16 Mei 2022 baru-baru ini, negara kita Malaysia secara rasmi memilih tarikh tersebut sebagai hari guru. Hari guru ini disambut sama ada di peringkat kebangsaan, universiti, sekolah dan lain-lain. Di sekolah, hari guru di sambut dengan peluang itu diambil untuk memberikan sedikit hadiah kepada guru masing-masing sebagai tanda penghargaan kepada mereka. Tidak terlepas, ada juga di kalangan kita yang menghantar pesanan ucapan selamat hari guru atau menghantar hadiah kepada guru-guru mereka walaupun mereka sudah lama tidak bersua muka bersama guru tersebut. Tetapi jasa guru sudah pasti tidak dapat dilupakan. Pengorbanan mereka mendidik kita menjadi insan yang bermanfaat kepada diri sendiri, agama dan negara sudah pasti tidak terbalas. Masha-Allah.

Guru, adalah insan yang berusaha untuk menyampaikan dan mengajar pelajar mereka sesuatu ilmu. Ilmu tersebut sudah pasti memberi manfaat kepada mereka yang menerimanya malahan ianya mendidik pelajar tersebut ke arah pembangunan diri. Setelah proses dididik dilalui kini tibalah masa pelajar tersebut pula mendidik pelajar mereka di generasi yang berbeza, dan begitulah seterusnya proses itu berlaku. Oleh itu, sekiranya seorang guru itu dengan ikhlas memberikan sesuatu ilmu kepada pelajarnya, dan pelajarnya menyampaikan pula kepada pelajarnya yang lain, atau pendengar yang lain, maka selagi mana ilmu itu disampaikan, maka ianya akan memberi manfaat kepada setiap penyampai ilmu tersebut. Malahan ilmu yang bermanfaat ini akan menjadi amalan yang kekal memberi pahala kepada seseorang walaupun selepas kematian mendatanginya. Seperti mana disebutkan dalam sebuah hadith, sabda Baginda Rasulullah SAW:

نْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ ، إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه

Apabila manusia meninggal dunia terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber: Sedekah yang berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa kepadanya.

(Hadith Riwayat Muslim)

Hadith ini memberi peringatan kepada kita untuk menyiapkan diri dengan amal soleh sebelum datangnya kematiaan itu. Segala amal kebajikan seseorang itu akan terputus daripada memperoleh ganjaran apabila kematian itu datang kecuali daripada 3 perkara ini iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh/solehah. Ilmu yang bermanfaat ini akan memberi manfaat kepada si mati, di mana ilmu yang disampaikan kepada orang lain, sama ada ilmu dunia atau ilmu akhirat sekiranya ianya dimanfaatkan untuk kebaikan, maka pahala itu akan terus mengalir kepada mereka yang menyampaikan ilmu tersebut walaupun setelah mati. Contohnya, seorang guru agama yang mengajarkan kepada anak muridnya membaca al-Qur’an sehingga anak murid tersebut boleh mengajar orang lain atau menjadi amalan hariannya, maka amalan tersebut, akan memberikan kebaikan kepada gurunya walaupun guru tersebut sudah meninggal dunia. Begitu juga dengan seorang guru kimia, yang mengajarkan anak muridnya ilmu-ilmu kimia, yang mana ilmu tersebut digunakan oleh anak muridnya untuk mencipta ubat, dan ubat tersebut memberikan kesembuhan kepada seseorang dengan izin Allah, maka guru tersebut juga akan memperoleh kebaikan daripadanya. Jelas di sini, semua jenis ilmu, yang membawa kebaikan kepada pelajarnya, walaupun kecil atau sedikit, tetapi ianya tetap akan memberi kebaikan dan manfaat kepada seseorang dengan rahmat Allah SWT. 

Tuntutlah Ilmu

Maka, untuk menjadi seseorang yang boleh menyampaikan ilmu, harus bermula dengan proses pertama iaitu menuntut ilmu. Perkara paling utama adalah membekalkan diri dengan ilmu agama. Menuntut ilmu agama adalah tanggungjawab setiap insan dan sangat dituntut untuk dilakukan dalam kehidupan ini. Ini kerana dengan ilmu yang dimiliki akan menjadikan seseorang itu berpengetahuan terhadap sesuatu perkara dan menjadikan seseorang itu boleh membezakan antara baik dan buruk, halal dan haram, dosa dan pahala. Malahan mereka yang berilmu, Allah akan mengangkat darjat mereka dengan beberapa darjat. Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

‘… supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat…’

(Surah al-Mujaadalah: 11)

Ayat al-Qur’an ini menegaskan bahawa mereka yang beriman kepada Allah SWT dan berilmu akan memperoleh kedudukan dan penghormatan yang tinggi daripada Allah SWT. Seseorang yang dianugerahkan pangkat darjah kebesaran kerana ilmu dan kepakarannya akan menjadikan dirinya dihormati dan mempunyai kedudukan yang baik di dunia ini, apatah lagi sekiranya seseorang itu memperolehi kedudukan dan penghormatan daripada Allah SWT, sudah tentu itu lebih baik dan mulia. Bahkan dalam sebuah hadith, Allah memuliakan orang yang menuntut ilmu dengan memudahkan jalan mereka ke syurga, seperti mana disebutkan dalam sebuah hadith sabda Nabi Muhammad SAW, maksudnya:

Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga…’

(Hadith Riwayat Muslim)

Maka jadikanlah ayat al-Qur’an dan hadith di atas sebagai satu motivasi untuk kita menuntut ilmu, atau meneruskan perjuangan dalam perjalanan mencari ilmu. Sudah tentu perjalanan itu tidak mudah, dan memerlukan pengorbanan dan mujahadah yang tinggi. Kepayahan itu sudah pasti akan mendapat ganjaran yang baik sebaik-baik ganjaran. Maka berjuanglah dan bertabahlah dalam jalan itu, wahai pejuang-pejuang ilmu!

Seterusnya…Sampaikanlah ilmu!

Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.’

(Hadith Riwayat Bukhari)

Antara wasiat Rasulullah SAW kepada umat Islam adalah untuk menyebarkan ajaran agama Islam yang telah dibawa oleh Baginda SAW. Hadith ini juga menjadi satu tuntutan kepada kita untuk menyampaikan ilmu yang dipelajari kepada orang lain. Oleh itu, setelah melalui proses menuntut ilmu, untuk menyebarkan manfaatnya perlulah disampaikan ilmu tersebut kepada orang lain. Perkara ini sama ada dalam proses pembelajaran formal seperti di sekolah, universiti dan sebagainya, atau proses pembelajaran tidak formal seperti ceramah di masjid, perbualan bersama rakan, atau mungkin didikan seorang ibu atau ayah kepada anaknya. Tambahan pula, penyampain ilmu ini tidak semestinya dalam bentuk lisan semata-mata, penulisan, media dan perbuatan melalui penonjolan akhlak yang baik juga boleh menjadi medan untuk sesuatu ilmu itu disampaikan. Apa yang penting, setiap insan merasakan tanggungjawab untuk sesuatu ilmu itu sampai kepada umat, barulah perkara itu boleh memberi manfaat kepada dirinya dan orang lain.

Namun...Berhati-hati dengan Ilmu

Namun begitu, berhati-hati dengan ilmu yang tidak diketahui atau tidak pasti. Ilmu itu seharusnya disampaikan dengan tepat dan betul, janganlah kita sampaikan sesuatu yang kita tidak ketahui atau jahil tentangnya. Contohnya, seseorang yang tidak mempelajari tentang ilmu hadith seperti adanya hadith yang bersifat sahih dan dhaif, tetapi mengajarkannya kepada masyarakat, maka itu akan mendatangkan keburukan kepada penyampai ilmu dan pendengarnya. Maka berhati-hatilah, jangan sesekali kita nyatakan atau kongsikan sesuatu yang kita tidak ketahui. Sekiranya kita dipertanyakan soalan oleh pelajar, atau seseorang tentang perkara yang kita tidak ketahui dan tidak pasti, maka nyatakan secara jujur bahawa, berikan ruang kepada kita untuk mencari maklumat berkaitan perkara tersebut sebelum dikongsikan bersama mereka kelak. Itu adalah lebih baik berbanding kita berikan jawapan yang salah dan tidak tepat kepada mereka. Setelah kita berkongsi sesuatu ilmu, adabnya akhirilah dengan kalimah ‘Wallahu a’lam’ (hanya Allah yang mengetahui). Ini kerana kita sebagai manusia tidak akan mengetahui sesuatu perkara tersebut melainkan dengan izin Allah yang memberikan ilmu dan pengetahuan kepada kita. Bahkan dalam sebuah hadith dinyatakan sekiranya Allah ingin memberikan kebaikan kepada manusia, maka Allah akan memberikannya melalui kefahaman terhadap sesuatu ilmu terutama di dalam ilmu agama. Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, maka Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama.’

(Muttafaqun ‘alaih)

Insan yang Bermanfaat

Oleh itu, jadilah insan yang bermanfaat, dan juga insan yang mendapatkan manfaat, iaitu kita menuntut ilmu supaya dapat disampaikan kepada orang lain, dan mendapat manfaat daripada apa yang disampaikan kepada orang lain. Ibarat seorang guru yang berusaha menyampaikan ilmu kepada kita dan kita memperolehi manfaat daripadanya, setelah itu, kita sampaikan pula ilmu yang diperolehi kepada orang lain, dan apabila orang lain menyampaikan ilmu tersebut maka kita akan memperolehi manfaat daripadanya kelak. Maka ilmu sifatnya adalah dituntut untuk disebarkan supaya dapat mendidik orang yang mempelajarinya. Sabda Nabi Muhammad SAW, maksudnya:

Perumpamaan petunjuk (hidayah) dan ilmu yang Allah mengutusku dengan membawanya adalah seperti hujan lebat yang jatuh ke bumi. Di antara tanah itu ada jenis yang dapat menyerap air sehingga dapat menumbuhkan rerumput dan tumbuhan yang pelbagai. Ada pula tanah yang keras tidak menyerap air hingga bertakungnya air sehingga dapat diminum oleh manusia, haiwan ternak dan untuk menyiram tanaman. Ada juga permukaan tanah yang berbentuk lembah yang tidak dapat menahan air dan juga tidak dapat menumbuhkan tanaman. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama, memahami agama Allah dan dapat memanfaatkan apa yang aku diutus dengannya, dia mempelajarinya dan mengajarkannya. Begitu juga perumpamaan orang yang tidak dapat mengangkat darjat (untuk berfikir) dan tidak mahu menerima hidayah Allah dengan apa yang aku diutus dengannya (dia umpama tanah yang tidak menakung air dan tidak subur)

(Hadith Riwayat Bukhari)

Hadith di atas adalah menjelaskan kepada kita perumpamaan ilmu yang dipelajari memberi manfaat kepada dirinya dan orang lain, di mana apa yang kita boleh pelajari melalui hadith berikut adalah orang yang berilmu dan ilmu yang dipelajarinya memberi manfaat kepada dirinya iaitu diamalkan dan disebarkan kepada orang lain diibaratkan seperti tanah yang subur, ia menyerap air dan menumbuhkan tumbuhan daripadanya. Manakala orang yang mempelajari ilmu tetapi kurang dalam amalan, namun berusaha dalam menyampaikan ilmu yang dipelajari ibarat tanah yang keras, tidak dapat menyerap air tetapi dapat memberi manfaat kepada haiwan lain untuk meminumnya. Perumpamaan ketiga adalah tanah yang tidak subur untuk menakung air dan tidak juga menumbuhkan tumbuhan, mereka ini adalah orang yang mempelajari ilmu tetapi tidak dapat memberikan manfaat kepada diri mereka dan orang lain. Sangatlah rugi… Maka jadilah kita dikalangan kelompok yang pertama, memperolehi ilmu, diamalkan dan juga berikan manfaat kepada orang lain. Di kesempatan ini saya ucapkan tahniah kepada semua guru, yang sudah memberikan manfaat pada pembinaan insan, dan saya ucapkan terima kasih kepada semua guru yang telah berjaya mendidik pelajar mereka menjadi insan yang memberi manfaat di dunia. Semoga Allah membalas jasa guru-guru kita, dan menempatkan mereka bersama orang-orang yang beriman. Selamat Hari Guru. Wallahu a’lam.