Ramadan sudah berada di penghujungnya, kini tiba penantian bermakna iaitu malam lailatul qadar, hamba-hamba Allah SWT yang beriman dan beramal soleh berlumba-lumba dalam memperbanyakkan amalan seperti bangun malam untuk qiyamulail, membaca Al-Qur’an, dan lain-lain. Bagi mereka yang didatangi keuzuran sehingga menghalang mereka untuk menunaikan ibadah solat, puasa dan membaca Al-Qur’an, memperbanyakkanlah zikir. Zikir adalah kalimah yang sangat ringan dan mudah untuk dilafazkan tetapi sukar untuk diamalkan.

Kadangkala sangat sukar untuk menjadikan lisan ini istiqamah dengan sentiasa basah dengan zikir-zikir. Sedangkan sangat mudah untuk berzikir, tidak memerlukan wuduk, boleh dilakukan dalam apa jua keadaan sama ada berdiri, duduk dan berbaring, tidak memerlukan masa yang khusus serta tidak menggunakan tenaga dan wang ringgit. Malahan amalan zikir ini akan diganjari oleh Allah SWT, kerana zikir adalah tanda hati hamba itu sedang mengingati Allah SWT. 

Oleh itu, bagaimanakah Al-Qur’an menjelaskan kepada kita berkaitan ibadah zikir ini? Apakah panduannya? Bagaimanakah caranya? Di manakah kelebihannya? Oleh itu, penulisan kali ini akan bersama-sama menerokai bagaimana Al-Qur’an memberi garis panduan kepada pembacanya berkaitan salah satu ibadah yang masyru’ (disyariatkan) ini iaitu zikir.

Ingat Allah! Allah Akan Mengingatimu

Firman Allah SWT:

فَٱذْكُرُونِىٓ أَذْكُرْكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِى وَلَا تَكْفُرُونِ

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

(Surah Al-Baqarah: 152)

Sekiranya kita mengingati Allah SWT maka Allah SWT akan mengingati kita. Maka dalam Al-Qur’an diperintahkan kepada kita untuk sentiasa mengingati Allah, walaupun bukan mudah untuk hati ini sentiasa istiqamah dalam mengingati-Nya, tetapi perkara ini seharusnya diusahakan. Lazimilah diri kita dengan perbanyakkan ibadah zikir agar hati ini tidak lalai dalam mengingati Allah dalam kehidupan dunia yang hanyalah persinggahan sementara. 

Banyakkan Mengingati Allah

Pernahkah kita merasakan hati ini kosong dan sunyi, rasa seperti ada yang tidak kena walaupun ada segalanya? Sekiranya ada, maka segerakanlah untuk mengisi kekosongan itu dengan zikir dan memperbanyakkan mengingati Allah SWT, sebagai Pemilik hati ini. Waspadalah agar bukan syaitan yang masuk dan menghasuti hati itu. Oleh itu, sebagai hamba Allah SWT yang bersyukur dengan segala rezeki dan nikmat yang dikurniakan, maka ingatlah DIA dan lafazkanlah zikir-zikir sebagai tanda ingatan kepada-Nya agar hati ini terisi dengan kasih dan ingatan hanyalah kepada-Nya. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;

(Surah Al-Ahzab: 41)

Raih Keampunan & Ganjaran Pahala

Mereka yang banyak mengingati Allah SWT, akan diganjari dengan keampunan daripada Allah SWT, malahan diganjari dengan pahala yang besar. Janji Allah SWT ini seperti mana firman-Nya:

وَٱلذَّٰكِرِينَ ٱللَّهَ كَثِيرًا وَٱلذَّٰكِرَٰتِ أَعَدَّ ٱللَّهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

…dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

(Surah Al-Ahzab: 35)

Tiada yang lebih bermakna melainkan keampunan daripada-Nya, saban hari kita berdoa supaya Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita. Ini kerana pengampunan Allah SWT dengan kebesaran rahmat-Nya akan memudahkan jalan kita ke syurga. Maka raihlah keampunan dan ganjaran pahala dengan membasahkan lidah ini, dan halakan hati ini untuk sentiasa zikir bagi mengingati Allah SWT.

Mencari Ketenangan Hati

Jiwa yang kacau dan hati yang tidak tenteram seharusnya diubati. Berikanlah ‘vitamin’ sebagai pengubat kepada hati dengan zikrullah iaitu memperbanyakkan mengingati Allah. Nescaya hati akan menjadi tenang. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Surah Ar-Ra’d: 28)

Di Mana & Apa Jua Keadaan

Andai ibadah solat pada waktunya, ibadah puasa dalam tempohnya, ibadah haji khusus pada bulannya, tetapi ibadah zikir tidak terhad kepada waktu, tempoh dan bulan tertentu sahaja. Malahan ibadah ini tidak memperuntukkan untuk kita berada dalam keadaan suci dari hadas kecil atau hadas besar serta tidak perlu untuk memperbaharui wuduk untuk melakukannya. Oleh sebab itu, ibadah zikir ini sangat mudah untuk dilakukan, tidak kira di mana pun kita berada dan apa jua keadaan ibadah ini boleh dilakukan. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًا سُبْحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

(Surah A-li ‘Imraan: 191)

Perolehi Kejayaan Dunia & Akhirat

Firman Allah SWT:

فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَٱبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)

(Surah Al-Jumu’ah: 10)

Perolehi kejayaan di dunia dan akhirat dengan menjadi hamba Allah yang sentiasa mengingati-Nya pada setiap masa dan keadaan. Utamakan urusan dengan Allah SWT, sebelum meneruskan urusan dunia agar peroleh barakah daripada-Nya. Kejayaan yang abadi adalah bagi mereka yang mendapat barakah dalam urusan dunianya dan ganjaran pahala bagi memudahkan urusan akhiratnya. Oleh itu, berjayalah mereka yang mendapat kedua-dua kejayaan ini dengan memperbanyakkan zikrullah

Perkara yang Besar Faedah dan Kesannya

Firman Allah SWT:

وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

…dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah Al-‘Ankabuut: 45)

Mengingati Allah adalah besar faedahnya dan memberi kesan yang besar kepada hamba-hamba-Nya. Faedahnya adalah seorang hamba itu akan terhindar daripada melakukan dosa dan maksiat apabila hatinya tidak lalai dalam mengingati Allah. Malahan kesan yang besar juga adalah mereka akan diganjari pahala yang besar daripada Allah SWT sebagai bekalan di akhirat kelak.

Amalan ibadah zikir ini sangat mudah dilakukan, di mana jua, apa keadaan dan tidak memerlukan kita untuk mengeluarkan wang ringgit. Hanyalah memerlukan hati yang istiqamah dalam usaha mengingati Allah SWT. Malahan Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang tidak lalai dan leka dalam mengingati-Nya. Seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith: “Dua perkataan yang ringan pada lidah, berat pada al-Mizan (timbangan di Akhirat), disukai oleh al-Rahman: SubhanAllah al-‘Azim dan SubhanAllah Wa Bi Hamdihi.” 

Hadith ini memberi motivasi kepada kita untuk melakukan amalan zikir ini, kerana ianya sangat mudah serta memberi ganjaran yang besar kepada hamba-hamba Allah. Banyak lagi hadith yang menyebutkan antara zikir-zikir lain yang boleh diamalkan oleh kita, yang tinggal hanyalah usaha diri kita sebagai hamba menunjukkan kerendahan hati kita kepada-Nya sebagai Tuhan Pencipta. Oleh itu, di penghujung Ramadan ini marilah kita sama-sama gantikan percakapan yang tidak bermanfaat kepada ibadah zikir yang memberi faedah dan ganjaran yang lebih besar kepada mereka yang mengamalkannya. Semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang memperolehi kejayaan dunia dan akhirat dengan zikrullah. Wallahu ‘alam