Ada seorang anak di perantauan. Dia perlu habiskan tempoh pengajian 4 tahun sebelum pulang ke tanah air. Disebabkan merindui si ibu, dia bersungguh-sungguh menuntut ilmu agar raih segulung ijazah pada waktunya. Moga-moga dapat segera pulang ke tanah air. Dia tidak bermain-main. Dia tidak mensia-siakan waktu dengan hal-hal yang mengakibatkan tempoh pengajian dipanjangkan. Setiap kali berhubung dengan ibu, dia sentiasa menghadirkan sepenuh hati dan jiwa berkomunikasi dengan insan tersayang.
Begitu interaksi seorang anak dengan ibu.
Mari renungkan pula hubungan si hamba dengan Allah s.w.t.
Ada mukmin yang masih di alam dunia dan perlu menghabiskan fasa kehidupan sehingga tibanya ajal. Disebabkan merindui Tuhannya, dia bersungguh-sungguh bersiap dengan beramal soleh setiap hari agar dapat bertemu dengan Allah s.w.t dalam keadaan diredhai. Dia tidak mensia-siakan kehidupannya dengan jalan pengingkaran dan maksiat. Setiap kali berhubung dengan Allah s.w.t melalui solat yang didirikan, dia hadirkan segenap hati dan menghadapNya dengan ketundukan (khusyu’). Rasa ketundukan itu hadir kerana dia amat yakin akan pertemuan dengan Tuhannya.
Duhai manusia, tahukah bahawa suatu hari kelak, kita akan ditanyakan tentang pertemuan dengan Allah s.w.t?
يَٰمَعۡشَرَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ أَلَمۡ يَأۡتِكُمۡ رُسُلٞ مِّنكُمۡ يَقُصُّونَ عَلَيۡكُمۡ ءَايَٰتِي وَيُنذِرُونَكُمۡ لِقَآءَ يَوۡمِكُمۡ هَٰذَاۚ قَالُواْ شَهِدۡنَا عَلَىٰٓ أَنفُسِنَاۖ وَغَرَّتۡهُمُ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا وَشَهِدُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ أَنَّهُمۡ كَانُواْ كَٰفِرِينَ ١٣٠
Hai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri, yang menyampaikan kepadamu ayat-ayat-Ku dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini? Mereka berkata: "Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri", kehidupan dunia telah menipu mereka, dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri, bahwa mereka adalah orang-orang yang kafir. [Al An'am:130]
Amal soleh sebagai bukti mengharap pertemuan denganNya
Ada manusia yang yakin bakal bertemu Tuhannya manakala ada juga segolongan lain meskipun tahu tetapi hati gagal meyakini. Lalu, golongan kedua ini melalui hidup dengan jalan keingkaran.
إِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يَرۡجُونَ لِقَآءَنَا وَرَضُواْ بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَٱطۡمَأَنُّواْ بِهَا وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنۡ ءَايَٰتِنَا غَٰفِلُونَ ٧ أُوْلَٰٓئِكَ مَأۡوَىٰهُمُ ٱلنَّارُ بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٨
Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami, mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan. [Yunus:7-8]
Mereka yang meyakini pertemuan dengan Allah s.w.t sebaliknya akan melakukan persiapan dengan beramal soleh. Amal soleh itulah piawai yakinnya seorang hamba akan pertemuan dengan Allah s.w.t.
فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا ١١٠
Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya". [Al Kahf:110]
Bagi manusia yang berharap pertemuan dengan Tuhannya, dia akan persiapkan diri dengan amal soleh setiap waktu. Pengabdiannya kepada Allah s.w.t tidak terbatas pada gerak fizikal ibadah khusus semata-mata seperti solat. Tetapi, di luar waktu solat, dia menjalani hidup sebagai hamba yang peduli beramal soleh.
Misalnya, ketika berinteraksi sesama teman sekerja, dia peduli beramal soleh dengan mengamalkan surah Al-Hujuraat. Dia tidak terlibat mengumpat antara sesama, dia tidak membuli dan merendah-rendahkan orang lain, dia tidak berprasangka buruk terhadap teman sekerja.
Ketika pulang ke rumah dan berhubung dengan pasangan dan anak, dia peduli beramal soleh dengan mengamalkan surah An-Nisa’ dan At-Taghabun. Dia memilih bersabar, berlapang dada dan memaafkan ketika pasangan atau anak-anak menghalangnya daripada melakukan kebaikan. Dia berusaha mengingat segala kebaikan pasangannya tatkala berlaku hal-hal yang tidak disukainya.
Ketika berjual beli dan berurus niaga, dia peduli beramal soleh dengan mengamalkan surah Al-Muthoffifin dan Saba’. Dia berhati-hati dalam memenuhi hak pelanggan dan anak majikan. Dia tidak memonopoli perniagaan dan tidak membuat perancangan menjatuhkan perniagaan pihak lain.
Solat penuh ketundukan (khusyu’) kerana yakin bertemu denganNya.
Keyakinan bertemu denganNya yang dimanifestasikan amal soleh di luar solat, membangkitkan rasa ketundukan (khusyu’) ketika solat. Ini kerana, solat itu realitinya berat melainkan buat mereka yang tunduk (khusyu’) iaitu jiwa yang yakin akan pertemuan denganNya.
وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَٰشِعِينَ ٤٥ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَٰقُواْ رَبِّهِمۡ وَأَنَّهُمۡ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ ٤٦
Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya solat itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu', (yaitu) orang-orang yang meyakini, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya. [Al Baqarah:46]
Saat tiba waktu solat, apakah yang akan dilakukan golongan yang meyakini pertemuan dengan Allah s.w.t? Golongan yang meyakini pertemuan dengan Allah s.w.t tunduk (khusyu’) dalam solatnya dan sedaya-upaya memenuhi tujuan didirikan solat.
Dia solat untuk mengingati Allah s.w.t, tidak melupakanNya
إِنَّنِيٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعۡبُدۡنِي وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِيٓ ١٤
Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingat Aku. [Ta Ha:14]
Dia solat, untuk mendapat petunjuk, tidak mensia-siakan Al-Quran dalam hidup.
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧
Tunjukilah kami jalan yang lurus, (yaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. [Al Fatihah:7]
Dia solat, untuk mendapatkan pertolongan
وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ
Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. [Al Baqarah:45]
Bermula dengan harapan akan pertemuan dengan Allah s.w.t, seorang mukmin itu memilih beramal soleh di luar waktu solat. Ketika mendirikan solat pula, dia melaksanakannya dengan penuh ketundukan (khusyu’) berasaskan keyakinan pertemuan denganNya. Pedoman wahyu yang diimani beri panduan agar terpenuhi tujuan solat iaitu untuk mengingatiNya, untuk memohon petunjuk dan untuk mendapatkan pertolongan.
Hasil solat yang baik
Tatkala solat yang didirikan terpenuhi tujuan pensyariatannya, mukmin akan memetik hasil buah solat yang khusyu’. Apakah tanda-tanda solat itu berfungsi lalu memberi kesan terhadap kehidupan?
Solat yang baik akan menghasilkan sekurang-kurangnya tiga hal berikut :
1) Mendapat petunjuk dengan berusaha memahami wahyu selepas solat.
إِنَّمَا يَعۡمُرُ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمۡ يَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَۖ فَعَسَىٰٓ أُوْلَٰٓئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٨
Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. [At Tawbah:18]
2) Mencegah diri daripada perkara keji dan mungkar
ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ ٤٥
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya peringatan daripada Allah adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. [Al 'Ankabut:45]
3) Menghindar diri daripada sifat berkeluh-kesah dan kedekut
۞إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا ١٩ إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعٗا ٢٠ وَإِذَا مَسَّهُ ٱلۡخَيۡرُ مَنُوعًا ٢١ إِلَّا ٱلۡمُصَلِّينَ ٢٢ ٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَاتِهِمۡ دَآئِمُونَ ٢٣ وَٱلَّذِينَ فِيٓ أَمۡوَٰلِهِمۡ حَقّٞ مَّعۡلُومٞ ٢٤ لِّلسَّآئِلِ وَٱلۡمَحۡرُومِ ٢٥ وَٱلَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوۡمِ ٱلدِّينِ ٢٦ وَٱلَّذِينَ هُم مِّنۡ عَذَابِ رَبِّهِم مُّشۡفِقُونَ ٢٧
Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah, Dan apabila dia mendapat kebaikan dia menjadi bakhil, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya, dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu, bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta), dan orang-orang yang mempercayai hari pembalasan, dan orang-orang yang takut terhadap azab Tuhannya. [Al Ma'arij:19-27]
Pun begitu, timbul tanya.
Mengapa ada segolongan manusia yang mendirikan solat tetapi tidak mendapat 3 manfaat di atas? Mereka mendirikan solat tetapi masih tidak mengetahui dan memahami petunjuk yang terkandung dalam Al-Quran. Mereka mendirikan solat tetapi masih melakukan perkara keji dan mungkar. Mereka mendirikan solat tetapi masih berkeluh-kesah atas kesulitan dan bersikap kedekut antara sesama.
Jika hasil solat belum diraih, muhasabah diri.
Apakah saya sudah meyakini pertemuan dengan Allah s.w.t lalu sentiasa beramal soleh di luar waktu solat kerana mengharap pertemuan denganNya?
Keyakinan pertemuan dengan Allah s.w.t sebenarnya bukan boleh didapatkan secara percuma. Harus ada usaha dilakukan untuk meningkatkan keyakinan bertemu dengan Allah s.w.t .
Langkah pertama adalah dengan memahami wahyu kerana Allah s.w.t menyatakan Al-Kitab itu menumbuhkan keyakinan si hamba akan pertemuan denganNya.
ثُمَّ ءَاتَيۡنَا مُوسَى ٱلۡكِتَٰبَ تَمَامًا عَلَى ٱلَّذِيٓ أَحۡسَنَ وَتَفۡصِيلٗا لِّكُلِّ شَيۡءٖ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ لَّعَلَّهُم بِلِقَآءِ رَبِّهِمۡ يُؤۡمِنُونَ ١٥٤
Kemudian Kami telah memberikan Al Kitab (Taurat) kepada Musa untuk menyempurnakan (nikmat Kami) kepada orang yang berbuat kebaikan, dan untuk menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk dan rahmat, agar mereka beriman (bahwa) mereka akan menemui Tuhan mereka. [Al An'am:154]
Selain ayat-ayat qauliyah (Al-Kitab), ayat-ayat kauniyah (alam semesta) juga perlu direnung fikirkan untuk menumbuhkan keyakinan akan pertemuan dengan Allah s.w.t.
ٱللَّهُ ٱلَّذِي رَفَعَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ بِغَيۡرِ عَمَدٖ تَرَوۡنَهَاۖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ وَسَخَّرَ ٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَۖ كُلّٞ يَجۡرِي لِأَجَلٖ مُّسَمّٗىۚ يُدَبِّرُ ٱلۡأَمۡرَ يُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لَعَلَّكُم بِلِقَآءِ رَبِّكُمۡ تُوقِنُونَ ٢
Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan(mu) dengan Tuhanmu. [Ar Ra'd:2]
Refleksi diri, “Sudahkah saya tadabbur Al-Quran dan tafakkur alam semesta sehingga saya benar-benar yakin akan pertemuan denganNya lalu berusaha beramal soleh serta mendirikan solat dengan ketundukan (khusyu’)?
Duhai hamba yang merindukan pertemuan denganNya. Ketahuilah akan tiba satu saat, kita akan bertemu denganNya. Moga-moga ucapan “salam” itulah yang menyambut kita dalam pertemuan teragung.
إِنَّ أَصۡحَٰبَ ٱلۡجَنَّةِ ٱلۡيَوۡمَ فِي شُغُلٖ فَٰكِهُونَ ٥٥ هُمۡ وَأَزۡوَٰجُهُمۡ فِي ظِلَٰلٍ عَلَى ٱلۡأَرَآئِكِ مُتَّكُِٔونَ ٥٦ لَهُمۡ فِيهَا فَٰكِهَةٞ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ ٥٧ سَلَٰمٞ قَوۡلٗا مِّن رَّبّٖ رَّحِيمٖ ٥٨
Sesungguhnya penghuni surga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka). Mereka dan pasangan-pasangan mereka berada dalam tempat yang teduh, bersandar di atas pelamin. Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta. (Kepada mereka dikatakan): "Salam", sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang. [Ya Sin:55-58]