Ramadan baru berlalu. Apa khabar iman kita? Moga-moga terbina pakaian taqwa sebagai perisai hadapi bisikan syaitan. 

Umum mengetahui, hasutan syaitan sentiasa bertentangan dengan pedoman wahyu. Dan langkah-langkah syaitan adalah mengajak kepada perkara keji dan mungkar. 
 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَٰنِۚ وَمَن يَتَّبِعْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَٰنِ فَإِنَّهُۥ يَأْمُرُ بِٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِۚ وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يُزَكِّى مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ 

 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui

An-Nur 24:21

Kali ini, mari telusuri monolog Shakira, Aina, Makcik Munirah dan Makcik Salwa untuk kita renungi peranan wahyu dalam menghadapi hasutan syaitan.

 

:: SHAKIRA

Semalam, dapat khabar berita tentang skandal dua rakan sekerja.

"Cuba kau risik berita daripada Amin yang di pejabat sebelah tu."

Tapi, mana boleh sembang-sembang dan sebar berita tentang fitnah seksual ni. Biar pihak terlibat

sahaja siasat dan urus. Kita tak perlu ambil tahu. 

"Eh, pentinglah ambil tahu kisah pejabat. Nanti kau boleh berjaga-jaga dengan orang tu."

Tapi, Allah s.w.t kan dah larang, bahkan Dia memberikan ayat yang perlu diungkapkan ketika didatangi berita fitnah.
 

إِذْ تَلَقَّوْنَهُۥ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ 

 

(Ingatlah) ketika kamu menerima (berita bohong) itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya remeh, padahal dalam pandangan Allah itu soal besar.

 

وَلَوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَٰذَا سُبْحَٰنَكَ هَٰذَا بُهْتَٰنٌ عَظِيمٌ 

 

Dan mengapa kamu tidak berkata ketika mendengarnya, “Tidak pantas bagi kita membicarakan ini. Mahasuci Engkau, ini adalah kebohongan yang besar.”

An-Nur 24:15-16


 

:: AINA

Alamak, kacaknya staf baru tu. 

"Cuba kau cari jalan untuk berurusan dengan dia."

Ha. Aku ada idea. 

"Jangan lupa pakai baju lawa yang baru beli tempoh hari. Mekap dulu, sembur minyak wangi dulu."

Tapi, Allah s.w.t kan suruh tundukkan pandangan, jangan nampakkan perhiasan.. 
 

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَٰرِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَاۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ ءَابَآئِهِنَّ أَوْ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ 

 

Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ....

An-Nur 24:31

 

"Betul, memang Allah suruh jangan nampakkan perhiasan. Tapi, mana tahu dia tu jodoh kau. Kau niatlah kau nak kahwin dengan dia. Jadi usaha kau nak dekati dia jadi ibadah, bukan lagi dosa ."

Ye ke?

"Betul. Kalau kau sorok diri kau dari lelaki, sampai mati tiada orang nak kahwin dengan kau. Kau kenalah bagi orang lelaki nampak yang kau wujud dan buat mereka tertarik pada kau."

Jadi, aku kena mekap lawa-lawa, lepas tu cari jalan supaya dia nak berhubung dengan aku?

"Iya. Tak susah pun."

Tapi, tak naklah.

"Kau sanggup jadi anak dara tua?"

Ya. 

"Ish, percayalah. Zaman sekarang ni, kau memang tak akan dapat jodoh kalau tiada teman lelaki. Tiada orang sanggup nak carikan jodoh. Itu taktik kuno. Semua kena buat sendiri-sendiri zaman sekarang. Orang dah moden."

Ya tahu. Saya ok kalau tak kahwin jika jalan yang ada cuma jalan bergaul bebas & tidak menundukkan pandangan. 

Sekurang-kurangnya, dengan ketaatan pada Allah s.w.t., saya masih boleh harap syurga dan bernikah di sana. Kalau saya ingkar di dunia ni, jangan-jangan duduk neraka je. Sebab terjebak zina. نَعُوْذُبِاللهِ مِنْ ذَالِكَ (Kami berlindung dengan Allah daripada perkara (buruk) tersebut (daripada menimpa kami). 

 

:: MAKCIK MUNIRAH

Anak dah usia remaja. 

Si perempuan dah mula minta izin keluar buat study group dengan kawan-kawan lelaki di sekolah. 

"Kau biar je anak-anak tu bergaul. Lagipun, bukan dengan orang tak dikenali, dengan rakan sekolah je."

Tapi, macam mana dia nak tundukkan pandangan, tak nampakkan perhiasan, kalau dah bergaul bebas macam tu. Perempuan ni, suara, kalau nada lembut pun termasuk kategori perhiasan tau. Semua bahagian dia indah-indah di mata lelaki.

"Sporting lah sikit... Silap hari bulan, anak kau tak kahwin-kahwin sebab tiada orang kenal dia. Salah kaulah kongkong dia. Nanti kau juga yang susah kalau anak tak kahwin-kahwin."

Eh, nak kahwin, bukan kena bergaul bebas. Akulah yang kena bergaul dengan mak-mak orang lain untuk bincang & ambil tahu calon jodoh sesuai untuk anak aku. Semua ibu bapa dalam komuniti ni kena saling berbincang untuk jodohkan anak masing-masing. 

"Kan susah kalau kau buat cara tu. Lebih baik biar anak kau je cari jodoh sendiri." 

Ish. Allah suruh aku yang carikan jodoh anak. Kalau tak, aku bersekongkol galakkan zina bila suruh mereka cari jodoh sendiri. 

"Kalau kau biar anak kau cari jodoh sendiri, sekurang-kurangnya, dia lah yang bertanggungjawab atas pilihan dia sendiri. Kalau kau carikan, apa-apa jadi masa depan, kau yang dipersalahkan."

Tapi, kalau anak aku cari jodoh sendiri, lagilah susah anak aku nak tahu calon tu sesuai ke tak. Sebab yang indah-indah je dia nampak. Acah-acah baik je semua tu. 

Lebih baik aku tanya secara terus pada mak-mak calon jodoh ni untuk kenal perangai sebenar anak masing-masing. 
 

وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْۚ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ 

 

Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak (menikah) dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan karunia-Nya. Dan Allah Mahaluas (pemberian-Nya), Maha Mengetahui.

An-Nur 24:32

 

"Percayalah. Nanti anak kau salahkan kau kalau kau carikan jodoh yang tak sesuai untuk dia."

Takpa. Percaya pada Allah s.w.t. Dia yang dah perintahkan syariat jodohkan orang bujang. Dia juga yang akan beri petunjuk terbaik. 

Lagipun,  aku lebih sanggup bertanggungjawab untuk pilih jodoh terbaik. Daripada dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan  kalau mengakibatkan anak aku ambil jalan yang boleh membawa kepada zina. 

 

:: MAKCIK SALWA

Anak bongsu yang masih kecil meluru masuk bilik tengahari itu. 

Salwa terlintas di fikiran "Ha, ini masa baik untuk aku ajar dia tentang 3 waktu utama minta izin."

"Ish, apa susah-susah ajar budak kecil minta izin masuk bilik."

Allah s.w.t. perintahkan
 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِيَسْتَـْٔذِنكُمُ ٱلَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ وَٱلَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا۟ ٱلْحُلُمَ مِنكُمْ ثَلَٰثَ مَرَّٰتٍۚ مِّن قَبْلِ صَلَوٰةِ ٱلْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ ٱلظَّهِيرَةِ وَمِنۢ بَعْدِ صَلَوٰةِ ٱلْعِشَآءِۚ ثَلَٰثُ عَوْرَٰتٍ لَّكُمْۚ لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلَا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌۢ بَعْدَهُنَّۚ طَوَّٰفُونَ عَلَيْكُم بَعْضُكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْءَايَٰتِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ 

 

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba sahaya (lelaki dan perempuan) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh (dewasa) di antara kamu, meminta izin kepada kamu pada tiga kali (kesempatan) yaitu, sebelum shalat Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari, dan setelah solat Isya. (Itulah) tiga aurat (waktu) bagi kamu. Tidak ada dosa bagimu dan tidak (pula) bagi mereka selain dari (tiga waktu) itu; mereka keluar masuk melayani kamu, sebagian kamu atas sebagian yang lain. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat itu kepadamu. Dan Allah Maha Mengetahui, Mahabijaksana.

An-Nur 24:58

 

"Iya, memang Allah ada suruh. Tapi, macam mana kalau kecemasan. Nak dia minta izin juga masuk bilik ibu bapa dia?"

Penting anak-anak diajar minta izin masuk bilik ni. Kes budak-budak terjebak melakukan perbuatan keji seperti berzina, salah satu faktornya adalah nampak mak ayah bersama. Kita tak nak rosakkan minda mereka sejak kecil. 

"Jangan risau, mereka tak akan terkesan pun kalau ternampak semua hal tu. Kau yang risau melampau."

Bisingnya syaitan ni. Kena minta perlindungan daripada Allah s.w.t.

 رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ 

 "Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan

وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ 

"Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku".

Al-Mu'minun 23:97-98

 

Jadikan Quran berfungsi sebagai petunjuk kehidupan.

Situasi yang dilalui Shakira, Aina, Makcik Munirah dan Makcik Salwa kemungkinan besar boleh juga berlaku dalam hidup kita. Jiwa yang selalu ingat pedoman wahyu moga-moga mampu menepis hasutan syaitan yang berada atas jalan yang lurus.

Justeru, moga-moga bekal wahyu yang digarap sepanjang bulan Ramadan beri kita kekuatan untuk terus hidup dalam ketaatan kepadaNya dengan patuh kalamNya.