Bismillah.

Alhamdulillah, Allah merezekikan kita berada di bulan yang penuh keberkahan ini.

Bulan yang didalamnya diturunkan Al-Qur’an. 

Bulan Ramadan bulan yang mulia kerana wahyu diturunkan pada bulan penuh berkah ini.

Malaikat Jibril a.s  menjadi mulia kerana diutuskan untuk menyampaikan wahyu kepada Rasul s.a.w.

Rasul s.a.w mulia kerana diutuskan sebagai rasul yang perlu menyampaikan wahyu kepada seluruh umat manusia.

Bumi Makkah mulia kerana merupakan tempat diturunkan wahyu.

Maka, mashaAllah bayangkan kedudukan manusia yang berinteraksi dengan wahyu ini.

Mari, sama-sama kita meningkat interaksi dengan Al-Qur’an ini dengan melakukan proses tadabbur Al-Qur’an secara berterusan iaitu dengan memahami kalam-kalam Allah. Allah berfirman di dalam Surah Sad: Ayat 29

كِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ إِلَيۡكَ مُبَـٰرَكٌ۬ لِّيَدَّبَّرُوٓاْ ءَايَـٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٢٩)

29.  (Al-Qur'an ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu Kitab yang penuh barakah untuk mereka mentadabburi ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

Allah berfirman di dalam ayat di atas, penurunan Al-Qur’an yang penuh keberkahan. Barakah boleh didefinisikan sebagai kebaikan yang banyak. Al-Qur’an diturunkan untuk dilakukan perenungan, diteliti, dimaknai di dalam kehidupan.

Moga-moga kita diberi kekuatan di dalam bulan yang mulia ini untuk melakukan proses tadabbur iaitu melakukan perenungan yang mendalam untuk memahami ayat-ayat Allah.

Nilai keimanan kepada Allah menentukan nilai kehidupan.Kayu ukur kehidupan yang bernilai disisi Allah adalah berdasarkan kualiti iman. Nilai keimanan ini amat berkait rapat dengan interaksi kita dengan Al-Qur’an. Allah berfirman di dalam Surah Al-Araf: Ayat 3

ٱتَّبِعُواْ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكُم مِّن رَّبِّكُمۡ وَلَا تَتَّبِعُواْ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِيَآءَ‌ۗ قَلِيلاً۬ مَّا تَذَكَّرُونَ (٣)

3.  (Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan".

Allah menyeru untuk kita mengikut apa yang diturunkan Allah iaitu Al-Qur’an.

Maka, perenungan untuk diri dan kita semua.

Ramadan yang menghidupkan adalah hari-hari yang dihidupkan dengan iman dan taqwa.

Mengagungkan Allah di dalam kehidupan.

Menjadi hamba bersyukur atas nikmat petunjuk.

Memohon petunjuk Allah di dalam melakukan sesuatu.

Memberi manfaat kepada yang lain kerana didorong oleh keimanan dan ketaqwaan.

Keimanan kepada Allah menggerakkan diri untuk berbuat sesuatu.

Ramadan yang dihidupkan dengan keimanan dan ketaqwaan.

Ibadah berpuasa seharusnya meningkatkan keimanan dan ketaqwaan.

Apakah tujuan kita berpuasa?

Antaranya untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 183

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ (١٨٣)

183.  Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Kedua, untuk menjadi hamba yang bersyukur.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 185

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ (١٨٥)

185.  (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Hamba yang bersyukur diatas petunjuk Allah dengan mengagungkan Allah.

Seterusnya, semoga mendapat petunjuk. Allah berfirman di dalam Surah Al Baqarah: Ayat 186

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ‌ۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ‌ۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ (١٨٦)

186.  Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk.

MashaAllah, Allah begitu dekat dengan kita. Maka, mari kita menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk berdoa kepada Allah. Berdasarkan ayat di atas, syarat diterima sesuatu doa adalah perlunya kerja buat dari kita iaitu menyahut seruan Allah di dalam Al-Qur’an dan beriman kepada Allah.

Ramadan yang menghidupkan akan menggerakkan individu untuk melakukan kebaikan.

Individu akan beramal sebaik mungkin kerana motivasinya adalah akhirat.

Melahirkan individu yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Allah berfirman di dalam Surah Al Baqarah: Ayat 148

وَلِكُلٍّ۬ وِجۡهَةٌ هُوَ مُوَلِّيہَا‌ۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٲتِ‌ۚ أَيۡنَ مَا تَكُونُواْ يَأۡتِ بِكُمُ ٱللَّهُ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (١٤٨)

148.  Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Moga-moga kita diberi kekuatan untuk melakukan kebaikan.

Mari, kita sama-sama menjadi hamba yang menyebarkan kebaikan dimana sahaja kita berada.

Menjadi sumber cahaya iaitu dengan menyebarkan mesej-mesej ilahi kepada orang disekeliling kita.

Menjadi hamba yang bersyukur atas anugerah usia untuk melakukan amal soleh dan ketaatan.

 

Rujukan

  1. Sessi UsrahQmap3T anjuran BLC