Sofiyyah menekan papan kekunci komputer riba sejak 30 minit yang lalu. Adakalanya dia berhenti menanti ilham sebelum meneruskan penulisan. Setelah beberapa ketika hilang idea, tak semena-mena, tangan kanannya mencapai telefon pintar. Dia menyentuh skrin yang membawanya ke halaman Facebook. 

“Baru 5 orang like? Sejam dah post.” Dia meletakkan kembali telefon pintarnya.

Sofiyyah kembali menatap skrin komputer. Tumpuannya terus pada dokumen yang sedang ditaip. 

Seminit berlalu.

Lima minit berlalu. 

Sepuluh minit berlalu. 

Sofiyyah masih belum ada idea. Tumpuannya hilang, mata mula memandang ke luar jendela. Tangan kanan bersegera mencapai telefon pintar. Sekali lagi dia menyemak akaun facebook. 

“Masih belum ada orang komen?” Sofiyyah sedih.  

 

***

Insan itu…

Mahu banyak “like”. 

Mahu perhatian manusia. 

Mahu diikuti ramai menjadi si pempengaruh. 

Sedar atau tidak, itulah rasa yang mahu disuburkan para pembangun aplikasi media sosial. Rasa kesunyian atau kekosongan dalam diri manusia diisi dengan harapan mendapat perhatian daripada dunia alam maya. Lama-kelamaan, hidup di media sosial adalah lebih banyak berbanding interaksi di alam nyata.

Apakah sifat manusia yang membuatkan penggunaan media sosial menjadi suatu keperluan? 

Manusia itu, mahu kehadirannya disedari atas muka bumi ini. 

Manusia itu, mahu dipedulikan, diberi perhatian. 

Terhadap sifat insan ini, Allah s.w.t mengingatkan sesuatu. 

 

هَلۡ أَتَىٰ عَلَى ٱلۡإِنسَٰنِ حِينٞ مِّنَ ٱلدَّهۡرِ لَمۡ يَكُن شَيۡ‍ٔٗا مَّذۡكُورًا  ١ 

Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? [Al Insan : 1]

 

Saat manusia mahukan dirinya disebut-sebut orang lain, sedarkah bahawa pernah suatu ketika dahulu, diri adalah sesuatu yang tidak dapat disebut kerana ternyata masih belum wujud.

Di manakah saya ketika zaman tentera Abrahah menyerang Kaabah?

Di manakah saya ketika British menjajah tanah Melayu? 

Di manakah saya ketika ibu saya berusia remaja? 

Dahulu, pernah satu tempoh daripada masa, setiap kita adalah sesuatu yang tidak dipedulikan, tidak disebut-sebut. Kemudian, kita hadir ke alam dunia untuk tempoh sementara sebelum kembali ke tanah semula. 

 

ثُمَّ أَنشَأۡنَٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَٰلِقِينَ  ١٤ ثُمَّ إِنَّكُم بَعۡدَ ذَٰلِكَ لَمَيِّتُونَ  ١٥ ثُمَّ إِنَّكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ تُبۡعَثُونَ  ١٦ 

Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat. [Al Mu’minun:14-16]

 

Tempoh hidup di dunia terlalu sekejap. Kalaupun hati mendambakan perhatian dan pengaruh daripada manusia-manusia lain, akan hanya mampu mendapatkannya daripada mereka yang hidup sezaman. Tiada manusia daripada masa lalu akan mempedulikan kita meskipun kita ada membaca sejarah tentang mereka. Kita juga tidak pasti apakah turut mendapat perhatian dan pengaruh daripada mereka yang hidup pada masa hadapan. 

Justeru, apakah ada makna besar daripada perhatian dan kepedulian daripada rakan-rakan alam maya? Setiap mereka juga pasti akan meninggalkan dunia ini, tidak peduli akan manusia lain melainkan diri sendiri. 

Menyedari hakikat ini, bagaimanakah perasaannya? 

Bagaimana jika rasa kebergantungan dan harapan perhatian disandarkan pada yang tetap ada dari zaman dahulu, sekarang dan akan datang? Seperti Maryam ibu Nabi Isa a.s, namanya masih disebut-sebut sehingga kini, merentas masa dan zaman.

Bagaimana jika rasa kekosongan itu diisi dengan mengharap raih hubungan cinta dengan Dia yang tetap menjaga dan memelihara diri kita? Jika perhatian yang diberikan manusia akan sekadar cetus rasa bahagia tanpa apa-apa imbuhan. Berbeza dengan Dia yang telahpun mengurniakan kita pelbagai nikmat melimpah-ruah meskipun kita adakalanya lalai terhadapNya. 

Bagaimana jika rasa mahu dipedulikan itu dilabuhkan pada Dzat yang memiliki segala yang di langit dan di bumi? 

Jika sesama manusia, ketika kita memberi mesej, kita mahu si dia membalasnya. Namun, apa yang berlaku tidak semestinya begitu. Kita mungkin peduli dan beri perhatian kepada seseorang, tetapi pihak tersebut boleh jadi tidak peduli dan tidak ingat pun akan kita. 

Berbeza dengan Allah s.w.t, inilah hubungan teragung. Tatkala si hamba memilih mengingatiNya, pasti Dia turut mengingati hambaNya. Apakah manfaatnya jika banyak mengingati Allah s.w.t? 

 

Pertama, kita akan diingatiNya. 

Allah s.w.t berfirman tentang Dia yang mengingati si  hamba saat si hamba memilih untuk mengingatiNya. 

 

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ  ١٥٢ 

Maka, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. [Al Baqarah:152]

Kita mungkin rasa teruja jika nama disebut-sebut orang-orang kenamaan atau para pempengaruh yang popular. Bagaimana rasanya jika nama disebut dan diingati Robb yang menguasai seluruh langit dan bumi?

 

Kedua, kita akan beroleh kejayaan.

Dalam banyak keadaan, kita mudah bergantung pada kudrat dan kekuatan diri sendiri, lalai untuk bergantung pada kekuatan Allah s.w.t. Buat hamba  yang banyak mengingati Allah s.w.t, meletakkan pengharapan dan pergantungan kejayaan melaluiNya, ketahuilah bahawa Dia menjanjikan kejayaan buat yang memenuhi panduan yang ditetapkan. 

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا لَقِيتُمۡ فِئَةٗ فَٱثۡبُتُواْ وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرٗا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ  ٤٥ 

Wahai orang-orang yang beriman. apabila kamu bertemu pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh kejayaan. [Al Anfal:45]

 

Ketiga, kita akan diselamatkan.

Renungkan sejarah Nabi Yunus a.s. Baginda ditelan ikan dalam lautan yang dalam. Persekitaran perut ikan yang melemaskan bahkan sarat enzim boleh sahaja mengakibatkan kematian dalam waktu yang sekejap. Apatah lagi keadaannya yang jauh daripada akses sebarang manusia tidak memungkinkan baginda mengharap bantuan sesiapa. 

Namun, baginda selamat. 

Mengapa? 

Kerana  baginda adalah seorang insan yang banyak mengingat Allah s.w.t. Baginda memang banyak mengingat Allah s.w.t bahkan sebelum kejadian ditelan ikan. 

 

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ  ١٣٩ إِذۡ أَبَقَ إِلَى ٱلۡفُلۡكِ ٱلۡمَشۡحُونِ  ١٤٠ فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ ٱلۡمُدۡحَضِينَ  ١٤١ فَٱلۡتَقَمَهُ ٱلۡحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٞ  ١٤٢ فَلَوۡلَآ أَنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلۡمُسَبِّحِينَ  ١٤٣ لَلَبِثَ فِي بَطۡنِهِۦٓ إِلَىٰ يَوۡمِ يُبۡعَثُونَ  ١٤٤ ۞فَنَبَذۡنَٰهُ بِٱلۡعَرَآءِ وَهُوَ سَقِيمٞ  ١٤٥ وَأَنۢبَتۡنَا عَلَيۡهِ شَجَرَةٗ مِّن يَقۡطِينٖ  ١٤٦ 

Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul, (ingatlah) ketika dia lari, ke kapal yang penuh muatan, kemudian dia ikut berundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit. Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang dia dalam keadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon dari jenis labu. 

[As Saffat:139-46]

 

Memahami hakikat ini, duhai hati, apakah masih mendambakan perhatian dan kepedulian manusia fakir? Atau mahu beralih pada banyak mengharap perhatian Allah s.w.t yang sentiasa ada merentas zaman? 

Manfaatkanlah media sosial untuk seru manusia banyak mengingati Allah s.w.t.