Seorang rakan akan menunaikan haji tidak lama lagi. Lalu, menjadi kebiasaan bagi kaum kerabat dan rakan taulan untuk mengirimkan doa. Satu demi satu mesej diterima berupa karangan doa penuh harap. 

“Doakan saya berjaya beli rumah bulan depan.”

“Doakan pengajian saya siap secepat mungkin.” 

“Doakan saya dikurniakan jodoh tahun ini.”

Si rakan yang bakal menunaikan haji sempat tadabbur ayat-ayat haji dalam Al-Baqarah lalu timbul rasa gusar. Ada sesuatu yang tidak kena pada ungkapan doa-doa yang dikirim. Kesemuanya berbentuk permintaan hal-hal duniawi yang tidak disertai kebaikan dan akhirat. Hatinya bergolak, bagaimana untuk memenuhi hajat mereka? 

Ada sesuatu dalam ayat 200 dan 201 surah Al-Baqarah yang perlu difahami para Jemaah haji juga mereka yang mahu mengirimkan doa. Dua ayat ini beri panduan kaedah berdoa kepada Allah s.w.t. 

فَإِذَا قَضَيۡتُم مَّنَـٰسِكَڪُمۡ فَٱذۡڪُرُواْ ٱللَّهَ كَذِكۡرِكُمۡ ءَابَآءَڪُمۡ أَوۡ أَشَدَّ ذِڪۡرً۬ا‌ۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُ ۥ فِى ٱلۡأَخِرَةِ مِنۡ خَلَـٰقٍ 

Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berdzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berdzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.  

[Al Baqarah:200]

Selepas hari ketiga haji, para jemaah haji akan berada di Mina pada Hari Tasyrik. Allah s.w.t memerintahkan jemaah haji untuk banyak berdzikir dengan menyebut nama Allah s.w.t melebihi tindakan Arab jahiliyyah terdahulu dalam menyebut dan membangga-banggakan nenek-moyang mereka. Allah s.w.t juga menampilkan sejenis peribadi manusia yang suka berdoa kepada Allah s.w.t pada waktu ini tetapi doanya hanya terbatas pada kemahuan dunia. 

رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا

“Ya Tuhan kami, berilah kami di dunia…”

Dalam kalangan manusia, ada yang orientasi hidupnya terbatas pada dunia semata-mata. Lalu segala usaha yang dikerahkan hanyalah untuk mendapatkan manfaat dunia. Ketika berdoa, golongan ini bahkan tidak menyebut langsung perkataan “kebaikan” dan “akhirat”. Jiwa mereka tidak cenderung pada akhirat. Yang sering bermain-main dalam benak fikiran hanyalah kenikmatan dunia. Akibatnya, Allah s.w.t hanya memberikan apa yang diminta ketika di dunia tetapi kelak di akhirat mereka tidak mendapat apa-apa balasan. 

وَمَا لَهُ ۥ فِى ٱلۡأَخِرَةِ مِنۡ خَلَـٰقٍ 

tetapi kelak di akhirat mereka tidak mendapat apa-apa balasan. 

Kalima  خَلَـٰقٍ  (khalaaqin) bermaksud “balasan”. Kalimah ini berasal daripada kata akar خ ل ق  yang juga  bawa kepada makna khuluq (akhlaq). Balasan berbentuk خَلَـٰقٍ  adalah balasan yang setimpal dengan akhlak seseorang. Jika akhlak manusia itu tidak mementingkan akhirat lalu segala usaha hanya diniatkan untuk manfaat dunia, begitulah di akhirat kelak dia tidak mendapat apa-apa balasan. 

Sebaliknya, Allah s.w.t beri pedoman untuk bersikap seperti golongan kedua dalam ayat ke-201 surah Al-Baqarah. 

وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ  

Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka". [Al Baqarah:201]

Rupa-rupanya, ada juga dalam kalangan manusia yang berdoa mengharapkan kebaikan di dunia pada masa yang sama tidak melupakan akhirat. Mari perhatikan doa mereka. 

Doa yang mengharapkan kebaikan (hasanah) di dunia.

Pertama sekali, mohonkanlah apa-apa yang di dunia dalam bentuk kebaikan (hasanah). Doa ini berbeza dengan doa golongan yang dalam ayat ke-200. Cuba perhatikan perbezaannya. 

Ayat 200

Ayat 201

رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا

رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ

Jika kita meminta sesuatu di dunia, mintalah kebaikan yang mengiringinya. 

Usah hanya bermohon dikurniakan anak semata-mata. Tetapi mohonlah anak yang soleh dan bawa kegembiraan (penyejuk mata) buat keluarga. 

Usah hanya bermohon dikurniakan jodoh semata-mata. Tetapi mohonlah jodoh pasangan yang boleh sama-sama berbuat kebaikan, terus perbaiki diri dan menempuh jalan taqwa. 

Usah hanya bermohon mendapat kenderaan semata-mata. Tetapi mohonlah dikurniakan kenderaan yang boleh dimanfaatkan atas jalan kebaikan.

 Doa yang mengharapkan kebaikan (hasanah) di akhirat.

Dunia adalah jambatan akhirat. Amal yang dilakukan di dunia akan diperhitungkan lalu dibalas di akhirat. Mereka yang mengimani akhirat pasti tidak mengesampingkan keinginan kebaikan di akhirat selain bermohon hal-hal di dunia. 

وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ

Dan kebaikan di akhirat

Alam akhirat bermula dengan alam kubur yang diikuti hari kebangkitan di padang mahsyar, timbangan amal (mizan), titian sirot dan keputusan syurga atau neraka. Hamba-hamba yang beriman amat mengharapkan keselamatan dan kebaikan pada setiap hentian. 

Di alam kubur, mengharapkan selamat daripada sebarang siksaan. 

Di padang mahsyar, mengharapkan naungan keselamatan daripada Allah s.w.t

Di timbangan amal, mengharapkan berat timbangan amal kebaikan. 

Saat tibanya waktu diberikan kitab catatan amal, mengharapkannya diterima dengan tangan kanan.

Semua kebaikan di akhirat adalah dalam kekuasaan Allah s.w.t dan manusia diberikan sedikit ruang mempengaruhinya melalui amal yang dilakukan semasa di dunia. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Penyayang dan Maha Pengampun kepada hamba-hambaNya. Justeru, ketika bermohon kebaikan di dunia, minta jugalah kebaikan di akhirat. 

Doa diselamatkan daripada api neraka. 

Pada ayat ke-201 surah Al-Baqarah ini, terdapat satu doa untuk dunia dan dua doa untuk akhirat. Ini menggambarkan betapa pentingnya akhirat berbanding dunia. Selain bermohon doa kebaikan di akhirat secara umum, Allah s.w.t juga mengajar kita untuk berdoa diselamatkan daripada neraka secara khusus. 

Sedarkah kita bahawa semua manusia pasti akan mendatangi api neraka? Namun, hanya golongan bertaqwa sahaja yang akan diselamatkan. 

وَإِن مِّنكُمۡ إِلَّا وَارِدُهَاۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتۡمٗا مَّقۡضِيّٗا  ٧١ ثُمَّ نُنَجِّي ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّنَذَرُ ٱلظَّٰلِمِينَ فِيهَا جِثِيّٗا  ٧٢ 

Dan tidak ada seorangpun dari padamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut. [Maryam:71-72]

Orang beriman yang meyakini firman Allah s.w.t pasti rasa takut akan kebenaran ini. Lalu, peduli persiapkan bekal taqwa agar tergolong mereka yang diselamatkan daripada api neraka. Akhirnya, golongan yang diselamatkan daripada neraka inilah orang-orang yang berjaya di sisiNya. 

كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ  ١٨٥ 

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. [Al 'Imran:185]

Pedoman berdoa

Kesimpulannya, tiada salah berdoa untuk dunia tetapi mohonlah apa yang dikehendaki dari dunia berserta kebaikannya. Tiada salah juga berdoa untuk dunia tetapi jangan lupakan kebaikan di akhirat serta terselamatnya daripada api neraka. 

Meskipun ayat ini terletak dalam konteks ibadah haji, tetapi panduannya boleh diamalkan setiap hari di luar musim haji. Moga-moga panduan ini mendidik setiap kita untuk sentiasa cermat dan tulus mengungkapkan doa kepada Allah s.w.t dalam bentuk yang disukaiNya. 


 

Rujukan 

Aisha Altaf (2022). Lesson #27 Al-Baqarah ayah 197-203. Recordings for Ta’leem Al-Quran, Al-Huda Institute Sri Lanka.