“Orang macam dia tu, memang tak boleh berubah dah.” Seorang guru meluahkan.

“Awak kecewa?” Temannya bertanya.

“Dah banyak kali tegur. Masih dengan sikap degilnya.”

“Ada rasa dia tiada lagi harapan berubah.”

“Itulah.”

“Pernah dengar tentang perumpamaan hati dalam Quran?”

“Yang mana?” 

“Tentang batu yang keluarkan sungai dan air.”

“Oh yang itu.”

“Kita tak tahu kalau-kalau anak murid tu, hati dia dalam salah satu kategori batu tu.”

“Ya, benar kita tak tahu.”

“Lalu?”

“Awak nak cakap, kena teruskan memberi ‘air’ ?”

“Ya. Mana tahu hatinya serap dan akan pecah mengeluarkan kebaikan.”

 

***

Pada awal surah Al-Baqarah, Allah mempaparkan gambaran sikap umat Nabi Musa a.s. iaitu Bani Israil. Mereka telah dinampakkan pelbagai mukjizat dan tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t tetapi iman terhadap yang ghaib amat lemah. Bahkan, mereka beri syarat kepada nabi bahawa mereka hanya akan beriman jika mereka nampak Allah s.w.t. 

Mereka juga telah dinampakkan kejadian seorang yang mati dihidupkan kembali setelah mayatnya dipukul dengan salah satu bahagian lembu betina. Satu demi satu tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t terlihat dek mata tetapi hati mereka masih tidak beriman. Bukti-bukti kebesaran Allah s.w.t yang sepatutnya melembutkan hati mereka sebaliknya membuatkan hati semakin keras. Lalu Allah s.w.t menempelak dan membawakan perumpamaan batu yang tidak sekeras hati mereka.

 

ثُمَّ قَسَتۡ قُلُوبُكُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٲلِكَ فَهِىَ كَٱلۡحِجَارَةِ أَوۡ أَشَدُّ قَسۡوَةً۬‌ۚ وَإِنَّ مِنَ ٱلۡحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنۡهُ ٱلۡأَنۡهَـٰرُ‌ۚ وَإِنَّ مِنۡہَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخۡرُجُ مِنۡهُ ٱلۡمَآءُ‌ۚ وَإِنَّ مِنۡہَا لَمَا يَہۡبِطُ مِنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِ‌ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ( ٧٤ ) 

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan. (74)

Surah Al-Baqarah, 2: 74

 

Melalui ayat ini, Allah s.w.t membandingkan hati mereka dengan batu dan batu diumpamakan lebih baik daripada hati mereka. Batu dijadikan perbandingan kerana batu tak boleh cair jika diberikan haba daripada api. Ini berbeza dengan bahan lain seperti besi yang boleh cair dan dilenturkan jika dipanaskan. 

Bagaimana batu boleh jadi lebih baik daripada hati yang keras?

 

Batu yang mengalir air sungai daripadanya.

Jenis batu yang pertama adalah batu yang mengalir air sungai daripadanya. 

وَإِنَّ مِنَ ٱلۡحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنۡهُ ٱلۡأَنۡهَـٰرُ‌ۚ

Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya

Batu yang sememangnya mengandungi air mampu mengeluarkan air yang banyak. Bahkan banyaknya air sehingga jadi sungai yang beri manfaat kepada ramai. 

Batu sebegini ibarat hati manusia yang hatinya terisi iman dipasak ilmu kebenaran. Hati yang baik, mudah menerima kebenaran lalu mampu sebarkan kebaikan kepada ramai. Umpamanya hati Abu Bakar As-Sidiq radiallahu anhu (RA), beliau cepat merespon kepada kebenaran dan menerima Nabi Muhammad s.a.w sebagai rasulullah. Sebelum ilmu kebenaran disampaikan kepadanya, hatinya sudahpun terisi dengan kebaikan lantas saat wahyu disampaikan, hatinya mudah membenarkan. Melalui kekuatan iman dalam hatinya, Abu Bakar RA selanjutnya bertanggungjawab mengislamkan ramai sahabat-sahabat besar zaman tersebut. 

 

Batu yang pecah lalu keluar air daripadanya.

Jenis batu yang kedua adalah batu yang pecah lalu mengeluarkan air daripadanya. 

 وَإِنَّ مِنۡہَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخۡرُجُ مِنۡهُ ٱلۡمَآءُ‌ۚ

ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya

Ada batu, berterusan menyerap air. Sampai satu tahap, air yang ditampung membuatnya terpecah-pecah dan terbelah. Lalu, mata air pun keluar daripadanya, turut memberi manfaat kepada manusia sekeliling. 

Hati manusia, ada yang dalam diam menyerap pesan-pesan keimanan sedikit demi sedikit meskipun secara zahirnya masih tidak nampak perubahan. Namun, tatkala berlakunya peristiwa seperti kemalangan atau kehilangan membuatkan jiwanya terkesan. Disebabkan peristiwa ini hatinya “terpecah” lalu mengeluarkan iman yang selama ini ada di dalam. Hati sebegini ibarat hati Umar Al-Khattab RA yang asalnya bengis dan mahu mengancam umat Islam pada zamannya. Namun, berlaku peristiwa menyentuh hatinya tatkala adiknya sendiri tercedera disebabkan tindakannya. Akhirnya hatinya beriman dengan wahyu yang dibacakan adik yang dikasihi.  

 

Batu yang jatuh kerana takut kepada Allah.

Jenis batu yang ketiga adalah batu yang jatuh kerana takut kepada Allah s.w.t 

وَإِنَّ مِنۡہَا لَمَا يَہۡبِطُ مِنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِ‌ۗ

ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah.

Batu yang ketiga ini tidak dikaitkan dengan mana-mana jenis air. Allah menggambarkan keadaannya yang jatuh ke bawah disebabkan rasa takut kepada Allah s.w.t. Menurut Raghib Al-Asfahani, kalimah خَشۡيَةِ  adalah perasaan takut yang diikuti pengagungan. Rasa takut ini hadir kerana adanya ilmu yang benar dalam mengenali Allah s.w.t.

Hati yang diumpamakan seperti batu (tanpa air) yang jatuh ke bawah ibarat hati muslim yang berusaha memenuhi segala perintah dan menjauhi larangan Allah atas dasar takut kepadaNya. Kemungkinan iman masih belum betul-betul mantap dalam hatinya (yang digambarkan tiada air), tetapi ilmu mengenai siapa Allah s.w.t yang diperoleh membuatkan hatinya tetap mahu tunduk dan taat.  

 

Lembutkanlah hati dengan Al-Quran

Tiga jenis batu dan tiga jenis hati daripada ayat ini memberi kita pedoman pentingnya peringatan yang berterusan kepada seseorang insan. Adakalanya, terbit rasa putus asa dalam menegur dan mendidik insan sekeliling kerana tidak nampak sebarang perubahan pada dirinya. Namun, ayat ini memujuk kita untuk terus dan terus sampaikan firman Allah s.w.t. Kita tak pernah tahu kalau-kalau insan berkenaan memiliki hati jenis kedua yang tetap menyerap pesan-pesan keimanan lalu menunggu masa untuk “terpecah-belah” hatinya mengeluarkan mata air keimanan. Kita juga tidak mengetahui jika insan berkenaan ada hati jenis ketiga yang saat diberikan ilmu yang benar mengenai siapa Allah s.w.t, timbul rasa takut lalu mahu tunduk kepadaNya. 

Teruslah sirami hati-hati manusia dengan Al-Quran kerana Al-Quran itu diumpamakan air hujan yang turun, menumbuhkan hati-hati yang mati di bumi. 

 

وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ ٱلَّذِى ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ‌ۙ وَهُدً۬ى وَرَحۡمَةً۬ لِّقَوۡمٍ۬ يُؤۡمِنُونَ ( ٦٤ ) وَٱللَّهُ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِہَآ‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَةً۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَسۡمَعُونَ ( ٦٥ )

Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (64) Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Dia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya). (65)

Surah An-Nahl, 16: 64-65


 

Rujukan 

Dr. ‘Aidh al-Qarni (2008). Al-Baqarah. Tafsir Muyassar. Qisthi Press : Jakarta

Aisha Altaf. (2022). Lesson #13 Al-Baqarah 74-82. Ta’leem Al-Quran in English by Al-Huda Institute Canada. 

Raghib Al-Ashfahani. (2017). خشي Kamus Al-Quran Jilid 1. Pustaka Khazanah Fawa’id : Depok