Bismillah.

Apa yang hilang di dalam diri?

Adalah Taqwa. Apakah itu taqwa? Berhati-hati di dalam setiap pilihan, dan melaksanakan setiap perintah Allah di dalam Al-Qur’an dan meninggalkan larangan.

Ar-raghib Al-Asfahani di dalam kamus Al-Qur’an mendefinisikan taqwa sebagai menjadikan diri terpelihara dari sesuatu yang menakutkan dan memelihara diri dari perbuatan dosa.

Taqwa perlu diusahakan serta diperjuangkan. Taqwa sangat berkait dengan petunjuk Al-Qur’an.

 

Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 1-5

الٓمٓ (١) ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ (٢) ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأَخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ (٤) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ عَلَىٰ هُدً۬ى مِّن رَّبِّهِمۡ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (٥)

1.  Alif, Laam, Miim.

2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

3. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

4. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

5.  Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

 

Syarat utama menjadi orang bertaqwa adalah dengan menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk di dalam kehidupan. Maksudnya, setiap pilihan dan keputusan di dalam kehidupan merujuk petunjuk yang Allah nyatakan di dalam Al-Qur’an.

Kitab yang tiada keraguan di dalamnya. Allah berfirman di dalam Surah Al-Sajdah: Ayat 1-2

الٓمٓ (١) تَنزِيلُ ٱلۡڪِتَـٰبِ لَا رَيۡبَ فِيهِ مِن رَّبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢)

1.  Alif, Laam Miim.

2. Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

 

Keimanan dan keyakinan terhadap petunjuk Al-Qur’an merupakan satu perkara yang penting dalam rangka menjadi peribadi bertaqwa.

Mari, kita melakukan perenungan terhadap ayat-ayat Allah berhubung janji kepada orang bertaqwa. Misi menjadi orang bertaqwa seharusnya menjadi misi utama kita di dalam kehidupan.

Allah menyatakan orang yang paling mulia adalah orang bertaqwa di dalam Surah Al-Hujurat: ayat 13

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬ (١٣)

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

MashaAllah, indikator kemulian disisi Allah adalah taqwa bukannya perkara lain. Maka, setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk menjadi orang mulia walaupun mempunyai status sosial yang berbeza.

 

Kedua, Allah menyatakan sebaik-baik bekal di dalam permusafiran antaranya ibadah haji adalah taqwa. Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah : ayat 197

ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٌ۬ مَّعۡلُومَـٰتٌ۬‌ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلۡحَجِّ‌ۗ وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٍ۬ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُ‌ۗ وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰ‌ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (١٩٧)

197. (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

Allah memberi petunjuk kepada kita untuk membawa bekal taqwa di dalam perjalanan haji. Maka, ayuh kita melakukan perenungan sebentar ayat di atas berhubung bekal apa yang kita bawa bersama di dalam setiap perjalanan dan pemusafiran? Adakah hanya sekadar fizikal, makanan, pakaian serta kewangan? Sudah pasti keperluan ini perlu dibawa bersama. Namun, bekal utama yang perlu dibawa adalah taqwa. 

 

Ketiga, Allah menjanjikan syurga-syurga mengalir dibawahnya sungai-sungai bagi orang bertaqwa. MashaAllah, orang bertaqwa kekal di dalam syurga. Kenikmatan yang kekal abadi. Allah berfirman di dalam Surah Al-Imran: Ayat 198

لَـٰكِنِ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ رَبَّهُمۡ لَهُمۡ جَنَّـٰتٌ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَا نُزُلاً۬ مِّنۡ عِندِ ٱللَّهِ‌ۗ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيۡرٌ۬ لِّلۡأَبۡرَارِ (١٩٨)

198. Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).

 

Keempat, Allah mencintai orang bertaqwa. SubhanAllah, pencipta kita mencintai kita, apakah perkara yang paling indah dari itu? Pemilik segala cinta mencintai kita. Allah berfirman di dalam Surah Al-Imran: Ayat 76

بَلَىٰ مَنۡ أَوۡفَىٰ بِعَهۡدِهِۦ وَٱتَّقَىٰ فَإِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَّقِينَ (٧٦)

76. Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa.

Allah berfirman di dalam Surah At-Taubah: Ayat 4 dan ayat 7

إِلَّا ٱلَّذِينَ عَـٰهَدتُّم مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ثُمَّ لَمۡ يَنقُصُوكُمۡ شَيۡـًٔ۬ا وَلَمۡ يُظَـٰهِرُواْ عَلَيۡكُمۡ أَحَدً۬ا فَأَتِمُّوٓاْ إِلَيۡهِمۡ عَهۡدَهُمۡ إِلَىٰ مُدَّتِہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَّقِينَ (٤)

4. Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa.

ڪَيۡفَ يَكُونُ لِلۡمُشۡرِڪِينَ عَهۡدٌ عِندَ ٱللَّهِ وَعِندَ رَسُولِهِۦۤ إِلَّا ٱلَّذِينَ عَـٰهَدتُّمۡ عِندَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ‌ۖ فَمَا ٱسۡتَقَـٰمُواْ لَكُمۡ فَٱسۡتَقِيمُواْ لَهُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَّقِينَ (٧)

7. Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa.

 

Manusia secara fitrahnya, ingin dicintai dan disayangi oleh orang sekeliling, Namun, kita lupa untuk mendapatkan cinta yang kekal yang memberi keselamatan di dunia dan akhirat. Allah pencipta kita mencintai hamba-hamba yang bertaqwa.

Mari, kita sama-sama kembali kepada petunjuk Al-Qur’an untuk mentadabburi ayat-ayat Allah tentang taqwa.

Supaya kita boleh berusaha menjadi hamba yang bertaqwa sebagaimana yang dinyatakan Allah di dalam Al-Qur’an dan memenuhi pra-syarat menjadi orang bertaqwa.

Setiap saat kita membuat pilihan. Pilihan dari perkara kecil sehingga perkara-perkara besar.

Setiap pilihan samada mengikut bisikan taqwa atau fujur (kejahatan).

Setiap tindakan didasari atas keimanan atau nafsu.

Maka, menjadi hamba Allah yang bertaqwa adalah satu perjuangan setiap saat.

Ingat, jika kita tewas dalam satu ketika, jangan berputus asa dengan rahmat Allah.

Bangkit, bertaubat dan kembali kepada petunjuk Allah.

Jangan biarkan syaitan menewaskan kita.

Teruskan berpegang dengan petunjuk Al-Qur’an.

 

Rujukan:

  1. Kamus Al-Qur’an oleh Ar Raghib Al-Asfahani
  2. Diskui Usrah Tadabbur Tematik sessi UsrahQmap3T anjuran BLC