintah Allah s.w.t misalnya ingkar memilih makan makanan yang baik, syaitan berupaya memiliki kuasa. Tatkala syaitan memiliki kuasa, syaitan bukan sekadar memujuk atau merayu tetapi syaitan sudahpun mampu beri arahan atau menyuruh (يَأۡمُرُكُم) manusia melakukan perbuatan dosa. 

Pengajaran daripada ayat ini, bersabarlah untuk makan makanan yang baik (toyyib) untuk memutus pengaruh syaitan yang menyuruh berbuat dosa. 

Baca & ikutilah Al-Qur'an, dirikan solat dan dzikrillah. 

Sering kita dengar bahwa solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar. Pernyataan ini sebenarnya terkandung dalam satu ayat dalam surah Al-Ankabut. Sebenarnya, sebelum pernyataan tersebut, ada satu perintah Allah s.w.t yang tak ramai sedari. 

ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ  ٤٥ 

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al-Qur’an) dan dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya peringatan daripada Allah adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. [Al 'Ankabut:45]

“Dah solat, tetapi kenapa masih bermaksiat?”

Pernah dengar ungkapan ini? Memang Allah s.w.t berfirman bahawa solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, namun sudahkah kita memahami keseluruhan kandungan ayat? 

Ayat ini bermula dengan perintah baca dan ikut apa yang diwahyukan daripada Al-kitab. 

ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ

Ayat ini mengindikasi keperluan membaca Al-Qur’an di luar waktu solat. Kalimah ٱتۡلُ juga mengandungi makna “ikut” seperti mana yang digunakan dalam surah Asy-syams. 

وَٱلۡقَمَرِ إِذَا تَلَىٰهَا  ٢ 

dan bulan apabila mengikutinya, [Ash-Shams:2]

Justeru, sebelum mendirikan solat, seorang mukmin itu seharusnya peduli membaca Al-Qur’an lalu mengikuti apa yang terkandung dalam Al-Kitab. Kemudian, barulah Allah s.w.t memerintahkan mendirikan solat. 

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ

Selanjutnya, Allah s.w.t sekali lagi beri penekanan akan Al-Kitab sebagai sumber peringatanNya. 

وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ

Akhirnya, ayat ini ditutup dengan peringatan siapa Allah s.w.t. Dialah zat yang mengetahui segala yang manusia rancang dan lakukan. 

وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ

Melalui ayat ini, empat pedoman cegah diri daripada dosa adalah : 

  1. Baca dan ikutlah Al-Kitab
  2. Dirikan solat
  3. Peringatan daripada Allah s.w.t (Al-Qur’an) itulah yang utama.
  4. Kenali Allah s.w.t yang Maha Mengetahui apa yang manusia lakukan. 

Jangan bakhil.  

Terakhir, syaitan berpengaruh menyuruh manusia melakukan dosa-dosa perbuatan keji jika manusia memilih bersikap bakhil.

ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ  ٢٦٨ 

Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan; sedang Allah menjadikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui. [Al Baqarah:268]

Salah satu strategi syaitan adalah menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan. Tatkala manusia termakan dengan janji syaitan, syaitan akan punyai kuasa sehingga mampu menyuruh (وَيَأۡمُرُكُم) manusia melakukan perbuatan keji ( ٱلۡفَحۡشَآءِۖ) .

Sebaliknya, Allah s.w.t bawa kita untuk mengenaliNya yang menjanjikan pengampunan dan limpah kurnia. Dia juga mengingatkan kita bahawa Dialah yang Maha Luas (kurnia) dan Maha Mengetahui. Justeru, selayaknya si hamba patuh perintahNya yang mengandungi kebaikan melimpah-ruah buat diri. 

Syaitan dan pengaruh kuasa. 

Belenggu dosa yang membuatkan manusia sulit keluar daripada kitaran dosa boleh jadi diakibatkan kuasa syaitan yang telah ada padanya. 

قَالَ هَٰذَا صِرَٰطٌ عَلَيَّ مُسۡتَقِيمٌ  ٤١ إِنَّ عِبَادِي لَيۡسَ لَكَ عَلَيۡهِمۡ سُلۡطَٰنٌ إِلَّا مَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ  ٤٢ 

Allah berfirman: "Ini adalah jalan yang lurus, kewajiban Aku-lah (menjaganya). Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, yaitu orang-orang yang sesat. [Al Hijr:41- 42]

Syaitan asalnya lemah dan tidak memiliki kuasa terhadap manusia. Namun, tatkala manusia memilih mengikutinya misalnya ingkar dengan enggan makan makanan baik (toyyib) dan enggan memberikan sedekah, sikap sedemikian memberikan kuasa pengaruh kepada syaitan. Akibatnya, syaitan mampu beri arahan dan menyuruh manusia melakukan perbuatan keji dan mungkar. 

Justeru, buat jiwa-jiwa beriman yang mahu memulakan langkah taubat, berhentilah melakukan dosa, ambil iktibar untuk sungguh-sungguh perhatikan apa yang dimakan. Bersedekahlah dan banyakkan memberi. Moga-moga Allah s.w.t melimpahkan nikmat taufiq untuk setiap kita menjadi hanya hambaNya.